#3033: Muhammad Qutb; Siapakah Dia?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Muhammad Qutb adalah saudara kepada Syed Qutb dan bagaimanakah kisah hidupnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mengkaji tokoh ulama sudah tentu memberi banyak kelebihan dan pengetahuan kepada kita. Antaranya, menjadikan kita ingin mengikut contoh mereka. Bak kata pepatah Arab:

فَتَشَبَّهُوا ﺇنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ                       فإنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ

“Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka,

            Kerana mencontohi orang yang mulia itu membawa kemenangan.

Dunia Islam dikejutkan dengan kematian seorang tokoh Islam, tokoh cendekiawan Islam, Syeikh Muhammad Qutb awal pagi pada 4 April 2014 di sebuah hospital di Jeddah, Arab Saudi ketika umurnya 94 tahun.

Syeikh Muhammad Qutb yang dilahirkan di negara Mesir pada 26 April 1919. Kampung asalnya dikenali sebagai Musya, Asyut. Beliau merupakan saudara kandung kepada tokoh Ikhwan Muslimin Sayyid Qutb.

Pada masa kecilnya, beliau yang membesar dalam sebuah keluarga yang dipimpin oleh bapanya Qutb Ibrahim, yang juga sebagai peladang. Pada masa kecilnya beliau tidak mampu menyempurnakan pelajarannya tetapi kerana minatnya yang mendalam untuk mengkaji dan membaca sehingga dikagumi oleh masyarakatnya.

Ibunya Sayyidah Fatimah Uthman adalah dari keturunan Arab yang benar-benar cenderung kepada ilmu. Pada saat yang sama antara keluarga mereka Ahmad Husain al-Musya terkenal dengan penguasaan sastera dan penulisan. Dengan sebab itu, ibunya Fatimah membesar dalam suasana cintakan ilmu dan pengetahuan. Ini menyebabkan dia menghantar dua puteranya, iaitu Sayyid dan juga Muhammad untuk mempelajari ilmu di Kaherah. Di sana, Syeikh Muhammad memulakan pelajaran pada Marhalah sekolah rendah dan Thanawi, kemudian menyambung di Unversiti Kaherah dengan mempelajari bahasa Inggeris dan Adabnya. Beliau menamatkan pelajarannya pada tahun 1940, sejak itu beliau menyertai perguruan di Maahad Tarbiyah ‘Ali, yang melayakkan beliau mendapat diploma pengajaran.

Dipelihara oleh abang kandung

Beliau pernah menceritakan di mana tokoh yang paling banyak memberi kesan dalam taujih dan pemikirannya dan dalam kehidupannya, ialah saudaranya Sayyid Qutb yang lebih tua daripadanya 12 tahun.

Beliaulah yang banyak memberi nasihat dan pengajaran dan dirasakan seolah-oleh Sayyid Qutb sebagai bapa, saudara dan rakan. Aku begitu akrab dengan abangku Sayyid Qutb dari sudut tarbiyah yang penuh dengan sifat kasih sayang dan ketegasan yang bercampur dalam satu masa.

Dia selalu memberi motivasi kepadaku untuk membaca dalam pelbagai bidang, sedangkan dia sendiri begitu bersungguh-sungguh membaca. Ini sudah pasti mendorongku untuk cintakan pembacaan semenjak kanak-kanak lagi.

Ujian penjara

Kisah abangnya, Sayyid Qutb yang sanggup berdepan dengan pemerintah yang zalim menjadikan kehidupan keluarga Qutb penuh dengan tribulasi. Peristiwa yang hebat berlaku pada oktober 1954 yang membawa kepada penangkapan Sayyid Qutb dan seterusnya adiknya Muhammad Qutb juga, sehingga diseksa dengan sedemikian rupa.

Penjara tentera yang dihuni itu begitu menyeksakan dan menyakitkan, kata Muhammad Qutb: “Adalah fitnah penjara perang banyak memberi kesan kepada jiwaku, yang begitu kejam mendera dan menyeksa telah mengubah keadaan kehidupanku. Di mana pada awalnya aku suka kepada kedamaian adab, sastera dan syair, tetapi selepas kejadian itu, telah mengubah kehidupanku yang membawa kepada pengenalan jalan menuju kepada Allah dan beramal untuk dakwahnya.”

Apabila beliau keluar dari penjara, beliau telah mengambil tanggungjawab keluarga dengan penuh kepayahan hampir sepuluh tahun, di mana pihak pemerintah begitu mengawasinya, menyebabkan beliau terpaksa menjarakkan daripada abangnya. Walaupun begitu Muhammad dan Sayyid Qutb sekali lagi dipenjarakan pada tahun 1965.

Muhammad Qutb telah dipenjarakan selama enam tahun, bermula 30 Julai 1965 hingga 17 Oktober 1971, ketika itulah abangnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Bagitu juga salah seorang anak saudaranya telah dibunuh dalam penjara akibat penyeksaan yang melampau.

