#3255: Tuang Air Panas ke dalam Bilik Mandi/Tandas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat larangan menuang air panas ke dalam tandas atau bilik air kerana dikhuatiri terkena jin? Sebabnya saya mendengar bahawa menuang air panas di dalam bilik air mendedahkan pelakunya kepada kemarahan jin kerana dia telah menyakiti mereka, bahkan dikatakan membunuh mereka disebabkan terkena air panas itu. Ini kerana kadang-kadang saya merendam baju saya dengan air mendidih, atau kadang-kadang juga saya menuang air panas dalam lubang di tandas bagi mengelakkan tersumbat. Tetapi sebelum menuangnya saya ada membaca bismillah dan berlindung kepada Allah SWT? Adakah ia mencukupi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, tidak dapat dinafikan bahawa tandas merupakan tempat tinggal syaitan, lebih-lebih lagi ia adalah tempat yang dikaitkan dengan kotor dan najis. Ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam al-Nawawi ketika membahaskan mengenai hadith larangan untuk menunaikan solat dalam tandas, dan menyatakan di antara sebab dilarang solat di tandas adalah kerana ia merupakan tempat tinggal syaitan. Beliau menegaskan:

وَالْأَصَحُّ أَنَّ سَبَبَ النَّهْيِ كَوْنُهُ مَأْوَى الشَّيَاطِينِ فَتُكْرَهُ كَرَاهَةَ تَنْزِيهٍ وَتَصِحُّ الصَّلَاةُ

Maksudnya: “Pendapat yang paling sahih bahawa sebab larangan (solat di tandas) kerana ia adalah tempat tinggal syaitan, maka (hukum solatnya) makruh tanzih (yang tidak membawa kepada dosa) namun solatnya adalah sah.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/166).

Dalam menjawab soalan di atas, sekelompok ulama menyatakan bahawa tempat mandi atau tandas di mana orang ramai menunaikan hajat mereka (iaitu buang air) adalah tempat tinggal syaitan. Oleh itu, manusia tidak sepatutnya berlama-lama di dalamnya kecuali dalam kadar yang diperlukan bagi menunaikan hajat tersebut. Terdapat riwayat daripada Zaid bin Arqam, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

 إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمُ الْخَلَاءَ، فَلْيَقُلْ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِثِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tandas-tandas ini sering dikunjungi oleh syaitan. Oleh itu, apabila seseorang daripada kamu pergi ke sana, hendaklah dia mengucapkan: ‘Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan jantan dan syaitan betina.’

Riwayat Abu Daud (6)

Al-Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith di atas manyatakan, lafaz “الْحُشُوشَ” adalah kata jamak kepada perkataan “حَشَّ” yang bermaksud tandas. Asalnya ia bermaksud himpunan pokok kurma di sekelilingnya. Kemudian, perkataan ini digunakan secara kiasan untuk merujuk kepada tempat buang air besar, kerana orang dahulu sering buang air besar di antara pokok-pokok kurma sebagaimana disebutkan oleh ulama yang mensyarahkan hadith ini. Menurut al-Tibi, husy (حُشٍّ) dengan dibaca baris depan merujuk kepada tempat buang air besar, manakala hasy (حَشَّ) dengan dibaca baris atas merujuk kepada kebun-kebun kurma kerana sebelum adanya tandas di rumah-rumah mereka, mereka biasanya buang air besar di kebun-kebun kurma.

Manakala lafaz “مُحْتَضَرَةٌ” pula bermaksud dengan dihadiri oleh jin dan syaitan-syaitan yang bersedia untuk menyakiti anak-anak Adam dan memudaratkan mereka kerana ia merupakan tempat terbukanya aurat dan tidak disebutkan nama Allah di dalamnya. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 1/386).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya tidak ada dalil yang menyebutkan tentang larangan membuang air panas ke tandas/bilik air. Meskipun begitu tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian pakar atau orang yang berpengalaman dalam bidang ruqyah syar‘iyyah menyebutkan bahawa salah satu penyebab jin mengganggu seseorang adalah kerana individu itu menuang air panas ke arah jin, yang kemudian mengenai jin tersebut dan menyakitinya. Akibatnya, jin tersebut menjadi marah dan berusaha menyakiti individu tersebut.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, gangguan jin terhadap manusia  disebabkan oleh tiga sebab: Boleh jadi kerana jin menyukai manusia yang diganggu, maka ia mengganggunya bagi memuaskan nafsunya. Jenis gangguan seperti ini lebih lembut dan lebih mudah. Boleh jadi kerana manusia menyakiti mereka melalui kencing atau menuangkan air panas ke atas mereka, atau kerana manusia membunuh sebahagian mereka atau lain-lain sebab yang seumpamanya, dan gangguan jenis ini adalah lebih berat dan seringkali berakhir dengan kematian orang yang diganggu. Kadang-kadang gangguan ini terjadi secara semberono atau main-main seperti tindakan orang-orang bodoh dalam kalangan manusia yang mengganggu anak-anak jalan — orang yang bermusafir/guna jalan. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 13/82).

