#3429: Isteri Mengandung Mengidam Pegang Pinggang Tentera Laut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru saya ada terlihat satu pos yang sedang tular di media sosial mengenai seorang isteri yang sedang mengandung mengidam untuk memegang pinggang tentera laut, lalu suaminya membenarkannya? Soalan saya, adakah perkara sebegini dibenarkan dan bolehkah seseorang perempuan itu memegang bahagian lelaki ajnabi seperti bahagian pinggang dalam keadaan berlapik? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, dalam menjawab persoalan ini, kami bahagikan ia kepada dua perbahasan utama. Pertamanya, perbahasan mengenai persentuhan antara lelaki dan perempuan dewasa ajnabiyyah, sama ada secara berlapik mahupun tanpa berlapik. Secara asasnya, bersentuhan kulit antara lelaki dewasa dengan perempuan dewasa ajnabiyyah adalah sesuatu yang ditegah. Di dalam sebuah hadith daripada Ma‘qil bin Yasar R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya:Sekiranya dicucuk pada kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, adalah lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya (bukan mahram).

Riwayat al-Tabarani (486); Riwayat al-Ruyani dalam musnadnya (1283)

Hadith di atas, jelas menunjukkan kepada pengharaman bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Oleh itu, tidak boleh bagi seorang lelaki yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya untuk meletakkan tangannya pada tangan perempuan yang tidak halal baginya, yang bukan mahramnya atau pada bahagian-bahagiannya yang lain. Sesiapa yang melakukannya dengan sengaja, maka sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri.

Sekalipun zahir hadith menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya. Mengenai perkara ini, al-Khattabi ada mengatakan:

الْخِطَاب إِذَا وَرَدَ بِلَفْظِ الذُّكُورِ كَانَ خِطَابًا لِلنِّسَاءِ إِلَّا فِي مَوَاضِعَ مَخْصُوصَةٍ

Maksudnya:Sesuatu khitab (yakni nas) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga turut ditujukan (terpakai) kepada orang perempuan, melainkan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/423).

Dalam hal ini juga, Ibn Nujaim dalam kalangan ulama mazhab Hanafi menyebutkan, tidak boleh bagi seseorang lelaki untuk menyentuh wajah wanita (yang tidak halal baginya) mahupun tapak tangan wanita tersebut, sekalipun dalam keadaan aman daripada syahwat disebabkan kehadiran mahram (kepada wanita itu) dan bukan dalam keadaan darurat. (Lihat al-Bahr al-Ra’iq, 8/219).

Begitu juga Muhammad ‘Ulaisy dalam kalangan ulama mazhab Maliki menyatakan, tidak boleh bagi seorang lelaki untuk menyentuh wajah seorang wanita ajnabiyyah mahupun kedua tapak tangannya. Begitu juga tidak boleh bagi kedua-duanya untuk meletakkan tangannya (lelaki itu) ke atas tangan wanita tersebut tanpa sebarang alas. Aisyah R.Anha pernah berkata: “Nabi SAW tidak pernah membai‘ah wanita dengan cara bersalaman. Sebaliknya Baginda SAW membai‘ah para wanita dengan (melalui cara) percakapan.” Dalam riwayat yang lain menyatakan: “Tangan Baginda tidak menyentuh tangan wanita (ketika bai‘ah). Sebaliknya Baginda membai‘ah mereka (para wanita) melalui percakapan.” (Lihat Minah al-Jalil Syarh Mukhtasar Khalil, 1/223).

Selain itu, Waliyuddin al-‘Iraqi juga ada menyebutkan, sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah sama sekali tangannya menyentuh tangan wanita selain daripada para isterinya dan hamba-hamba perempuan miliknya, tidak ketika bai‘ah mahupun ketika selainnya. Jadi, apabila Baginda tidak melakukan perkara tersebut dalam keadaan Baginda maksum dan tiadanya keraguan hal itu pada haknya, maka orang lain adalah lebih utama untuk tidak melakukannya. Secara zahirnya, Baginda SAW menjauhi daripada melakukan perkara tersebut kerana hal itu telah diharamkan ke atas dirinya. Oleh itu, keharusan melakukannya tidak dikira termasuk dalam keistimewaannya (ciri-ciri khusus). Para fuqaha dalam kalangan ashab kami dan selain mereka menyebutkan, sesungguhnya haram bagi seseorang lelaki untuk menyentuh wanita ajnabiyyah sekalipun pada bukan aurat mereka seperti wajah, meskipun para ulama berselisih pendapat mengenai keharusan melihatnya ketika mana tanpa syahwat dan tidak ditakuti timbulnya fitnah. Bahkan keharaman menyentuh adalah lebih tegas berbanding keharaman melihat. Pengharaman menyentuh itu adalah selagi mana tidak ada keperluan mendesak seperti bagi tujuan merawat, fasdu (flebotomi), berbekam, mencabut gigi, merawat mata dan seumpamanya yang mana tidak ada dalam kalangan wanita yang mampu untuk melakukannya. Maka dalam situasi darurat (keperluan mendesak) tersebut, dibolehkan bagi seorang lelaki ajnabi untuk menyentuh wanita ketika merawatnya — setakat yang diperlukan dan tidak boleh lebih daripada itu. (Lihat Tarh al-Tathrib, 7/45-46).

