#3440: Bolehkah Selawat Badariyah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada pertanyaan, bolehkah kita berselawat menggunakan lafaz selawat badariyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Selawat Badariyah merupakan lantunan qasidah yang memuji Rasulullah SAW. Antara lafaznya adalah sebagaimana berikut:

صَلَاةُ اللهِ سَلَامُ اللهِ عَلَى طَهَ رَسُولِ اللهِ                   صَلَاةُ اللهِ سَلَامُ اللهِ عَلَى يس حَبِيبِ اللهِ

تَوَسَّلْنَا بِبِسْمِ اللهِ وَباْلهَادِي رَسُولِ اللهِ                     وَكُلِّ مُجَاهِدٍ فِي اللهِ بِأَهْلِ الْبَدْرِ يَا اللهُ

Selawat Allah dan salam-Nya semoga tercurah kepada Taha Rasulullah,

        Selawat Allah dan salam-Nya semoga tercurah kepada Yasin Habibillah,

Kami bertawassul dengan nama Allah dan dengan pemberi petunjuk, Rasulullah,

       Dan dengan seluruh orang yang berjihad di jalan Allah, serta dengan ahli Badr, Ya Allah.

Berdasarkan lafaz ini, tidak disangkalkan lagi bahawa selawat badariyah adalah antara selawat yang masyhur di tanah air kita. Selawat ini biasa didengari dan dilantunkan oleh masyarakat kita tanpa mengira usia kerana tertarik dengan nada alunan selawat tersebut. Namun begitu, terdapat berapa pertikaian dalam lafaz selawat ini, antaranya adalah pada penafsiran kalimah طه dan يس kepada Rasulullah SAW.

Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai huruf-huruf muqatta’ah yang terdapat pada awal beberapa surah di dalam al-Quran. Antara mereka ada yang mengatakan, bahawa itu merupakan huruf-huruf yang hanya Allah sendiri yang mengetahui maknanya. Al-Raghib al-Asfahani berkata: “Sesungguhnya makna yang paling jelas, tanpa perantaraan, adalah apa yang difahami oleh ahli bahasa seperti al-Farra’ dan Qutrub, yang juga merupakan pendapat Ibn Abbas dan kebanyakan para al-Tabi’in, iaitu, huruf-huruf ini adalah unsur bahasa dan bahan yang mereka terdiri daripadanya. Allah SWT menjelaskan bahawa kitab ini dibuat daripada huruf-huruf ini yang berasal daripada bahasa kamu. Ini adalah tanda keajaiban mereka dan bahawa jika kitab ini berasal dari manusia, kamu tidak akan mampu – walaupun kamu bersungguh-sungguh – untuk menentangnya.” (Lihat Muqaddimah Jami’ al-Tafasir, hlm. 142)

Namun begitu, ada juga menyebut berkenaan makna Taha dan Yasin ini dalam kitab al- Syifa karya Al Qadhi ‘Iyadh” Telah diriwayatkan daripada Nabi SAW, ‘Aku memiliki sepuluh nama dan diantaranya : Taha dan Yasin..’ diriwayatkan oleh Makkiy. Disebutkan juga bahwa sebahagian tafsir tentang nama Taha ialah : “ يا طاهر يا هادي”. Adapun Yasin : “يا سيد”, diceritakan oleh al-Sulami daripada al-Wasiti, dan Ja’far bin Muhammad. Diriwayatkan oleh al-Naqqaasy daripada Nabi SAW, “Namaku dalam al-Quran ada tujuh: Muhammad, Ahmad, Taha, Yasin,…’ (Lihat al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa, 1/231)

Namun al-Qadhi ‘Iyadh meriwayatkan dengan shighah tamridh (رُوِيَ) kerana beberapa perawinya yang majhul dan sanad riwayat tersebut tidak sampai kepada SAW. Hal ini kerana terdapat yang riwayat yang sahih yang tidak menyebut pun nama Taha dan Yasin sebagaimana riwayat daripada Jubair bin Mut’im, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِي خَمْسَةُ أَسْمَاءٍ: أَنَا مُحَمَّدٌ، وَأَحْمَدُ وَأَنَا المَاحِي الَّذِي يَمْحُو اللَّهُ بِي الكُفْرَ، وَأَنَا الحَاشِرُ الَّذِي يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى قَدَمِي، وَأَنَا العَاقِبُ “

Maksudnya: “Aku memiliki lima nama; aku adalah Muhammad, aku adalah Ahmad, aku adalah al-Mahi (penghapus) yang mana denganku Allah menghapus kekufuran, aku adalah al-Hasyir (pengumpul) yang manusia dikumpulkan selepasku , dan aku adalah al-‘Aqib (iaitu yang terakhir dan tidak ada Nabi selepasku).”

