#3060: Maratib al-Qadar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri,  saya ada soalan,  apakah itu “Maratib al-Qadar”. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Qadar disisi ahlu Sunnah wa al-Jama’ah ialah Allah mengetahui segala sesuatu sebelum ia berlaku, dan Dia telah mencatatnya dalam Lauh Mahfuz sebelum diciptakan. Kehendak-Nya yang mutlak dan menyeluruh, serta kekuasaan-Nya yang maha agung mencipta segala yang telah ditetapkan-Nya, atau mencipta segala sesuatu. (Lihat Syarh al-’Akidah al-Tahawiyyah,hlm.67)

Dalil al-Qadar

Firman Allah SWT:

إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan takdir.

 (Surah al-Qamar: 49)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan:  Ini merangkumi semua makhluk dan alam, sama ada yang tinggi atau rendah; bahawa Allah SWT  sendirilah yang menciptakannya, dan tidak ada pencipta selain daripada-Nya, serta tidak ada yang bersama-Nya dalam penciptaan . Dia menciptakan semuanya dengan ketentuan yang telah didahului oleh pengetahuan-Nya, dicatat oleh pena-Nya, pada waktu dan kadar yang telah ditetapkan.(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.827)

Diriwayatkan oleh Umar Bin al-Khattab bahawa Rasulullah bersabda:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّه

Maksudnya:  Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir-Nya yang baik dan yang jahat.

Riwayat Muslim(8)

Menjawab bagi persoalan di atas Al-Qadar seperti yang telah dinyatakan dalam kitab Sifat Rabb al-’Alamin mempunyai empat martabat, secara  terperincinya adalah seperti berikut:

  • Ilmu

Seorang muslim hendaklah beriman bahawa  Allah SWT mengetahui segala sesuatu secara menyeluruh dan terperinci. Dia mengetahui hamba-hamba-Nya, perbuatan mereka, keadaan mereka, ketaatan mereka, dan kemaksiatan mereka dengan pengetahuan-Nya yang azali  yang tidak terbatas sebelum adanya apa-apa; kerana Allah SWT  mengetahui apa yang telah berlaku dan akan berlaku.

Firman Aallah SWT:

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja.

(Surah al-An’am:59)

  • Catatan

Beriman bahawa Allah telah menentukan takdir ke atas setiap makhluk-Nya, Dia telah menulisnya berdasarkan pengetahuan-Nya sebelum menciptakan langit dan bumi, 50,000 tahun sebelumnya.

Firman Allah SWT:

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ۗ إِنَّ ذَٰلِكَ فِي كِتَابٍ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Maksudnya: Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.

(Surah al-Haj:70)

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كتب اللهُ تعالى مقاديرَ الخلائقِ قبلَ أنْ يخلُقَ السماواتِ والأرضَ بخمسينَ ألفَ سنةٍ وعرشُهُ على الماءِ.

Maksudnya: Allah menetapkan takdir-takdir seluruh makhluk 50.000 tahun sebelum Allah menciptakan langit dan bumi sementara Arsy Allah diatas air.”

Riwayat Muslim (2653)

  • Kehendak

Tidak ada sesuatu pun di langit dan bumi kecuali ia wujud dengan kehendak dan keinginan Allah. Tidak ada yang dapat keluar dari kehendak-Nya, jadi setiap perkara yang berlaku  adalah hasil daripada kehendak Allah. Setiap yang bergerak mahupun berhenti , atau setiap perubahan yang berlaku  sama ada ia wujud atau tidak ia merupakan kehendak Allah SWT. Begitu juga setiap apa yang bertambah  dan berkurang  dalam setiap aspek, semuanya adalah hasil daripada kehendakNya. Tidak ada yang berlaku di dalam kerajaan-Nya yang tidak dikehendaki oleh-Nya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

 إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ

Maksudnya: Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.

(Surah Yasin:82)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah

(Surah al-Insan: 30)

  • Penciptaan

Allah adalah Pencipta segala sesuatu; tidak ada sesuatu pun di langit dan di bumi melainkan Allah adalah yang menciptakannya, memiliki, mengatur, dan mempunyai kuasa ke atasnya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

Maksudnya: Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya.

(Surah al-Zumar:62)

(Lihat Sifat Rabb al-’Alamin,5/50)

Justeru, sebagai penganut agama Islam, hendaklah beriman dengan qadar (ketentuan) Allah SWT, sama ada ketentuan tersebut baik atau buruk. Ini adalah prinsip penting dalam kepercayaan Islam di mana umat Islam dianjurkan untuk menerima dengan hati yang terbuka  dalam menghadapi segala ketentuan Allah, baik yang menyenangkan atau menguji. Dengan beriman kepada qadar, umat Islam  dapat menjalani kehidupan dengan ketenangan hati dan keyakinan bahawa Allah adalah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana dalam segala urusan-Nya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah:201)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445