#3177: Duduk di Sofa Jiran Bukan Muslim yang Memelihara Anjing

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini saya telah berkunjung ke rumah jiran bukan Muslim saya untuk memberikan sebakul buah kerana jiran saya ini telah jatuh sakit. Jiran saya ini ada membela seekor anjing serta dua ekor kucing. Ketika saya sampai, saya telah diajak untuk masuk. Kesemua haiwan peliharaan jiran saya itu disimpan di dalam bilik sepanjang saya berada disana. Persoalan saya ialah, perlukah saya sertu seluar saya kerana saya telah duduk di sofa rumah jiran saya yang juga berkemungkinan telah diduduki oleh anjing peliharaan beliau? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2276: Terkena Bulu Anjing yang Melekat pada Kereta dalam Keadaan Kering[1]

#1387: Seluar Bergesel dengan Anjing[2]

#941 Air Liur Anjing yang Sudah Kering[3]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tidak perlu untuk menyertu seluar tersebut disebabkan saudara duduk di sofa jiran non Muslim saudara. Perlu difahami di sini najis mughallazah tidak akan berpindah selagi mana salah satunya (orang yang menyentuh dan anjing) dalam keadaan kering. Maka, dalam isu ini tidaklah perlu sehingga menyertu seluar tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْماً كَثِيرًا، وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

 

[1] https://maktabahalbakri.com/2276-terkena-bulu-anjing-yang-melekat-pada-kereta-dalam-keadaan-kering/

[2] https://maktabahalbakri.com/1387-seluar-bergesel-dengan-anjing/

[3] https://maktabahalbakri.com/940-air-liur-anjing-yang-sudah-kering/

 

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445