Riwayat al-Bukhari (3532) dan Muslim (2354)

Dalam menjawab permasalahan ini, Ibn al-Qayyim berkata: “Adapun yang disebutkan orang awam bahwasanya Yasin dan Taha ialah nama Nabi SAW, maka ia tidaklah sahih, tidak pula hasan, tidak pula mursal, bukan pula merupakan athar daripada sahabat. Sesungguhnya ‘Taha’ dan ‘Yasin’ ialah huruf muqatta’ah seperti Alif Lam Mim, Haa Miim, Alif Lam Ra, dan sejenisnya” (Lihat Tuhfah al-Maudud bi Ahkam al-Maulud, hlm. 127)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di menjelaskan: “‘Taha’ termasuk huruf muqatta’ah, yang menjadi pembuka bagi banyak surah dalam al-Quran. Bukan nama Nabi SAW”

Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata, “Taha dan Yasin bukanlah nama Nabi SAW menurut pendapat yang paling sahih di antara pendapat para ulama. Bahkan keduanya merupakan huruf muqatta’ah yang membuka surah-surah dalam al-Quran semisal ‘sad’, ‘qaf’, ‘nun’ dan sebagainya” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 18/54)

Justeru, selawat ini mempunyai permasalahan dalam bab lafaznya, terutama dalam penafsiran lafaz Taha dan Yasin yang disandarkan kepada nama Nabi SAW, sedangkan kedua-dua nama tersebut bukanlah daripada nama-nama Nabi SAW.

Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan dzat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab: 56)

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5511)

Al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa  menyebut: Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi.(Lihat al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa,hlm. 138-139)

Diriwayatkan daripada Husin Bin Ali Bin Abi Tolib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”

Riwayat al-Tirmizi (3546) dan Ahmad (1736)

Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam Ibn Kathir ada menyatakan selepas menyebut berkaitan hadith daripada Ali dan juga hadith daripada Abu Hurairah menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/373)

Dalam bab selawat ini, selawat yang terbaik ialah Selawat Ibrahimiyyah yang merupakan selawat yang diajar oleh Nabi SAW, sebagaimana riwayat daripada Ka’ab bin ‘Ujrah R.A, dikatakan:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَمَّا السَّلاَمُ عَلَيْكَ فَقَدْ عَرَفْنَاهُ، فَكَيْفَ الصَّلاَةُ عَلَيْكَ؟ قَالَ: قُولُوا: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Adapun salam kepadamu kami telah mengetahuinya, lalu bagaimanakah (cara) berselawat kepadamu? Baginda bersabda: “Ucapkanlah (yang bermaksud): Ya Allah! Limpahkanlah rahmat untuk Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana engkau melimpahkan rahmat untuk keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia. Ya Allah! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia.”

Riwayat al-Bukhari (4797)

Al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan: “Apa yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat R.Anhum tentang kaifiyah (dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” (Lihat Fath al-Bari, 11/66)

Hadith ini juga menunjukkan bahawa berselawat merupakan hal ibadah dan ia disandarkan kepada Nabi SAW secara tawaquf. Hal ini kerana prinsip asas mengenai ibadah adalah tauqifi iaitu berhenti pada apa yang telah diriwayatkan dalam syariat (dan tidak mencipta sesuatu yang baru) sebagaimana kaedah menyebut:

الأَصْلُ فِي الْعِبَادَة التَّوَقُّف

Maksudnya: “Asal bagi ibadah adalah terhenti.”

Ini memberi maksud bahawa asal ibadah adalah tawaquf kepada dalil dan hujjah. Selagi mana tiada dalil dan hujjah. Justeru, dalam hal berselawat kami katakan bahawa adalah lebih baik jika kita memilih untuk mengamalkan selawat yang terdapat dalam hadith nabi, seperti selawat Ibrahimiyyah, kerana selawat ini telah diajar  oleh Nabi Muhammad SAW dan merupakan amalan yang sangat dianjurkan dan dalam masa yang sama cuba mengelakkan diri daripada selawat selainnya.

Namun begitu, kami ingin menyatakan bahawa selagi selawat tersebut tidak mengandungi lafaz-lafaz atau makna yang bertentangan dengan akidah, maka kami berpendapat ia dibolehkan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa Selawat Badariyah ini mempunyai permasalahan dalam bab lafaznya, terutama dalam penafsiran lafaz Taha dan Yasin yang disandarkan kepada nama Nabi SAW, sedangkan kedua-dua nama tersebut bukanlah daripada nama-nama Nabi SAW. Justeru, dalam hal ini, adalah lebih baik jika kita memilih untuk mengamalkan selawat yang terdapat dalam hadith nabi SAW, seperti selawat Ibrahimiyyah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya: “Ya Allah! Limpahkanlah rahmat untuk Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana engkau melimpahkan rahmat untuk keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia. Ya Allah! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia.”

Hal ini kerana selawat ini telah diajar  oleh Nabi Muhammad SAW dan merupakan amalan yang sangat dianjurkan dan dalam masa yang sama cuba mengelakkan diri daripada selawat selainnya.

Dikesempatan ini juga suka kami syorkan supaya menjadikan selawat sebagai amalan harian sebagai bukti kecintaan kita kepada baginda Nabi Muhammad SAW disamping mengamalkan sunnahnya serta meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Selain itu berselewat ke atas baginda  merupakan satu tuntutan di dalam agama ini. Ini kerana, di sana terdapat banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda SAW, antaranya berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”

Riwayat Muslim (384)

Imam al-Sakhawi menyatakan : Menyibukkan diri dengan  berselawat dan memberi salam kepada Nabi kita, Muhammad SAW, adalah salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Kuasa. Ini juga merupakan cara yang baik untuk mendapatkan kebaikan dan kebahagiaan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Selawat Nabi merupakan  perintah dari Allah yang mana  para malaikat-Nya yang tak terhitung jumlahnya telah melakukannya sebelum manusia diminta untuk melakukannya. (Lihat al-Qaul Badi’, hlm.5 )

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445