#3080: Keislaman Mukhairiq

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Yahudi yang bernama Mukhairiq memeluk Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagai mana yang kami nyatakan bahawa ramai di kalangan ahli kitab terutamanya pendeta dan paderi mereka apabila mengetahui kebenaran Rasulullah SAW akhirnya mereka beriman dan percaya.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa Mukhairiq ialah seorang ulama’ Yahudi di Madinah, keturunan Bani Nadhir. Tatkala Rasulullah pergi ke Bukit Uhud, Mukhairiq berkata kepada orang Yahudi, “Tidakkah kamu semua pergi menolong Muhammad? Demi Allah SWT, kamu pun tahu bahawa menolongnya adalah satu kewajipan.” Mereka menjawab, “Hari ini ialah hari Sabtu!” Mukhairiq berkata, “Tidak ada Sabtu!” Setelah masuk Islam, dia pun mengambil pedangnya lalu berjuang bersama-sama Nabi Muhammad sehingga cedera parah. Pada sa’at-sa’at kematiannya, dia berkata, “Semua hartaku terserah kepada Muhammad untuk digunakan mengikut kehendaknya.” Mukhairiq memiliki banyak kebun dan Rasulullah menggunakannya untuk disedekahkan kepada orang muslimin memerlukannya.” (Lihat al-Isobah oleh al-Hafiz Ibnu Hajar, 6/73)

Demikianlah sebahagian daripada beberapa peristiwa orang Yahudi dan Nasrani yang telah beriman dengan Nabi Muhammad berdasarkan hasil pembacaan mereka daripada kitab-kitab Taurat dan Injil dan ma’lumat yang mereka ketahui daripada nabi-nabi mereka.

Persoalannya, di manakah semua nas Taurat dan Injil tersebut yang menceritakan kedatangan Nabi Muhammad dan menyebut beberapa sifat yang menjadi tanda-tandanya?

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 15 September 2023 bersamaan 29 Safar 1445