#3035: Solat Dengan Pakaian Nipis

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah sah solat seseorang yang memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Aurat merupakan bahagian tubuh badan yang tidak boleh ditunjukkan oleh lelaki dan perempuan kepada orang lain. Allah SWT telah menetapkan aurat bagi lelaki dan perempuan. Menjaga aurat dan kehormatan adalah wajib, tidak kira di mana sahaja. (Lihat al-Mausû’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31:44)

Aurat merupakan salah satu syarat sahnya solat seseorang. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya : Wahai anak Adam pakailah pakaian yang indah (menutup aurat) setiap kali memasuki masjid.

(Surah Al-A’raf :31)

Syaikh Dr.Muhammad al-Asyqar ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk berhias dan menutup aurat ketika menghadiri masjid untuk mendirikan solat atau mengerjakan Tawaf.(Lihat Zubdah al-Tafsir,hlm.154 )

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ الحَائِضِ إِلَّا بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Tidak diterima solat seorang wanita yang sudah berhaid itu melainkan dengan memakai khimar (tudung).”

Riwayat Abu Daud (641), al-Tirmizi (377), Ibn Majah (655) dan Ahmad (25167). Al-Tirmizi mengatakan hadis ini hasan dan al-Hakim mengatakan hadis ini sahih atas syarat Muslim.

Imam al-Nawawi berkata, “yang dimaksudkan sebagai ‘haid’ itu adalah wanita yang sudah baligh”. Dan ini juga merupakan syarat sah juga bagi kaum lelaki.(Lihat Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab, 3/166-167) Maksudnya, Allah tidak menerima solat perempuan dan lelaki yang akil baligh, melainkan kedua-duanya menutup aurat.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan had aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lutut. Manakala bagi perempuan pula wajib menutup seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua telapak tangan .Sekiranya baju yang dipakainya itu terlihat padanya aurat maka solat yang dilakukan itu adalah tidak sah.

Imam al-Nawawi dalam isu ini beliau menyatakan bahawa:  wajib menutup aurat dengan sebarang pakaian yang tidak menampakkan warna kulit, dan ia tidak mampu ditutup dengan baju yang jarang. Menutup aurat mencukupi dengan apa jenis pakaian, kulit, kertas atau dedaun yang dikait selagi mana ia tidak menampakkan warna kulit. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/171)

Begitu juga Imam al-Syairazi menyatakan, kadar dikira menutup aurat itu adalah tidak menampakkan warna kulit.( Lihat Al-Muhadhdhab, 125/1 )

Syeikh Zainuddin al-Malibari pula menjelaskan, ia hendaklah tidak menampakkan warna kulit dalam situasi perbualan [jarak kedudukan kebiasaan bagi dua orang atau beberapa orang berbual.(Lihat Fatḥ al-Muʿīn, 1/86.)

Justeru, kami katakan kita perlu sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa pakaian yang kita pakai semasa solat adalah tidak terlalu nipis dan  sesuai dengan panduan aurat yang telah dinyatakan di atas. Hal ini memastikan bahawa solat kita dianggap sah dan diterima di hadapan Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua’lam

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445