#3176: Main Teri atau Main Puteri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum Main Teri atau dipanggil juga sebagai Main Pateri? Adakah ia dibolehkan sebagai satu seni persembahan budaya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan ringkas berkenaan Main Puteri atau Main Teri ini. Main Puteri merupakan salah satu upacara perubatan tradisional yang berkonsepkan sebuah medico-theaterical-ritual iaitu persembahan ibarat sebuah drama yang berhubung kait dengan tujuan perubatan bagi mengubati kekusutan jiwa atau pun penyakit psikosomatik. Antaranya ialah penyakit yang disebabkan oleh rasukan makhluk halus, hilang semangat, ketidakseimbangan tenaga dalaman dan gangguan angin.

Main Pateri juga dikenali dengan nama Main Teri, Main Puteri atau Main Peteri. Selain itu, Main Pateri juga sangat popular dalam kalangan masyarakat sebagai salah satu bentuk hiburan yang berasal dari istana dan di bawah naungan raja. Kemudian, upacara ini tersebar dalam kalangan masyarakat awam bagi mengubati orang sakit yang berkaitan dengan masalah jiwa, angin dan semangat.

Cara perubatan Main Teri adalah melibatkan perantaraan dua alam iaitu alam nyata dengan alam ghaib yang cara perubatannya adalah memerlukan bantuan daripada jin dan dewa-dewa kayangan. Persembahan Main Teri diadakan untuk mengetahui punca-punca penyakit dan berusaha untuk menyembuhkan penyakit dengan cara memujuk kuasa-kuasa luar yang dikatakan menyebabkan seseorang itu menjadi sakit.

Upacara Main Pateri ini diketuai oleh seorang bomoh yang dikenali dengan nama Bomoh Teri atau Tok Teri.  Pembantu Tok Teri pula dikenali dengan nama Tok Minduk.  Kemudian perubatan tradisional ini diiringi dengan kumpulan muzik, iaitu awak-awak atau dikenali juga sebagai panjak sepanjang rawatan ke atas pesakit. Alat muzik yang dimainkan bukan sekadar alat muzik biasa. Hal ini kerana setiap pukulan peralatan muzik yang dibuat seperti pukulan gendang merupakan pukulan kepada penyakit supaya penyakit yang dihidapi hilang. Gesekan rebab pula menunjukkan panggilan kepada penawar penyakit.  Selain daripada itu, bantal turut digunakan dalam persembahan Main Pateri, yang mana sebiji bantal akan diletakkan di hadapan Tok Minduk bagi menandakan sempadan kawasan antara Tok Minduk dan Tok Teri. Sempadan ini tidak boleh dilintasi oleh kedua-dua pihak kerana bantal yang digunakan menandakan batasan kuasa Tok Teri.

Dikatakan Tok Teri dan Tok Minduk mampu berkomunikasi dua hala dengan makhluk ghaib yang merasuk ke dalam tubuh badan pesakit. Orang yang mengalami resapan makhluk ghaib dikenali sebagai upacara “menurun”. Upacara “menurun” mempunyai peraturan yang tertentu, yang dimulai dengan acara memanggil semangat atau roh. Kemudian, barulah upacara perubatan dilakukan. Setelah selesai upacara “menurun”, ia akan diakhiri dengan upacara menjamu iaitu memberi makan kepada makhluk ghaib. Upacara berjamu makanan dalam Main Teri kepada makhluk halus ini merupakan cara memujuk makhluk halus agar tidak menganggu pesakit dan pulang ke tempat asal. Bahkan Main Teri itu sendiri merupakan salah satu cara memujuk makhluk halus.[1]

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, Islam tidak menghalang umatnya daripada berhibur. Akan tetapi hiburan di sisi Islam perlu disuluh dan dipandu mengikut nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam, serta tidak mengandungi perkara-perkara yang dilarang ataupun bertentangan dengan agama. Selain itu, pada dasarnya, Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia.

Ini berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ، دَخَلَ عَلَيْهَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا يَوْمَ فِطْرٍ أَوْ أَضْحًى، وَعِنْدَهَا قَيْنَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَعَازَفَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثٍ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ؟ مَرَّتَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَإِنَّ عِيدَنَا هَذَا اليَوْمُ

Maksudnya: “Abu Bakar masuk menemuinya dan Nabi SAW berada di sisinya (Aisyah) pada Hari Raya Aidilfitri atau (Aidil) Adha. Di sisinya (Aisyah) ada dua orang penyanyi sedang menyanyikan lagu yang dinyanyikan kaum Ansar pada hari (perang) Bu‘ath. Maka Abu Bakar berkata: ‘Seruling syaitan? Beliau mengucapkannya sebanyak dua kali. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya, dan hari raya kita adalah hari ini.’

