#3056: Menggugurkan Janin Disebabkan Tidak Mampu Menguruskan Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ saya ada soalan, situasi saya dan isteri sekarang, isteri saya telah lewat datang haid untuk hari yang ke 9. Typically, dijangkakan ada kemungkinan mengandung namun isteri saya berkeras untuk tidak buat pregnancy test. Pada masa yang sama emosinya sangat terganggu, memarahi saya kerana menjadi punca potensi kehamilan dan mula mengabaikan anak-anak, mengasingkan diri dan menangis sepanjang masa. Untuk pengetahuan Datuk, kami sudah mempunyai 3 orang anak yang berumur 11,6 & 3.

Kami memang merancang untuk tidak hamil yang seterusnya sebab keadaan kami dalam menguruskan anak-anak ini sudah kelam kabut dan terkejar-terkejar setiap hari, ditambah pula anak yang ke-2 dan ke-3 masih yang tidak dapat berenggang dengan isteri. Jadi saya mula mencari-cari solution yang sesuai dan saya ada membaca dalam laman-laman web berkenaan hukum gugur janin sebelum 4 bulan.

Ada pendapat yang menyatakan hukumnya  “Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami dan isteri.”

Isteri saya sedang mempertimbangkan untuk ambil pil gugur walaupun kami masih belum pasti apakah benar sedang hamil atau tidak. Jadi, soalan saya, bolehkah saya memakai pendapat tersebut yang bukan jumhur fuqaha’? Saya bimbang dengan berbuat demikian, kami menanggung dosa besar dan akan jadi orang-orang yang tidak bersyukur.

Mohon bantuan dari Datuk. Saya mohon ampun dari Allah SWT sekiranya berdosa dengan berfikir tentang perkara ini.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami katakan anak adalah satu amanah, ujian, dan anugerah yang amat berharga dari Allah kepada hamba-Nya. Mereka merupakan titipan-Nya yang harus kita pelihara, jaga, dan didik dengan penuh kasih sayang. Kita bertanggung jawab untuk memastikan keselamatan dan kebahagiaan mereka di dunia dan di akhirat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.”

(Surah al-Syura: 49)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/198)

Menjawab bagi persoalan di atas, adalah suatu anugerah yang patut disyukuri oleh pasangan suami isteri apabila mereka diberkati dengan anugerah zuriat oleh Allah SWT. Pada masa yang sama, kita juga seharusnya merenungkan bahawa pada hari ini, terdapat banyak pasangan yang telah lama berkahwin tetapi masih belum menerima anugerah zuriat daripada-Nya. Perlu diingati bahawa setiap zuriat adalah kurniaan yang berharga dan bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepada kefakiran. Kami yang memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka (anak-anak) itu adalah satu kesalahan yang besar.

(Surah Al-Isra’:31)

Imam al-Tobari Rahimahullah berkata: Ayat ini menjelaskan bahawa janganlah kamu semua membunuh anak-anak kamu disebabkan takut kepada kefakiran atau kemiskinan. Kerana golongan jahiliyyah dahulunya membunuh anak-anak mereka disebabkan takut miskin. Lalu Allah S.W.T pun memberikan amaran kepada mereka berkenaan hal tersebut serta mengkhabarkan kepada mereka bahawa rezeki mereka dan rezeki anak-anak mereka itu adalah di bawah tanggungjawab Allah S.W.T.(Lihat al-Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Aayi al-Quran, 17/437).

Begitu juga firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu disebabkan kefakiran diri kamu. Kami yang memberikan rezeki kepada kamu dan kepada mereka (anak-anak).

(Surah Al-An’aam:151)

Imam al-Hafiz Ibn Katsir Rahimahullah apabila beliau menafsirkan ayat ini: Ketika mana Allah S.W.T berpesan supaya berbuat baik kepada ibubapa dan juga datuk nenek, Allah turut mengaitkan perbuatan ihsan (berbuat baik) kepada anak-anak dan juga cucu cicit. Maka Allah S.W.T menyatakan bahawa janganlah kalian membunuh anak-anak kalian kerana keadaan kalian yang fakir. Ini kerana, mereka dahulunya membunuh anak-anak mereka kerana seruan syaitan yang mengarah kepada perkara tersebut. ( Lihat al-Quran al-Azim, 3/360).

Berdasarkan nas di atas kami tegaskan bahawa menggugurkan janin disebabkan oleh sibuk bekerja atau merasakan tidak mampu menguruskan anak-anak adalah diharamkan di dalam Islam. Malah, apa jua sebab, perbuatan menggugurkan janin dengan sengaja adalah dikira sebagai perbuatan menolak takdir dan rezeki daripada Allah SWT, kecuali terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syara’ untuk berbuat demikian.

Justeru, dalam menghadapi situasi yang dialami, kami menggalakkan agar berbincanglah dengan isteri dengan penuh kelembutan dan terangkan dengan jelas tentang kurniaan rezeki seperti  zuriat, yang merupakan satu anugerah yang diberikan oleh Allah SWT. Selain itu, perlu dingatkan bahawa takdir Allah terhadap hamba-Nya adalah suatu ketetapan yang disusun dengan hikmah yang mendalam.

Betapa ramai insan di luar sana atau pasangan suami isteri yang sudah berkahwin sekian lama tetapi masih lagi belum direzekikan Allah SWT untuk memperolehi zuriat. Alangkah beruntungnya anda, apabila berfikiran secara positif yang anak ini adalah anugerah Allah SWT yang disertakan sekali dengan rezeki sebagaimana nas Ilahi dan nabawi. Kami syorkan biarlah pasangan suami isteri sentiasa bertoleransi dan bantu-membantu dalam melengkapi kehidupan sehingga meraih rasa kegembiraan dan keseronokan dengan penuh kebahagiaan dalam melayari bahtera kehidupan. Amin.

Dikesempatan ini juga suka untuk kami nasihat bahawa semua urusan rumah tangga, termasuk pengurusan anak-anak, sepatutnya dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Tanggungjawab ini adalah satu beban yang seharusnya dipikul bersama oleh suami dan isteri, sebagai satu pasangan yang menjalani kehidupan bersama.

Ingatlah firman Allah SWT:

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu

(Surah al-Taghaabun: 15)

Imam al-Maraghi telah diperincikan bahawa kecintaan kepada harta benda dan anak-anak adalah cubaan dan ujian kerana seringkali perkara itu menjadi penyebab kepada perbuatan dosa dan pelanggaran terhadap apa-apa yang dilarang.(Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/7053)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Wallahua’lam.

Bertarikh: 13 September 2023 bersamaan 27 Safar 1445