Begitu juga tidak boleh seorang lelaki dewasa menyentuh perempuan dewasa ajnabiyyah yang bukan mahramnya sekalipun secara berlapik. Mengenai hal ini, Ibn Muflih menyebutkan dalam kitabnya dengan menukilkan daripada Muhammad bin Abdullah bin Mihran bahawa Abu ‘Abdillah — iaitu Imam Ahmad — pernah ditanya mengenai seseorang lelaki bersalaman dengan seorang wanita. Maka, beliau menjawab: “Tidak boleh,” dan beliau sangat tegas dalam hal itu. Aku bertanya: “Bagaimana pula kalau dia bersalaman dengan wanita itu melalui pakaiannya — yakni dalam keadaan berlapik?” Beliau menjawab: “Tidak boleh.” Tambahan lagi, pendapat yang menyatakan haram ini adalah pendapat yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin, dengan alasan bahawa sentuhan adalah lebih berat berbanding melihat. (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 2/257).

Di samping itu, menurut Syeikh Ibn Baz, pendapat yang lebih kuat adalah dilarang (yakni haram) untuk melakukan perkara itu (iaitu bersalaman dengan wanita secara berlapik) secara mutlak berdasarkan kepada keumuman hadith Nabi SAW, di mana Baginda SAW bersabda:

 إِنِّي لاَ أُصَافِحُ النِّسَاءَ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan para wanita.

Riwayat Ibn Majah (2984)

Larangan itu juga adalah sebagai mengambil jalan Sadd al-Zari‘ah — yakni menutup pintu atau jalan yang membawa kepada kemudaratan yang lebih besar. (Lihat Hasyiah Majmu‘ah Rasa’il fi al-Hijab wa al-Sufur, hlm. 69).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa seseorang lelaki adalah haram atau dilarang untuk menyentuh wanita ajnabiyyah yang tidak halal baginya sama ada secara berlapik mahupun tidak dan begitulah juga sebaliknya iaitu haram bagi seorang wanita untuk menyentuh lelaki ajnabi yang tidak halal baginya sama ada secara berlapik ataupun tidak, tanpa ada sebarang keperluan mendesak seperti bagi tujuan rawatan dan sebagainya.

Keduanya, perbahasan mengenai mengidam untuk melakukan sesuatu yang dilarang. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, mengidam didefinisikan sebagai ingin benar hendak makan sesuatu (bukan perempuan yang hamil) atau boleh juga diertikan sebagai sangat ingin akan atau berkehendakkan sesuatu.[1]

Dalam hal ini, kami tegaskan terlebih dahulu pendirian kami dengan menyebutkan satu hadith yang diriwayatkan daripada al-Nu‘man bin Basyir R.Anhuma, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إنّ الحَلالَ بَيِّنٌ، وإنّ الحَرامَ بَيِّنٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan sesungguhnya yang haram itu jelas.

Riwayat al-Bukhari (2051) dan Muslim (1599)

Perkara yang halal tetaplah halal dan tiada siapa yang boleh mengharamkannya, dan begitulah sebaliknya perkara yang haram tetaplah haram dan tiada siapa yang boleh menghalalkannya.

Menggunakan alasan perasaan mengidam dan hamil untuk membenarkan perkara yang haram adalah tidak boleh. Bahkan perasaan seperti ini adalah talbis iblis yang menghasut manusia untuk melakukan perkara yang haram. Ibn al-Jauzi menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan talbis itu adalah menzahirkan kebatilan dengan cara yang seakan-akan benar. (Lihat  Talbis Iblis, hlm. 36). Sebaliknya, apabila terlintas suatu perasaan untuk melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah SW, maka wajib menjauhi perasaan tersebut.

Begitu juga kepada suaminya, sama sekali tidak boleh memberi keizinan kepada isterinya untuk melakukan perkara yang diharamkan. Terdapat riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan pada perkara maksiat, sesungguhnya taat itu pada perkara yang makruf (baik).

