Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah benar malam maulid Nabi SAW lebih besar daripada malam Lailatul Qadar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Bagi menjawab soalan ini, kami katakan bahawa malam Lailatul Qadar jelas menunjukkan kelebihannya di mana al-Quran diturunkan padanya dan ia adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Ini jelas disebutkan dalam firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ )1( وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ )2( لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.”
(Surah al-Qadr: 1-3)
Perkataan Lailatulqadar adalah daripada dua kalimah:
Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.
Sedangkan al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.
Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam. Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain.
Ibn Qudamah berpendapat malam Qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. Lihat al-Mughni 3/178.
Ibn Jauzi mengemukakan 5 pendapat berkenaan dengan nama malam qadar itu:
- Dengan maksud agung. Inilah pendapat al-Zuhri.
- Dengan makna sempit kerana dunia pada malam tersebut menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.
- Dengan makna hukum atau keputusan kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
- Kerana siapa yang tidak mempunyai kemuliaan akan mendapat kemuliaan dengan melakukan ibadat pada malam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar al-Warraq.
- Kerana diturunkan pada malam tersebut kitab yang mempunyai kemuliaan di samping rahmat dan malaikat juga turun pada malam tersebut. Inilah pendapat guru kami Ali bin Ubaidillah.
Sayyid Qutub berkata: Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.
Syeikh al-Maraghi berkata: Malam itu ialah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik dalam kalangan seluruh manusia.
Malam ini dikira sebagai batu asas agama Islam yang menjadi penutup kepada seluruh agama para Nabi. Penurunannya adalah sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat. Malam ini lebih baik daripada seribu bulan. Selama ini, mereka hidup dalam kegelapan syirik dan menyembah berhala. Mereka meraba-raba tanpa petunjuk dan tidak mengikut jalan kehidupan dan acuan yang sebenar.
Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun
Pemilihan tempat dan waktu yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi. Kemuliaan apa lagi yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy yang berada dalam kesesatan menyembah berhala.
Tiada lagi keagungan yang lebih tinggi dari suatu malam yang menjadi saat bersinarnya cahaya pengetahuan Ilahi ke hati Rasulullah SAW sebagai bukti rahmat kepada hambaNya. Seterusnya Nabi yang memberi khabar gembira dan buruk serta memimpin manusia ke jalan yang lurus. Baginda mendidik umat yang akhirnya dapat membebaskan diri sendiri dari belenggu perhambaan para pemerintah yang zalim. Baginda berusaha menyatukan perpecahan yang berlaku serta menyatukan mereka yang setelah sekian lama hidup berkelompok dan berpuak.
Sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan! Malam inilah permulaan turunnya perundangan samawi(langit) yang membimbing umat Islam ke arah yang baik. Pada malam ini, mereka dapat memperbaharui janji di hadapan Tuhan mereka. Malam ini adalah pernyataan syukur terhadap segala nikmat-Nya serta mengharap pahalaNya.
Firman Allah SWT:
تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Maksudnya: Pada malam itu turun malaikatmalaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.
(Surah al-Qadr: 4-5)
Ibn Kathir berkata: “Zahir ayat menunjukkan bahawa malam Qadar lebih afdal daripada malam Jumaat Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan malam Jumaat lebih afdal. Inilah pendapat kebanyakan ulama Hanbali seperti Abil Hasan al-Jazari, Abdullah bin Battah Abu Hafs al-Barmaki dan ramai lagi.”
Al-Mawardi menafsirkan maksud roh dengan menukilkan 4 pendapat:
- Inilah pendapat Sa’id bin Jubair.
- Malaikat Hafazah. Inilah pendapat Abi Nujaih.
- Malaikat-malaikat yang mulia dan hampir dengan Allah SWT. Inilah pendapat Muqatil.
- Mereka adalah tentera Allah bukan daripada kalangan malaikat. Inilah yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada Ibn Abbas.
Pada malam itu, para malaikat turun dari alam rohani sehingga diri mereka dapat dilihat oleh Nabi SAW. Jibril AS menampakkan dirinya kepada Nabi SAW bertujuan menyampaikan wahyu. Para malaikat dapat dilihat oleh jiwa yang sempurna ini dengan keizinan Allah SWT setelah Baginda sudah dipersiapkan bagi menerima wahyu dan menyampaikan ajaran yang mengandungi kebaikan kepada mereka.
Turunnya para malaikat ke bumi adalah salah satu urusan Allah SWT. Kita tidak perlu membahaskan tentang bagaimana cara mereka turun. Cukuplah kita meyakini perkara ini dan tidak perlu kita berusaha ingin tahu bagaimana selok-belok rahsia itu. Apa yang diketahui oleh orang yang berilmu hanyalah sebahagian kecil sahaja dari alam wujud ini.
Malam itu merupakan perayaan bagi umat Islam di mana telah turunnya al-Quran dan merupakan malam kesyukuran, kebajikan dan kenikmatan. Malaikat menyertai manusia pada malam itu dan mereka mengetahui kelebihan malam tersebut dan betapa besarnya kelebihan manusia atas diri mereka. Seterusnya, Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.
Kelebihan Malam Qadar
Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu. Antara kelebihan malam ini ialah:
- Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Imam alQurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Hal ini disokong oleh Abu al-Aliyah.
- Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.”
- Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
- Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.
(Lihat Ramadhan al-Mubarak Fadhilat dan Hhukum Puasa, hlm. 131-139)
Adapun berkenaan malam Maulid Nabi SAW ialah sebagai malam kelahiran insan yang paling agung dan paling mulia di sisi Allah SWT kerana Rasulullah SAW adalah insan yang terpilih.
Berkenaan dengan persoalan di atas, kami katakan tiada nas yang menunjukkan kelebihan tertentu pada malam maulid Nabi SAW kecuali kemuliaan pada Rasulullah SAW itu. Justeru, lebih baik kita tawaquf melainkan datang dalil yang menunjukkan ke arah itu.
Bersempena dengan bulan Maulidurrasul ini, alangkah baiknya kita cuba mengambil masa dan ruang yang ada untuk mentelaah dan menekuni kehidupan Rasulullah SAW atau sirahnya, sebagai contoh melalui buku Garis Masa Hayat al-Rasul SAW dan juga cuba mengikuti sunnahnya dengan sebanyak mungkin.
Di samping itu, kita digalakkan untuk memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW kerana dengannya sudah pasti membawa kebaikan dalam kehidupan kita. Bukan sekadar di dunia tetapi juga di akhirat.
Marilah sama-sama kita membanyakkan doa kepada Allah SWT sebagai mana doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Bertarikh: 2 Oktober 2023 bersamaan 17 Rabiulawwal 1445