Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai awlawiyyat, bagaimana sekiranya berlaku pertembungan antara kewajipan melakukan pembedahan dan mendirikan solat fardhu. Sebagai contoh perawat hospital yang menjalani pembedahan pesakit sehingga luput waktu solat. Mohon pencerahan daripada Dato’ Seri. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Solat juga adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah.Selain itu, Solat merupakan ibadah agung dalam agama Islam. Justeru, Islam amat menitikberatkan perihal solat fardhu walau di mana berada dan keadaannya. Kewajipannya mesti ditunaikan dalam apa jua keadaan apabila mencukupi syarat wajib.
Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”
(Surah al-Baqarah: 43)
Diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Umar bahawa Nabi SAW bersabda:
بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”
(Riwayat al-Bukhari (7)
Kewajipan mendirikan solat Lima waktu ke atas umat islam dapat dilihat melalui firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(Surah al-Nisa’:103)
Ibn Mas’ud RA dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi pelaksanaan ibadah haji. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/258)
Al-Maraghi berkata: “Lima sembahyang wajib telah ditetapkan waktunya secara terperinci tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadikan mukmin itu selalu mengingati Tuhannya pada setiap waktu, supaya tidak lalai menghadapi perbuatan dosa atau kurang berbuat baik. Sesiapa yang ingin menambah perkara sunat dan zikir dengan lebih banyak, hendaklah memilih waktu-waktu yang sesuai dengan keadaan dan situasi dirinya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1338)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan umat Islam yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya diwajibkan untuk menjaga solat lima waktu, tanpa mengira keadaan sekalipun. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.”
(Surah al-Mukminun: 9)
Solat merupakan tiang agama dalam Islam, ia adalah salah satu daripada rukun Islam yang penting, dan juga membezakan umat Islam dari orang-orang kafir. Yang demikian telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya, yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir dan syirik, iaitu meninggalkan solat.”
Riwayat Muslim (82) dan Ahmad (14947)
Antara maksud ‘يُحَافِظُونَ’ adalah memelihara solat dalam waktunya. Ibn Mas’ud, Masruq, Ikrimah dan Said bin Jubair berkata: “Yakni, orang-orang yang memelihara solatnya, dan menjaga waktu-waktu solat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/714)
Dalam isu ini kami telah bertanyakan kepada pakar-pakar bedah dan perawat hospital, maklumat yang kami perolehi adalah, urusan pembedahan selalunya dilakukan secara berkumpulan dan para petugas mempunyai ruang masa untuk makan,minum serta melakukan penggiliran selama lebih kurang 5-10 minit. Oleh yang demikian kami katakan dalam situasi yang mempunyai sedikit ruang masa seperti yang telah dinyatakan maka, adalah wajib bagi setiap petugas muslim menggunakan masa tersebut bagi melaksanakan kewajipan solat yang telah ditetapkan melainkan betul-betul berada dalam keadaan mendesak seperti menyelamatkan nyawa pesakit gempa bumi,tanah runtuh dan sebagainya.
Kami telah mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar bedah dan jururawat di hospital untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam. Maklumat yang kami perolehi menunjukkan bahawa prosedur pembedahan selalunya dijalankan dalam satu kumpulan, dan petugas-petugas terlibat diberi sedikit ruang masa di antara urusan pembedahan untuk makan, minum, dan melakukan penggiliran, yang biasanya mengambil masa sekitar 5-10 minit.
Oleh itu, kami ingin menekankan bahawa dalam situasi yang mempunyai sedikit masa lapang seperti yang telah dijelaskan, adalah sangat penting bagi setiap petugas Muslim untuk memanfaatkan waktu tersebut bagi melaksanakan kewajipan solat yang telah ditetapkan. Namun, kami juga ingin menekankan bahawa terdapat pengecualian apabila benar-benar berada dalam keadaan darurat yang mengancam nyawa, seperti menyelamatkan pesakit dari gempa bumi, tanah runtuh, atau situasi yang seumpamanya.
Justeru, kami syorkan dalam menjalankan tugas sebagai petugas kesihatan, petugas Muslim boleh merancang dengan kumpulan dan pasukan mereka untuk memastikan bahawa keperluan solat juga diambil kira dalam jadual mereka. Ini akan membantu mereka menjalankan tanggungjawab agama mereka tanpa mengabaikan tugas profesional mereka dalam menyelamatkan nyawa dan menjaga kesihatan pesakit.
Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi nasihat yang penting kepada semua individu agar sentiasa mematuhi waktu solat dan menjalankan ibadah ini pada awal waktu yang telah ditetapkan. Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Masu’d bahawa bahawa beliau bertanya Rasulullah SAW : Apakah amalan yang amat dicintai oleh Allah SWT lalu Rasulullah SAW bersabda:
أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ ” الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا ”. قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ ” ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ”. قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ ” الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ”
Maksudnya: Apakah amalan yang paling dicintai disisi Allah SWT? Nabi menjawab “Solat pada waktunya”. Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “Jihad pada jalan Allah SWT”.
Riwayat al-Bukhari (5970)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim:40)
Wallahua’lam
Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445