#3297: Ibu Bapa Terlalu Mengongkong Anak Perempuan yang Sudah Berkahwin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah nasihat Datuk terhadap ibu bapa yang terlalu mengongkong anak perempuannya yang sudah berkahwin atas alasan ibu bapanya selalu tidak sihat sehingga pada satu tahap itu, anak perempuannya itu rasa sangat tertekan dan selalu dalam dilema hendak pilih ibu bapanya atau suami dan anaknya. Atas budi bicara, suaminya selalu bagi peluang ikut apa kata ibu bapanya anak perempuan tersebut tetapi kadang-kadang anak perempuan itu rasa bersalah dengan suami sebab selalu sangat ikut apa kata ibu bapanya. Kadang rasa macam tidak diberi pilihan untuk memilih, terpaksa ikut sahaja sebab fikir untuk kebaikan bersama, tetapi perasan kadang-kadang suami pun terasa dan hendak juga ada kehidupan sendiri dengan isterinya. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, hubungan dan tanggungjawab seseorang anak kepada ibu bapa, sama ada lelaki atau perempuan, tidak terputus apabila mereka berkahwin. Seorang anak itu, sama ada lelaki atau perempuan, wajib berbuat baik kepada ibu bapa, mentaati dan mengelakkan diri daripada melukakan hati mereka. Firman Allah SWT:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

(Surah al-Nisa’: 36)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

(Surah al-Isra’: 23)

Hak dan tanggungjawab anak kepada ibu bapa itu begitu penting, sehingga diletakkan selepas tanggungjawab kepada Allah SWT di dalam al-Quran. Al-Maraghi menyatakan, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa.

Kemudian, fokus perintah supaya memelihara kedua-dua ibubapa itu disempitkan sehingga tidak memberi keringanan untuk bentuk kata-kata yang paling remeh sekalipun, yang diucapkan oleh seseorang yang telah berasa jemu terhadap mereka, sekalipun banyak hal yang menyebabkan timbulnya kejemuan tersebut. Bahkan sekalipun seseorang mengalami keadaan-keadaan yang hampir tidak dapat ditanggung oleh manusia untuk bersabar. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932).

Selain itu, terdapat hadith daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ: مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan. Baginda ditanya: “Siapakah (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”

Riwayat Muslim (2551)

Begitu juga Rasulullah SAW pernah bersabda:

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ

Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.

Riwayat al-Hakim (7263) dan al-Munziri (3/302)

Jelas daripada hadith-hadith ini betapa kita perlu merebut peluang dengan berbakti dan melakukan kebaikan jika masih memiliki ibubapa yang sudah lanjut usia. Betapa ruginya kita sekiranya kita tidak berusaha bersungguh-sungguh berbakti sedangkan mereka masih berada di sisi kita. Sebaliknya bersikap derhaka kepadanya adalah jalan pintas untuk menuju kepada kecelakaan dalam kehidupan.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma:

رِضَاءُ اللَّهِ فِي رِضَاءِ الْوَالِدِ ، وَسَخَطُ اللَّهِ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Maksudnya: “Allah redha dengan sebab redha kedua ibubapa dan Allah murka dengan sebab murka kedua ibubapa.”

Riwayat al-Tirmizi (1899), Ibn Hibban (429) dan al-Hakim (7249)

Antara bentuk mencari keredhaan kedua ibubapa ialah dengan mentaatinya, melayaninya, menyukainya, merahmatinya, memberi hadiah, memberi nafkah jika perlu dan juga melakukan apa-apa yang menjadi idaman dan kehendaknya. Inilah yang dilakukan oleh salafus soleh dalam mentaati kedua ibubapa. Banyak buku berkaitan birrul walidain telah ditulis oleh para ulama yang mungkin kita dapat ambil manfaat serta iktibar dalam melayari kehidupan kita. Jarakkanlah diri kita daripada menjadi ‘tanggang moden’.

Pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa di antara tanggungjawab seorang isteri adalah untuk mentaati suaminya. Bahkan ia merupakan ciri isteri solehah. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurtubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas adalah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Kesimpulannya

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami ingin menyatakan bahawa apabila anak perempuan sudah berkahwin ibu bapanya harus faham bahawa anak perempuan mereka itu sudah berpindah daripada tanggungjawab mereka kepada tanggungjawab suaminya. Bahkan selain mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa, anak perempuan mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk mentaati suaminya dan menggembirakannya, di samping menguruskan rumah tangga mereka sendiri.

Tambahan lagi, dalam isu seperti ini, sifat meraikan adalah sangat penting. Lebih-lebih lagi, ibu bapa tersebut mempunyai anak-anak yang ramai. Jadi, bolehlah dibuat pembahagian antara anak-anak tersebut bagi menguruskan keperluan ibu bapa mereka dan janganlah dibebankan kepada seorang anak sahaja. Pada masa yang sama, ibu bapa kepada perempuan itu juga haruslah faham anak mereka juga mempunyai tanggungjawab kepada suami dan keluarganya sendiri.

Selain daripada itu, anak perempuan tersebut juga hendaklah bijak membahagikan masa antara menguruskan keperluan ibubapanya dan menguruskan keperluan suami dan keluarganya sendiri. Sekiranya perlu dan berkemampuan, bolehlah mencari orang gaji bagi membantu dan memudahkannya dalam menguruskan keperluan ibu bapanya. Dengan itu,  dia tidak berasa terbeban dan terganggu dengan perkara tersebut.

Selain itu, jika tidak ada apa-apa halangan dan berkemampuan, maka sebaik-baiknya tinggallah berasingan dengan keluarga sendiri dan tidak tinggal bersama ibu bapa. Ini adalah supaya keharmonian berumah tangga dapat dijaga seterusnya dapat mencapai mawaddah dan rahmah dalam kehidupan keluarga masing-masing.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan khususnya kepada anak perempuan tersebut agar janganlah sesekali berasa terbeban dengan urusan untuk melayani dan menguruskan ibu bapa. Apatah lagi berbakti kepada kedua ibu bapa dan menjarakkan daripada menderhakai mereka adalah tuntutan terbesar agama. Bahkan berbakti kepada ibu bapa boleh menjadi sebab untuknya dimasukkan ke dalam syurga sebagaimana dinyatakan dalam hadith yang kami telah sebutkan di atas.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445