Selain itu, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga ada menyatakan, boleh jadi gangguan jin terhadap manusia terjadi kerana kemarahan dan balas dendam, seperti ketika sebahagian manusia menyakiti jin atau jin menyangka bahawa manusia sengaja menyakiti mereka, sama ada dengan cara kencing di atas sebahagian mereka, menuangkan air panas, atau bahkan membunuh sebahagian dari mereka. Sekalipun sebenarnya manusia tidak mengetahui bahawa perkara tersebut telah menyakiti atau mengganggu jin. Pada masa yang sama jin juga ada yang jahil dan zalim. Akibatnya, manusia dihukum oleh jin lebih daripada yang sepatutnya. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 19/40).

Oleh itu, seseorang Muslim seharusnya berhati-hati untuk tidak menuangkan air panas di tempat-tempat seperti bilik air, tandas atau tempat lain, supaya secara tidak sengaja ia tidak terkena jin yang berkemungkinan berada di situ, lalu menyakiti mereka. Perkara seperti ini diketahui berdasarkan kepada pengalaman (tajribah). Namun, kami tidak mengetahui mana-mana riwayat daripada Nabi SAW atau daripada para sahabat R.Anhum yang menceritakan mengenainya — larangan menuang air panas.

Sekalipun begitu, jika seseorang Muslim adanya suatu keperluan atau berhajat untuk menuang air panas, maka ucapkanlah nama Allah terlebih dahulu iaitu “Bismillah” ketika menuangnya atau sebelum memasuki tandas/bilik air.

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Barrak pernah ditanya mengenai adakah terdapat saranan untuk membaca “Bismillah” ketika menuang air panas atau ketika anak jatuh atau dalam situasi tertentu?

Beliau menjawab, aku tidak ingat jika adanya saranan untuk membaca “Bismillah” dalam konteks yang disebutkan. Namun, menyebut nama Allah (iaitu membaca “Bismillah”) adalah salah satu cara yang dinyatakan dalam nas-nas untuk mengusir syaitan dan melindungi diri daripada kejahatan mereka. Misalnya, menyebut nama Allah ketika berbaring (untuk tidur), ketika memasuki rumah dan begitu juga ketika keluar darinya, ketika memasuki dan keluar masjid, dan begitu juga ketika memasuki tandas. Oleh kerana itu, aku berharap bahawa apa yang dilakukan oleh orang-orang dalam situasi-situasi seperti yang disebutkan dalam pertanyaan adalah baik, terutama ketika menuangkan air panas, lebih-lebih lagi di sebahagian tempat yang berkemungkinan menjadi tempat tinggal jin, yang mana dikhuatiri ia akan menyebabkan kesan balas dendam. Justeru, apabila seseorang manusia menyebut nama Allah iaitu dia mengucapkan, “Bismillah,” maka hal itu akan menjadi sebab dijauhkan daripada apa yang mereka takuti daripada kejahatan syaitan. Demikian juga apabila seseorang atau budak terjatuh, dan disebutkan kepadanya nama Allah, maka diharapkan hal itu akan menjadi sebab kepada keselamatannya daripada gangguan sebahagian syaitan-syaitan. Maka, kesimpulannya bahawa menyebut nama Allah (iaitu bacaan “Bismillah”) padanya terdapat kebaikan dan merupakan salah satu cara terbaik untuk melindungi diri daripada bahaya/keburukan zahir (yang nampak) mahupun batin (yang tidak nampak/tersembunyi). (Lihat al-Arak Majmu‘ Fatawa al-‘Allamah al-Barrak, hlm. 1).

Tambahan lagi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz al-Sidhan ketika mensyarahkan kitab al-Da‘wah ilallah wa Akhlaq al-Du‘ah ada menceritakan bahawa beliau pernah menghadiri satu majlis ruqyah seseorang yang dirasuk. Lalu terjadi dialog antara orang yang meruqyah dan jin yang merasuk orang tersebut. Maka orang yang meruqyah itu bertanya kepada jin yang merasuk orang tersebut: “Mengapa kamu merasuknya?”

Jin itu menjawab: “Orang ini telah menuang air panas yang mendidih ke atas salah seorang anakku, lalu menyebabkannya mati.”

Orang yang meruqyah berkata kepada jin tersebut: “Itu kerana dia tidak mengetahui bahawasanya anakmu ada di tempat tersebut.”

