Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Salam Ustaz, saya tidak tahu sama ada ustaz baca atau tidak. Saya seorang isteri dan bekerja serta mempunyai dua anak. Suami saya pelaut. Kami berkahwin atas dasar suka sama suka. Suami saya ketika kami dapat anak pertama, dia jarang tolong saya. Masa anak kedua lahir pula, dia hanya tolong sedikit sahaja disebabkan oleh saya menghidapi penyakit anxiety. Tetapi setiap kali suami saya pulang ke rumah, pada minggu pertama dan kedua, dia akan membantu saya, selepas itu dia kembali ke perangai lama yang tidak membantu saya seperti menghabiskan masa yang lama dengan bermain game sahaja. Saya bekerja, jadi saya jarang makan tengahari di rumah. Dia mahukan saya bagi masa pada dia dengan memasak dan semuanya. Suami saya bab makan di luar mesti dia berkira, kalau beli benda kesukaan dia, dia tidak rasa membazir pun. Suami saya makan ayam dan daging sahaja. Ikan, sayur dan buah dia tidak makan, jadi apabila saya meminta dia untuk membelikannya, berat dia nak beli. Sebab itu saya masih bekerja walaupun gaji suami lebih tinggi dalam keadaan suami lebih menitikberatkan kebendaan.
Soalan saya: Adakah wajib saya masak bila suami saya suruh sedangkan dia di rumah seharian main game, tidak buat kerja lain dan tidak buat kerja sangat. Saya sejak lahirnya anak kedua, saya sudah tawar hati pada suami dan sudah tidak mencintai suami saya, walaupun begitu saya masih bersama dengan dia apabila dia minta. Tetapi saya tidak rasa cinta dan tenang dengan dia. Adakah saya berdosa dan ini akan menarik saya masuk ke neraka? Saya buntu.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah al-Rum: 21)
Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata: “Maka, jelaslah perkahwinan itu bukan sahaja untuk memberi kebahagian kepada satu pihak sahaja seperti mana yang disebutkan dalam ayat di atas.” (Lihat al-Mu‘tamad, 4/18)
Terdapat banyak keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”.
Riwayat Ibn Hibban (4163) dan Al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (4715). Al-Suyuti menilainya sahih sebagaimana dalam al-Jami’ al-Saghir (720)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”
Riwayat Muslim (715)
Abu al-Abbas al-Qurtubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).
Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sabda Nabi SAW:
أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”
Riwayat Abu Dawud (1664). Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (6/13) menyatakan bahawa sanadnya sahih berdasarkan syarat Imam Muslim.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili R.A, Nabi SAW menyebut:
مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ
Maksudnya: “Seseorang lelaki yang beriman itu tidak akan mendapat manfaat dan faedah – selepas takwanya kepada Allah SWT – lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, dia taat, jika suaminya melihat kepadanya, dia menyenangkannya. Jika bersumpah, nescaya dia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan oleh suaminya, dia menjaga diri dan menjaga hartanya.”
Riwayat Ibn Majah (1857). Hadith ini dinilai dha’if sebagaimana dalam Dha’if al-Jami’ (4999)
Antara ciri-ciri seorang isteri yang solehah juga ialah:
- Segera menyahut dan hadir apabila dipanggil oleh suami. Rasulullah SAW bersabda, yang maksudnya: “Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isteri itu menolak. Kemudian, suami itu bermalam dalam keadaan marah, maka isterinya itu dilaknat oleh para malaikat sehingga waktu pagi.”
- Tidak membantah perintah suami selagi tidak bertentangan dengan syariat.
- Tidak bermasam muka terhadap suami.
- Sentiasa menuturkan kalimah yang baik-baik.
- Tidak membebankan suami dengan permintaan di luar kemampuan suami.
- Keluar rumah hanya dengan izin suami.
- Berhias hanya untuk suami.
- Menghargai pengorbanan suami.
- Tidak membenarkan orang yang tidak diizinkan suami masuk ke dalam rumah.
- Menerima tunjuk ajar daripada suami.
- Menghormati mertua serta kaum keluarga suami.
- Sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih.
- Menjadi penenang dan penyeri rumahtangga. (Lihat Rumahku Syurgaku oleh Dr. Zulkifli al-Bakri, hlm. 78)
Selain itu, bagi suami pula wajib menunaikan hak dan tanggungjawabnya sebagaimana ia wajib juga bagi isteri. Hal ini kerana perkahwinan merupakan satu institusi yang memerlukan perlaksaan tanggungjawab dan kewajipan di atas hak sebagai suami dan isteri. Selain itu, panduan yang diajar oleh agama Islam supaya sentiasa bergaul dan bertoleransi di antara keduanya bagi melahirkan hubungan yang mahabbah. Ini kerana pasangan suami isteri itu saling melengkapi antara satu sama lain. Firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka
(Surah al-Baqarah: 187)
Begitu juga kewajipan seorang suami adalah menunaikan nafkah dari segi zahir atau batin kepada isteri dan anak-anaknya. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya bahawa para fuqaha bersepakat kewajipan suami memberi nafkah terhadap isterinya, tanpa ada perselisihan pandangan terhadapnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/277)
Firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّـهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
(Surah al-Nisa’: 34)
Dr. Wahbah Zuhaili menafsirkan ayat ini dengan menyatakan, seseorang lelaki itu dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah serta tempat tinggal kepada Isterinya… dan bagi lelaki ia merupakan ketua bagi memudahkan urusan kekeluargaan. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/316-317)
Selain itu, firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”
(Surah al-Baqarah 233)
Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan, tanggungjawab isteri adalah mengandung dan melahirkan serta menyusukan anak. Manakala tanggungjawab suami adalah menyediakan kelengkapan dari segi makanan, minuman dan pakaian untuk melaksanakan tugas sebagai isteri. Begitu juga menjaga keselamatan dan segala urusannya. Nafkah yang diberikan berdasarkan kiraan mengikut kebiasaan masyarakat setempat seseorang perempuan itu (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/187)
Kesimpulan
Justeru, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa puan wajib taat pada suami selagi mana suami puan tidak menyuruh puan melakukan perkara yang maksiat. Hal ini kerana walaupun suami saudari tidak mengambil cakna akan tanggungjawabnya dan tidak mengambil berat pada saudari dan anak-anak, saudari tetap wajib patuh pada perkara yang tidak melanggar perintah agama. Selagi mana seorang isteri mentaati Allah, menjaga solat, menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim, mentaati suami, pasti Allah SWT akan menempatkan tempat di syurga kelak sebagaimana nas yang menyatakan demikian.
Di samping itu, sebaik-baiknya tegurlah suami dengan cara yang baik dan tunjukkan akhlak yang baik dan selalulah berdoa agar Allah SWT membuka pintu hatinya untuk menjadi lebih baik. Kami juga syorkan untuk puan berbincang dari hati ke hati bersama suami. Sentiasalah bermuhasabah diri antara satu sama lain untuk memperbaiki dan mengislahkan akhlak serta tingkah laku antara sesama keluarga dengan lebih baik lagi. Dengan itu, mudah-mudahan datang sebuah kesedaran untuk sama-sama berubah ke arah yang lebih baik.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita keluarga bahagia bersama dengan anak-anak dan zuriat yang soleh dan solehah. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445