#3198: Siapakah Khidir dan Apakah Keistimewaannya?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami siapakah Khidir dan apa keistimewaan yang terdapat padanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada sembilan sumber para ulama yang menjelaskan nama-namanya ada satu pendapat yang memanggilnya Khidir dengan nama “Khidr”. Ulama juga berbeza pendapat tentang identiti sebenar Khidir ini.

Pendapat tentang Khidir

  • Khidir ialah nama seorang anak cucu Adam yang taat beribadah kepada Allah dan ditangguhkan ajalnya (Lihat Kitab al-Ifrad, oleh al-Dara al-Qutni dan Ibn Asakir, riwayat daripada Ibn Abbas).
  • Ibu Khidir berasal dari Romawi sedangkan ayahnya daripada keturunan bangsa Parsi (Lihat Fath al-Bari 6/310, al-Bidayah wa al-Nihayah 1/326 dan Ruh al-Ma’ani 15/319).
  • Al-Nawawi menyebutkan bahawa Khidir ialah seorang putera raja. (Lihat Fath al-Bari, 6/390)

Berkenaan dengan namanya ada yang memanggil Khadir, al-Khadir atau al-Khidir. Nama-nama ini hanyalah gelaran yang biasa disebut orang dan beridentitikan dengan nama Allah yang menyerupai malaikat.

Ibn Asakir dan sahabat-sahabatnya meriwayatkan daripada Mujahid, bahawa hamba Allah ini digelar “Khidir” kerana perubahan warna di sekitarnya menjadi kehijauan bila dia mendirikan solat di suatu tempat. (Khadhra bermaksud hijau)

Sahabat Nabi bernama Ikrimah mengisahkan riwayat yang serupa kepada Ibn Abi Hatim. Ikrimah berkata:

“Dia digelar Khidir kerana apabila dia duduk di suatu tempat maka cahaya di sekitar tempat itu berubah menjadi hijau. Mungkin kerana pakaiannya yang berwarna hijau.”

Al-Sayyidi berkata:

“Apabila Khidir berdiri di atas satu tanah lapang yang gersang maka tanah yang dipijaknya akan tumbuh rumput yang hijau, hingga menutupi kedua-dua tapak kakinya. Hal itu terjadi kerana kebaikan peribadinya.”

Perkara sama juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Rasulullah SAW bahawa jika Khidir duduk di atas jerami yang kering maka jerami tersebut akan berubah menjadi hijau.

Dikatakan kisahnya panjang disebut di dalam surah al-Kahfi. Antara ayatnya adalah firman Allah SWT:

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا ‎﴿٦٥﴾‏ قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا ‎﴿٦٦﴾‏ قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا ‎﴿٦٧﴾‏ وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا ‎﴿٦٨﴾‏ قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا ‎﴿٦٩﴾‏ قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا

Maksudnya: “Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” Ia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi? Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”. Ia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.

(Surah al-Kahfi: 65-70)

Kisah ini berakhir sehingga ayat 82 daripada surah al-Kahfi. Akhir kalam, amrilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445