#3181: Mendepani Ideologi Jabbariyyah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana mendepani  ideologi jabbariyyah ? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

(Surah Ali Imran:85)

Abu Hayyan menyatakan, semua syariat-syariat yang ada telah ditolak kecuali syariat (Islam) yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sahaja. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 1/310). Menurut al-Sabuni pula, sesiapa yang mencari syariat selain syariat Islam, selepas diutuskan Nabi SAW untuk dijadikan syariatnya, maka tidak akan sesekali diterima oleh Allah SWT. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/137).

Makna Jabbariyyah

Perkataan Jabbariyyah berasal dari kata jabara yang bererti memaksa dan mewajibkannya melakukan sesuatu. (Lihat al-Munjid,hlm. 78). Dari sudut istilah, Al-Jabr adalah penafian hakikat perbuatan kepada hamba dan menyandarkannya kepada Allah SWT. Aliran Jabbariyyah mempunyai beberapa kelompok antaranya Jabbariyyah Khalisah (Tulen) dan Jabbariyyah Mutawassitah (Pertengahan/Sederhana).

Jabbariyyah Khalisah adalah kelompok yang tidak menetapkan perbuatan bagi hamba, begitu juga kekuasaan bagi perbuatan tersebut secara hakikatnya. Jabariyyah Mutawassitah pula menetapkan kekuasaan bagi hamba namun ianya tidak memberi kesan. Mereka menamakan usaha (kasb) tersebut sebagai al-qudrah al-hadithah. (Lihat al-Milal wa al-Nihal, 1/85)

Telah dinyatakan oleh Ibn Abi al-’Iz al-Hanafi  dalam kitabnya  Syarh Akidah al-Tahawiyyah bahawa: Mereka adalah pengikut al-Jahm ibn Safwan, yang dibunuh oleh Salim ibn Ahwaz, penguasa Khurasan pada tahun 128 Hijriyah. (Lihat Syarh Akidah al-Tahawiyyah,2/349 )

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan terlebih dahulu  bahawa mereka yang beri’tikad dengan akidah Jabbariyyah ialah mempercayai bahwa manusia tidak memiliki pilihan dalam perbuatan mereka dan tidak memiliki kemampuan untuk mengubah keadaan mereka. Semua perbuatan adalah atas kehendak Allah, Yang Maha Suci, dan Dia yang melakukan perbuatan itu melalui mereka. Mereka menganggap apa yang berlaku adalah secara mutlak dalam semua perbuatan mereka. Jadi, ketika seorang hamba beriman atau kafir, dan taat atau berbuat dosa, itu bukanlah perbuatan mereka sebenarnya, melainkan hanya secara majazi. Pelaku sejati adalah Allah, Yang Maha Suci, kerana seorang hamba tidak dapat mengubah apa pun dari itu.” (Lihat Maqalat Islamiyyah,hlm.338)

Begitu juga Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah dalam isu ini beliau menyatkan bahawa : Tauhid al-Qadariyah al-Jabariyah adalah pemahaman yang menyatakan bahawa perbuatan manusia adalah bukan hasil dari kemahuan mereka sendiri atau usaha mereka. Sebaliknya, perbuatan-perbuatan ini adalah sama dengan perbuatan Allah, dan Dia yang melakukan perbuatan tersebut tanpa keterlibatan mereka. Mengaitkan perbuatan-perbuatan ini kepada manusia dan mengatakan bahawa mereka melakukan perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan tauhid dalam pandangan mereka. (Lihat al-Sawaiq al-Mursalah ala al-Jahmiyah al-Mua’ttolah, 1/577 )

Dalam isu ini kami katakan antara cara untuk medepani ideologi Jabbariyyah adalah sebgaimana berikut:

  • Sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu dan mendampingi para ulama agar dapat mempelajari akidah yang betul bersumberkan petunjuk al-quran dan al-Sunnah
  • Membaca al-Quran beserta tafsirannya dan hadith beserta ertinya.
  • Mempelajari akidah daripada buku-buku yang sahih yang tidak terkandung di dalamnya perkara-perkara yang menyeleweng daripada akidah yang benar.

Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Jangan kamu baca kitab-kitab batil sehingga kamu benar-benar tamakun pada kebenaran. Ini kerana tiada kekuatan kepada batil tetapi kelemahan pada dirinya. Ilmu-ilmu sama seperti air, orang jahil akan tenggelam dalam kolam sedangkan orang yang mahir lagi berilmu boleh berenang di lautan.”

  • Memilih guru yang baik yang mempunyai kepakaran terhadap sesuatu bidang. Muhammad bin Sirin mengatakan “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka lihatlah dari siapa kalian mengambil agama kalian (Lihat: Muqaddimah Sahih Muslim, hal. 10).

Syekh Ibrahim bin Musa asy-Syathibi dalam kitab al-Muwafaqat menyatakan bahawa: Salah satu cara untuk mencari ilmu yang boleh membimbing pelajar ke aras kepakaran dalam bidangnya adalah dengan mendapatkan ilmu dari ahli atau pakar yang telah mendalami ilmu tersebut secara mendalam dan menyeluruh (Lihat  al-Muwafaqat,hlm. 1/139).

Justeru, kami ingin menekankan bahawa untuk menghadapi ideologi seperti ini, seseorang perlu mengisi diri dengan ilmu pengetahuan yang sahih. Dengan demikian, kita dapat memahami akidah yang benar dan juga mengenalpasti kesesatan dalam iktikad yang dianut oleh beberapa kumpulan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445