Lalu jin itu menjawab: “Mengapa dia tidak membaca ‘Bismillah’ sehingga anakku boleh menjauh atau menghindari daripadanya (sebelum dia menuang air panas)?”[1]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa pada asalnya tidak terdapat sebarang larangan mahupun dalil daripada menuang air panas ke dalam tandas mahupun mana-mana tempat. Sekalipun begitu tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian pakar atau orang yang berpengalaman dalam bidang ruqyah syar‘iyyah menyebutkan bahawa salah satu penyebab jin mengganggu seseorang adalah kerana individu itu menuang air panas ke arah jin, yang kemudian mengenai jin tersebut dan menyakitinya, sekalipun manusia tersebut tidak mengetahuinya. Justeru, kami berpendapat bahawa jika tidak ada sebarang keperluan untuk menuang air panas ke dalam tandas atau mana-mana tempat, maka sebaik-baiknya tidak melakukannya kerana dikhuatiri ia akan menyakiti jin atau makhluk seumpamanya tanpa kita menyedarinya. Apatah lagi bilik air ataupun tandas sememangnya menjadi tempat tinggal atau tempat yang sering dikunjungi oleh jin dan syaitan.

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu benar-benar berhajat atau adanya keperluan untuk menuang air panas tidak kira sama ada ke dalam lubang tandas mahupun tempat selainnya seperti ke dalam sinki bertujuan bagi melancarkan aliran air, mengelakkan tersumbat dan seumpamanya, maka tidak mengapa melakukannya. Akan tetapi sebaik-baiknya dia sebutlah nama Allah iaitu mengucapkan “Bismillah” ketika menuangnya atau mengucapkan basmalah sebelum memasuki tandas dan menuangnya.

Sememangnya, kita diperintahkan untuk membaca basmalah dan doa sebelum memasuki tandas agar kita terhindar daripada jin, syaitan dan pandangan mata mereka. Terdapat riwayat daripada Ali bin Abu Talib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سِتْرُ مَا بَيْنَ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا دَخَلَ الْكَنِيفَ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ

Maksudnya:Penghalang — yakni hijab — antara pandangan mata jin dan aurat Bani Adam, ketika memasuki kanif — yakni tempat buang air — adalah membaca bismillah.”

Riwayat Ibn Majah (297); al-Tirmizi (606) dengan sedikit perbezaan.

Justeru, dapat difahami daripada riwayat di atas bahawa jin dan syaitan ada kemampuan untuk melihat aurat anak Adam. Oleh sebab itu, kita diperintahkan untuk membaca basmalah atau “بِسْمِ اللَّهِ” serta berdoa memohon perlindungan Allah SWT bagi mencegah mereka daripada melihat aurat kita, kerana jika tidak sudah tentu kita tidak diperintahkan untuk membaca basmalah bagi tujuan berlindung daripada pandangan mata mereka.

Al-Mubarakfuri menukilkan pendapat al-Munawi yang menyatakan, sebab perlunya membaca basmalah kerana nama Allah SWT itu ibarat segel (kunci) bagi anak Adam yang mana jin dan syaitan tidak akan mampu untuk membukanya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/184). Selain itu, Sa‘id bin Ali Wahf al-Qahtani juga ada menyebutkan bahawa bacaan basmalah ketika mahu masuk ke dalam tandas, ketika hendak menanggalkan pakaian atau menyelaknya bagi menunaikan suatu hajat di dalam tandas adalah menepati syariat sebagaimana di dalam riwayat Ali R.A. Hikmahnya adalah untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya syaitan dan jin tidak melihat aurat anak-anak Adam ketika menunaikan hajat, menanggalkan pakaian atau seumpamanya. (Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarhi Husni al-Muslim, hlm. 103).

Selain itu, kami juga ingin mengambil kesempatan di sini menasihatkan semua, ingatlah sebagai seorang Muslim, kita merupakan hamba Allah SWT dalam setiap keadaan. Allah SWT sentiasa mengawasi kita dan hanya kepada-Nya sahajalah kita memohon pertolongan. Inilah antara bukti kesempurnaan syariat agama ini, yang merangkumi adab-adab yang sepatutnya setiap orang Islam mempelajarinya dan menjaganya — yakni beramal dengannya — merangkumi setiap aktiviti siang malam. Pada masa yang sama, lazimilah zikir-zikir pagi dan petang, zikir-zikir dan doa-doa yang mathur yang diajarkan oleh Baginda SAW.  Yakin dan percayalah bahawa sesiapa yang mengamalkan dan melazimi zikir-zikir pagi dan petang, insya-Allah dia akan sentiasa berada di bawah pengawasan-Nya dan dilindungi daripada kejahatan jin dan syaitan.

Untuk itu, kami sarankan kepada sidang pembaca sekalian agar merujuk kepada kitab himpunan doa seperti Hisnul Muslim atau Perisai Muslim yang telah banyak diterjemahkan ataupun buku-buku himpunan doa lain seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

[1] Lihat https://islamqa.info/amp/ar/answers/226625. Diakses pada 24 September 2023.

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445