Riwayat al-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)

Malah, perbuatan membiarkan isterinya dalam maksiat atau tiada keinginan yang kuat untuk mempertahankan kehormatan isterinya, bahkan dia turut sama bersekongkol mengiyakan perbuatan tersebut, maka dikhuatiri suami itu termasuk dalam kalangan lelaki dayus.[2]  Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ أَبَدًا: الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ، وَالرَّجُلَةُ مِنَ النِّسَاءِ، وَمُدْمِنُ الْخَمْر. فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ أَمَّا مُدْمِنُ الْخَمْرِ فَقَدْ عَرَفْنَاهُ، فَمَا الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ؟ قَالَ: الَّذِي لَا يُبَالِي مَنْ دَخَلَ عَلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: “Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu lelaki yang dayus, wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagihan arak.” Lalu mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah! Adapun orang yang ketagihan arak, kami mengetahuinya, tetapi apakah itu lelaki yang dayus? Baginda SAW menjawab: ‘Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).’

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (10310)

Terdapat dalam sebuah hadith lain daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ قَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ الْجَنَّةَ مُدْمِنُ الْخَمْرِ وَالْعَاقُّ وَالدَّيُّوثُ الَّذِي يُقِرُّ فِي أَهْلِهِ الْخَبَثَ

Maksudnya: “Tiga golongan yang Allah SWT haramkan ke atas mereka daripada memasuki syurga, iaitu orang yang ketagihan arak, orang yang menderhakai ibu bapanya dan lelaki dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.

Riwayat Ahmad (5372)

Al-Munawi menyatakan bahawa ‘dayus’ dalam hadith di atas bermaksud orang yang membiarkan kejahatan atau perbuatan keji dalam kalangan ahli keluarganya iaitu isteri dan kaum kerabat terdekatnya. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/319).

Begitu juga kalimah dayus merujuk kepada setiap orang yang mengiyakan sebarang kejahatan terhadap ahli keluarga di bawah kekuasaannya daripada kalangan isteri, anak perempuan, saudara perempuan atau seumpamanya. Sama ada kejahatan atau perbuatan keji itu membawa kepada zina atau jalan yang membawa kepada zina seperti mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi, berkhalwat dengannya, memakai wangi-wangian secara berlebih-lebihan ketika keluar dan lain-lain perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan membangkitan syahwat. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 17/198-199).

Oleh sebab itulah, Islam sangat menuntut rasa cemburu dalam diri seseorang. Ibn al-Qayyim menyatakan bahawa asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan terhadap ahli keluarga. Sesiapa yang tiada perasaan ini, maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya. Hal ini kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga menjauhkan daripada kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati, lalu menyebabkan sensitiviti anggota (terhadap perkara haram) turut mati, sehingga tiadanya lagi kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali. (Lihat al-Jawab al-Kafi, hlm. 68).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa seseorang perempuan baik sedang hamil ataupun tidak hamil, tidak boleh memegang pinggang lelaki ajnabi yang tidak halal baginya atas alasan mengidam, sama ada dalam keadaan berlapik ataupun tidak berlapik, bahkan haram untuk dia melakukannya. Lebih-lebih lagi, hal itu menimbulkan fitnah, mendatangkan nafsu syahwat dan boleh memberikan persepsi buruk dan tohmahan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada suami dan ahli keluarganya.

Begitu juga sebagai seorang suami sepatutnya tidak menuruti kehendak isteri yang dilarang dalam Islam, sebaliknya tugas suami adalah untuk melindungi dan memelihara ahli keluarga masing-masing daripada mendapat kemurkaan Allah SWT, di samping menyeru mereka untuk taat kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Pada masa yang sama, kami tidak menafikan bahawa perasaan mengidam seseorang ibu yang mengandung untuk melakukan sesuatu mahupun makan apa jua yang diinginkan adalah harus pada asalnya, selagi mana ia bukan daripada perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Bila mana ia melibatkan perkara yang diharamkan, maka syarak dengan tegas melarangnya.

Bahkan Nabi SAW telah memberi peringatan kepada para sahabatnya tentang umat akhir zaman, yang mengambil perkara haram sekalipun dia mengetahui kesannya adalah buruk. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لا يُبَالِي المَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ، أَمِنَ الحَلالِ أَمْ مِنَ الحَرَامِ

Maksudnya: “Akan datang satu zaman di mana seseorang itu tidak peduli apa yang diambilnya, sama ada dari perkara yang halal atau haram.”

Riwayat al-Bukhari (2059)

Sebaiknya, ibu-ibu yang mengandung perbanyakkan meneliti dan membaca kisah-kisah wanita solehah supaya dapat menambahkan ilmu di dada tentang cara mendidik dan membesarkan anak-anak dengan cara yang dianjurkan islam, di samping dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan kepada semua khususnya mereka yang sudah terlanjur melakukannya agar bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar penyesalan dan perbanyakkan beristighfar kepada-Nya. Mudah-mudahan Dia mengampuni dosa-dosa kita yang lalu dan seterusnya menjadikan diri kita dan keluarga kita lebih baik daripada sebelumnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mengidam. Diakses pada 3 Oktober 2023.

[2] Dayus bermaksud seorang lelaki yang tiada keinginan yang kuat untuk mempertahankan keluarganya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 21/96).

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445