Lebih malang daripada itu, kematian anak saudaranya tidak diberitahu. 3 orang saudara perempuannya juga disumbat ke dalam penjara dan salah seorang saudara perempuannya telah diseksa dengan begitu dahsyat dan dipenjara hampir sepuluh tahun.

Pihak pemerintah pernah membuat tawaran kepada Sayyid Qutb untuk berdamai tetapi kerana prinsip dan jalan yang berlainan menyebabkan beliau begitu tegas istiqamah dan iltizam kepada Agama Allah, tetapi beliau tetap dengan kemuliaan Islam menyebabkan beliau dibunuh, dihukum gantung pada tahun 1966.

Seorang pemikir dan penulis

Beliau merupakan seorang ulama agung yang telah menulis banyak buku dalam bidang fiqh, falsafah, harakah, dakwah dan sebagainya yang menjadi rujukan bagi umat Islam. Beliau terkenal sebagai penulis Islam dan Mufakkir yang banyak menyumbangkan idea yang begitu bernas. Beliau mampu menghubungkan antara fikrah dan realiti berasaskan kepada ideanya yang dimuatkan dalam beberapa karyanya.

Beliau banyak menjelaskan pemikiran abangnya Sayyid Qutb yang dilontarkan tohmahan sebagai golongan yang bersifat wahdatul wujud tetapi sebenarnya adalah salah faham kerana Sayyid Qutb adalah seorang sasterawan dan juga ilmuwan yang menguasai ilmu yang luas. Antara buah fikiran beliau:

Beliau berpendapat amat bahaya pertembungan antara kerajaan di dunia arab dengan mana-mana gerakan Islam sebelum sampai kepada benar-benar mempunyai kemampuan dan kefahaman.

Beliau melihat pentingnya mendaulatkan kalimah Tauhid dan juga menghukumkan dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Ini berdasarkan kepada Nas

وَكَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.”

(Surah al-An’am: 55)

Beliau kerap kali berkata: “Kepimpinan Jemaah Islam kehilangan kefahaman dan pengalaman yang memungkinkannya untuk membaca, bahaya apabila bertembung dengan pemerintah.”

Beliau menganggap hujahan barat yang berkata: “Toleransi bersama Islam lebih kepada dakwaan semata-mata.”

Islam adalah satu-satunya penyelamat.

Hasil karya

Beliau menghasilkan banyak karya ilmiah terutamanya isu pemikiran yang sentiasa bertembung dengan Islam yang sebenar. Antara karyanya ialah:

  • Kajian Berkenaan dengan jiwa manusia.
  • Perkembangan dan Thabat dalam kehidupan manusia.
  • Manhaj Tarbiyah Islamiyyah.
  • Manhaj Seni Islam.
  • Jahiliyyah pada Kurun Kedua puluh.
  • Manusia antara materialisme dan Islam Kajian Quran.
  • Adakah Kami orang Islam?
  • Pelbagai Syubhah berkenaan Islam Pada Jiwa dan Masyarakat.
  • Antara Asolah Islami Kemasyarakatan. Bagi Pelbagai Ilmu
  • Pengajaran Dari Tribulasi Dari Peperangan Bosnia,
  • Golongan Sekularisme dan Islam.
  • Jom Kita keluar daripada kegelapan kesesatan.
  • Realiti kami semasa.
  • Isu penerangan dalam alam Islami.
  • Bagaimana cara kita menyeru manusia?
  • Orang Islam dan globalisasi.
  • Beberapa tunjang iman.
  • Mereka tidak datang dengan seumpamanya.
  • Daripada isu fikir Islami semasa.
  • Sekitar tafsir Islami berkenaan sejarah.
  • Jihad di Afghanistan dan petunjuknya.
  • Pengajian tarbawi daripada al-Quran.
  • Cara melaksanakan Syariah.
  • Golongan Orientalis dan Islam.

Kami tidak pernah berjumpa dengan beliau walaupun sekali. Tetapi kami mula mengenalinya tatkala belajar di Universiti Madinah, di mana ada dalam kalangan guru yang menyebut berkenaan dengan kitab dan karyanya.

Beliau pernah datang ke kota Madinah dari Mekah untuk menyampaikan ceramah pada masa kami sedang belajar di sana. Tajuk ceramahnya ialah al-Adab al-Islami. Sahabat yang menghadirinya menceritakan pensyarah dan tokoh-tokoh ulama di Madinah cukup kagum dengan keilmuannya. Kami teringat kerap kali guru kami Syeikh Muhammad Ali al-Thani menyebut yang Muhammad Qutb lebih alim daripada abangnya Sayyid Qutb kerana kekuatan pembacaan dan kajiannya.

Semoga Allah SWT merahmati lelaki yang jujur kepada Allah ini dan tepatlah sebagaimana firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Surah al-Ahzab (23)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445