#3301: Tafsir Ayat 6, Surah Saf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami secara mendalam ayat 6 daripada surah Saf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُم مُّصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ فَلَمَّا جَاءَهُم بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: ‘Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad.’ Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: ‘Ini ialah sihir yang jelas nyata!’

(Surah Saff: 6)

Nabi Isa AS pernah menyifatkan Rasulullah SAW dengan gelaran al-Farqalit atau al-Barqalit. Perkataan al-Barqalit[1] adalah kalimah Injil mengikut lisan Nabi Allah Isa AS. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 16)

Ibn Kathir berkata: Nabi Isa berkata kepada Bani Israil, “Kitab Taurat telah memberi khabar gembira akan kenabianku dan aku sesuai lagi benar dengan apa yang dikhabarkan. Aku memberi khabar gembira akan kenabian yang datang sesudahku Dia adalah Rasul, Nabi yang ummi (buta huruf), orang Arab, orang Makkah, iaitu Ahmad.”

Nabi Isa AS adalah nabi terakhir dan penutup para nabi Bani Israil. Dia tinggal di kalangan Bani Israil dan memberi khabar gembira akan kenabian Nabi Muhammad, penutup para Nabi dan Rasul yang tidak ada risalah dan kenabian setelahnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/109)

Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW supaya mengkhabarkan kepada kaumnya kisah Nabi Isa A.S yang menegaskan kepada Bani Israel bahawa Baginda adalah benar-benar seorang utusan Allah SWT yang disebutkan sifat-sifatnya dalam Taurat. Nabi Isa A.S juga menegaskan bahawa Baginda datang untuk membenarkan hukum-hukam yang terdapat dalam Taurat dan segala kitab-kitab yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada para nabi-Nya. Baginda juga menegaskan bahawa kedatangan Baginda adalah untuk memberi perkhabaran gembira akan kedatangan rasul akhir zaman yang bernama Ahmad. (Lihat Safwah al-Tafasir, 3/350-351; Tafsir al-Bayan, 5/718-719)

Diriwayatkan daripada Jubair bin Mut’im R.A bahawa Rasulullah SAW menerangkan nama-nama Baginda dalam sabdanya:

لِي خَمْسَةُ أَسْمَاءٍ أَنَا مُحَمَّدٌ وَأَنَا أَحْمَدُ وَأَنَا الْمَاحِي الَّذِي يَمْحُو اللَّهُ بِيَ الْكُفْرَ وَأَنَا الْحَاشِرُ الَّذِي يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى قَدَمِي وَأَنَا الْعَاقِبُ.

Maksudnya: “Aku mempunyai lima nama; aku adalah Muhammad, Ahmad, al-Mahi iaitu Allah SWT memadamkan kekufuran melaluiku, aku adalah al-Hashir iaitu manusia mengikuti syariatku, aku juga adalah al-‘Aqib iaitu tiada nabi selepasku.

Riwayat al-Bukhari (3532)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

[1] Kami merujuk di dalam Wikipedia, di mana kalimah Baraqlit (Bahasa Yunani: Parakletos) merupakan istilah Yunani yang memberi maksud al-mu’azzi (yang diberi kemuliaan) atau al-mu’in (yang menolong) atau al-Syafi’ (yang memberi syafaat), atau al-musa’id (yang membantu). (Lihat ar.wikipedia.org/wiki/)

 

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445