#3125: Hukum Menonton Drama yang Mendedahkan Aurat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menonton drama yang menampilkan orang yang tidak menutup aurat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama sekali, Allah SWT telah memerintahkan ummat Islam agar memelihara anggota badannya daripada melakukan sebarang perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً

Maksudnya: “Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

(Surah al-Isra:36)

Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa, masing-masing akan ditanya tentang apa yang telah dilakukannya. Hati akan ditanya tentang apa yang dipikirkannya dan yang diyakini, pendengaran dan penglihatan akan ditanya tentang apa yang didengar dan dilihatnya. Dikatakan juga bahawa Allah SWT akan menyoal manusia tentang apa yang telah dilakukan oleh pendengaran, penglihatan, dan hatinya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 10/259)

Imam Ibn al-Qyyim menyebutkan 7 anggota badan yang utama: Mata, telinga, mulut, faraj, tangan dan kaki. Kesemua ini ibarat yang boleh membawa kepada kebinasaan dan juga keselamatan. Dengan kesemua ini juga telah binasanya orang yang cuai dan tidak menjaganya, dan telah terselamat mereka yang menjaga dan memeliharanya. Menjaga setiap anggota ini adalah asas kepada segala kebaikan, manakala mengabaikannya adalah asas segala keburukan.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 30:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Lihat Ighathat al-Lahfan, 1/80)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan (يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ) mengatakan bahawa Allah SWT memerintahkan orang islam untuk menjaga penglihatan daripada melihat apa yang mereka bersyahwat padanya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 19/154)

Melihat kepada ayat Allah SWT di atas, diisyaratkan untuk memelihara penglihatan terlebih dahulu kerana ia merupakan sebab terpeliharanya faraj. Diriwayatkan dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، وَالقَلْبُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6243) dan Muslim (2657)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti ketika mengulas hadith di atas menyebutkan, memang diketahui bahawa penglihatan itu merupakan sebab berlakunya zina. Oleh yang demikian, sebagai contoh, mereka yang banyak melihat kecantikan wanita berkemungkinan untuk timbul rasa suka yang teramat dalam hatinya sehingga menjadi sebab kebinasaannya, maka jadilah penglihatan itu sebagai perantara kepada zina. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/510)

Oleh yang demikian, segala yang dilihat atau ditonton dalam filem yang mempunyai babak-babak yang mendedahkan aurat seseorang, maka hukumnya adalah haram kerana ia boleh membawa kepada kancah penzinaan dan wajib ditinggalkan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Imam Ibn Kathir mengatakan, Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya dari perbuatan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. “Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji”, yakni dosa yang besar dan suatu jalan yang buruk. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/67)

Berdasarkan dalil di atas, jelas menunjukkan bahawa perintah Allah SWT supaya “jangan mendekati zina” melalui apa cara atau jalan sekalipun yang boleh membawa kepadanya seperti pandangan mata, sentuhan, pertuturan yang memikat, dan berkhalwat. Semua perkara ini jika bertujuan untuk memenuhi syahwat hati maka hukumnya adalah haram dan wajib dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa-dosa kecil.

Ini juga bertepatan dengan kaedah usul fiqh yang menyebut:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu kewajiban yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.”

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan di atas, kami katakan bahawa hukum menonton drama atau apa jua rancangan television yang menampilkan orang yang tidak menutup aurat adalah tidak dibolehkan dan hendaklah kita mengelakkannya.

Di samping itu, kami juga menasihatkan agar ummat Islam memenuhkan masa-masa yang terluang dengan aktiviti yang jauh lebih bermanfaat daripada menonton drama, seperti bersukan untuk menyihatkan badan, menghadiri program-program yang boleh menambahkan kemahiran diri, dan sebagainya. Ini juga sebahagian daripada tuntutan syara’ sebagaimana yang thabit dalam riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ

Maksudnya: “Di antara (contoh) bagusnya keislaman seseorang itu, adalah dengan dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat padanya.”

Riwayat Ahmad (1737) dan Tirmizi (2317)

Sebaiknya, kita menggantikan hiburan yang melalaikan dengan perkara yang lebih berfaedah. Nescaya, Allah SWT akan menggantikan keseronokan hiburan yang kita tinggalkan dengan sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat  dengan izinnya.

Diriwayatkan bahawa Abu Qatadah dan Abu al-Dahma’ bertemu dengan seorang sahabat lalu bertanya kepadanya: “Kamu ada mendengar apa-apa (hadith) daripada Rasulullah SAW?”, jawabnya: “Ada, aku mendengar Baginda bersabda:

إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا لِلَّهِ إِلَّا بَدَّلَكَ اللَّهُ بِهِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكَ مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak meninggalkan sesuatu kerana Allah melainkan Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik bagi kamu daripadanya.”

Riwayat Ahmad (23074). Al-Albani mengatakan sanadnya sahih di  dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2/734)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445