#3277: Memotong Jari Tangan Yang Terlebih

Soalan:

Assalamualaikum Dr, apakah hukum kita membuang jari lebih bagi seorang bayi yang baru lahir di tangan kanan (preaxial polydactyly). Sebab saya ada terdengar ia dibolehkan kerana dengan kecacatan tersebut boleh menyebabkan bayi tersebut mengalami gangguan fizikal ataupun mental ketika dewasa dan menyebabkan rasa rendah diri setiap kali hadir di majlis keramaian. Terima kasih Dr.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkataan Polydactyly adalah gabungan 2 perkataan Greek iaitu Polys yang membawa erti ‘banyak’ dan Dactylos yang bermaksud ‘jari’. Oleh itu Polydactyly ialah keadaan dimana seseorang mempunyai jari yang lebih banyak berbanding populasi normal. Ia adalah masalah congenital iaitu berlaku sejak dari dalam kandungan lagi. Mengikut statistik, ia terjadi dalam 2 peratus daripada kelahiran.

Ia boleh berlaku pada salah satu atau kedua-dua tangan atau kaki. Bagi tangan, ia lebih kerap berlaku iaitu pada jari kelingking berbanding ibu jari atau jari-jari yang lain.

Kenapa ia terjadi?

Polydactyly dikaitkan dengan mutasi genetik dan dikaitkan dengan beberapa sindrom tertentu. Jenis mutasi yang paling kerap berlaku ialah Autosomal Dominan (AD)[1]

Jenis Polydactyly yang Perlu Anda Kenali

Ada 3 jenis Polydactyly  berdasarkan area tumbuhnya jari tambahan, iaitu:

  • Polydactyly preaxial, iaitu tumbuhnya jari tambahan di sisi luar ibu jari tangan atau kaki
  • Polydactyly postaxial, iaitu tumbuhnya jari tambahan di luar sisi jari kelingking pada tangan atau kaki
  • Polydactyly pusat, iaitu tumbuhnya jari tambahan di tengah-tengah jari tangan atau kaki, kondisi ini yang paling jarang terjadi

Keadaan  jari tambahan pada penderita Polydactyly berbeza-beza. Jari tambahan ada yang berbentuk sempurna seperti jari lainnya, ada juga tidak memiliki sendi, atau bahkan hanya terdiri dari kulit dan tisu yang lembut.[2]

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّه

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Dalam isu ini kami katakan sekiranya dipotong jari yang lebih tersebut bertujuan menghilangkan aib dan tidak membawa kepada kemudaratan ke atasnya maka dibolehkan. Dalam isu ini juga Dar al-Ifta al-Misriyyah juga ada mengeluarkan fatwanya yang menyatakan: Adalah dibenarkan untuk memotong jari tambahan pada tangan atau kaki, dan ini bukan termasuk dalam perubahan penciptaan yang dilarang; kerana ia adalah sesuatu yang melebihi asal penciptaan.[3]

Begitu juga Syeikh Soleh al-Uthaimin dalam isu ini beliau menyatakan: Para ulama dalam perkara ini menyatakan bahawa tidak dibenarkan memotong jari tambahan. Bagaimanapun, nampaknya tidak ada masalah dalam kes ini kerana tidak ada bahaya yang mengancam pemilik jari tambahan, dan pada zaman kita ini, bahaya itu sangat kurang. Oleh itu, pendapat kami adalah bahawa dalam situasi ini, pemotongan jari tambahan yang mengganggu asal penciptaan adalah dibenarkan, tetapi jika jari tambahan itu hanya melebihi tetapi tidak merosakkan struktur asal penciptaan, maka ia sebaiknya dibiarkan sebagaimana adanya.(Lihat Fatawa Nur ‘Ala al-Darb, 9/2)[4]

Justeru dalam isu ini, kami katakan sekiranya ada keperluan untuk memotong jari tambahan seperti menghilangkan keaiban atau kecatatan  maka ia diperbolehkan. Namun kami berpandangan adalah lebih baik untuk mengekalkannya dan tidak mengubah ciptaanya sekiranya jari yang lebih itu sedikit dan tidak memberi kesan apa-apa pada struktur badan yang asal. Hal demikian kerana Allah SWT tidak menciptakan sesuatu melainkan adanya hikmah disebaliknya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam.

[1]https://www.mmgazette.com/polydactyly-bayi-mempunyai-lebih-daripada-5-jari-kaki-dr-ahmad-mahyuddin-mohamed/ . Diakses pada 25 September 2023

[2] https://www.alodokter.com/polidaktili-adanya-jari-tambahan-pada-tangan-atau-kaki. Diakases pada 25 September 2023

[3] https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/11445/%. Diakses pada 25 September 2023

[4] https://binothaimeen.net/content/6759 . Diakses pada 25 Disember 2023

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445