#3208: Tahi Cicak Membatalkan Air Sembahyang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru tular satu video dan di dalamnya disebutkan, terpijak tahi cicak membatalkan air sembahyang. Jadi, benarkah bahawa terpijak atau terkena tahi cicak membatalkan air sembahyang? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah. Hal ini kerana menurut mazhab al-Syafi‘i tahi, najis dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Ibn Mas‘ud R.A, beliau berkata:

فأتيتُه بحجرَيْن وروْثةٍ فأخذ الحَجرَيْن وألقى الرَّوْثةَ وقال: إنَّها رِكسٌ

Maksudnya: “Aku telah membawa dua biji batu kepada Nabi SAW dan satu kotoran (tahi binatang yang kering). Baginda mengambil dua biji batu dan membuang kotoran tersebut, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya ia ialah kotoran haiwan.’”  

Riwayat al-Tirmizi (17); Ibn Majah (314); Ahmad (3685)

Sekalipun pada asalnya, mazhab Syafi‘i berpendapat tinja, bahan buangan dan kencing itu adalah najis, sama ada daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang dimakan dan tidak dimakan. Namun ada beberapa keadaan, yakni berlakunya ‘Umum al-Balwa iaitu keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di dalam masjid, tinja ikan di dalam air dan tinja belalang, dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama, maka ia dianggap najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/550; Nihayah al-Muhtaj, 1/80).

Seterusnya, berkenaan perkara-perkara yang membatalkan wuduk pula, di dalam al-Fiqh al-Manhaji  (1/62-63) disebutkan bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  2. Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  3. Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila. 
  4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin. 
  5. Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wuduk menurut kesepakatan para ulama. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/113).

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa terkena atau terpijak tahi cicak mahupun najis-najis lain tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk atau air sembahyang. Oleh itu, wuduk seseorang yang terkena najis masih sah dan tidak terbatal serta dia tidak perlu mengulanginya. Walau bagaimanapun, jika dia ingin mendirikan solat, maka perlulah dipastikan bahawa pakaian atau tempat yang terkena najis itu dibersihkan terlebih dahulu sebelum mendirikan solat. Hal ini kerana di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.

Oleh kerana tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah, maka cara membersihkannya adalah dengan menghilangkan ainnya terlebih dahulu, kemudian mencucinya dengan air sehingga hilang bau, warna dan rasa. 

Dalam situasi di dalam ruang solat (surau/masjid) sekiranya tahi cicak itu boleh untuk dielakkan, maka jika terpijak, hendaklah segera dibuang kerana dikhuatiri ia boleh merosakkan solat. Namun, sekiranya tahi cicak itu sukar untuk dielakkan kerana terlalu banyak, ia tidaklah merosakkan solat kerana najis itu dimaafkan dan termasuk dalam ‘Umum al-Balwa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445