Riwayat al-Bukhari (3931) dan Muslim (892)

Berdasarkan hadith di atas, jelaslah bahawa hiburan yang dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati dibolehkan dalam Islam. Ini adalah seperti mana dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 273)

Tambahan lagi, ia juga bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Selain itu, berkenaan hiburan ini juga, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam Muzakarah kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 telah membuat beberapa ketetapan sebagai panduan kepada semua pihak sama ada penganjur atau penonton berkaitan hiburan iaitu:

  • Nyanyian yang seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.
  • Jika nyanyian seni katanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka hukumnya adalah haram.
  • Pancaragam atau alat muzik yang melalaikan seperti lalai menunaikan solat dan sebagainya hukumnya haram.
  • Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah.
  • Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.[2]

Tambahan lagi, berhubung dengan hiburan ini juga, di sana terdapat garis panduan telah dikeluarkan bagi memastikan hiburan tersebut mencapai maksud dan selari dengan prinsip Islam. Antara garis panduan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Program Hiburan
  • Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.
  • Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan ramai orang.
  • Mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam
  • Tidak disertai oleh perbuatan haram atau maksiat.
  • Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
  • Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
  1. Persembahan Muzik
  • Tidak menimbulkan gerak geri liar.
  • Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.
  • Tidak melalaikan.
  1. Lirik
  • Kalimah syahadah dalam Bahasa Arab hendaklah disempurnakan.
  • Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak dan memberi perangsang melakukan dosa.
  • Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.
  • Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.
  • Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.
  • Tidak mengandungi unsur-unsur mengutuk nasib dan lucah .
  • Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.
  • Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.
  1. Persembahan Artis
  • Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.
  • Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
  • Tidak melakukan gerak-geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.
  • Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.
  1. Persembahan Tarian
  • Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
  • Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
  • Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
  • Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
  • Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.
  1. Tanggungjawab Penganjur

Penganjur hendaklah memastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.[3]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa Main Teri atau Main Pateri sebagaimana dijelaskan di atas adalah haram kerana jelas ia mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan akidah Islam seperti unsur mensyirikkan Allah SWT dan elemen animisme yang kuat. Justeru, sebaik-baiknya menjauhi daripada terlibat dengannya sama ada bagi mendapatkan rawatan dan lain-lain kerana dikhuatiri ia akan menjerumuskan seseorang itu ke lembah kesesatan dan kekufuran. Na‘uzubillah min zalik.

Begitu juga kami menasihatkan kepada pelakunya yang terlibat dengan perkara seperti ini untuk bertaubat dengan taubat nasuha. Semoga Allah SWT memelihara iman dan akidah kita daripada terpesong ke jalan yang batil.

Namun, jika Main Teri atau Main Pateri ini tidak mengandungi perkara-perkara atau elemen-elemen yang bercanggah dengan akidah Islam seperti pemujaan, unsur mensyirikan Allah dan seumpamanya, dan ia hanya sebagai satu seni persembahan budaya, di samping ia juga memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan sebagaimana yang kami sebutkan di atas, maka ketika ini hukumnya kembali kepada hukum asal, iaitu diharuskan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya:Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

[1] Lihat Nur Aqidah A.Aziz, Mardiana Idayu Ahmad, et. al, Main Pateri Dan Persekitaran Fizikal: Kajian Kes Di Kampung Jedok, Ayer Lanas, Kelantan, (http://jurnal.dbp.my/index.php/Melayu/article/view/4527/1294); Azlina Musa dan Yusmilayati Yunos, Simptom-Simptom Penyakit Dalam Main Teri: Satu Kajian Kes Di Kampung Pasir Mas, Kelantan, Jurnal Melayu (8) 2011: 233 – 249; Ab. Aziz Shuaib dan Raja Iskandar Raja Halid, The Search For The Middle Path: Islam And The Traditional Malay Performing Arts, (http://umkeprints.umk.edu.my/698/1/Article%201.pdf . Diakses pada 14 Oktober 2021.

[2] Lihat https://www.facebook.com/DakwahJakim/photos/a.10150091927227398/10152346436742398/?type=3. Diakses pada 19 September 2023.

[3] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/assets/files/old-site/garis_panduan_hiburan_dalam_islam.pdf. Diakses pada 19 September 2023.

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445