#3472: Hadith Jangan Bertangguh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith yang menunjukkan kita diperintahkan untuk hidup di dunia seperti orang asing atau pengembara? Begitu juga, jangan sekali-kali kita bertangguh.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata: Rasulullah SAW telah memegang bahuku lantas bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلا تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلا تَنْتَظِرِ المَسَاءَ. وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لمَوْتِكَ

Maksudnya: “Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau yang musafir.”  Ibn Umar R.Anhuma berkata: ” Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu sehingga ke pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah ditunggu sehingga ke petang. Gunalah masa sihatmu sebelum masa sakitmu dan gunalah masa
hidupmu sebelum waktu matimu.”

Riwayat al-Bukhari (4616)

 Ulama & Hadis Ini

  • Abu al-Zinad berkata: “Makna hadis ini adalah menggesa supaya kita mengurangkan pergaulan, mengurangkan urusan yang lain dan zuhud di dunia.”
  • Ibn Rajab berkata: “Hadis ini merupakan dalil tentang memendekkan cita-cita di dunia. Ia juga sebagai dalil bahawa seorang Mukmin tidak patut menjadikan dunia sebagai tempat kekal dan tempat tinggalnya, sehingga dia merasa tenang di dunia. Tetapi, dia harus berada di dunia ini seolah-olah berada di atas ‘kenderaan’ dalam keadaan sentiasa bersiap sedia untuk bertolak.”
  • Syeikh Abd al-Wahab berkata: “Antara keistimewaan pada hadis ini ialah dibuat perumpamaan dengan perkara yang bersifat nyata. Ini bertujuan menggerakkan keupayaan akal, memberi kefahaman dan membangkitkan kebaikan tadabur serta cara yang cukup mudah memberi kepuasan kepada orang.”
  • Dr. Mustafa Dib al-Bugha berkata: “Ini adalah hadis yang agung dan banyak mengandungi faedah-faedah yang mulia serta mengumpulkan semua kebaikan dan nasihat. Usulnya adalah memendekkan angan-angan di dalam kehidupan dunia kerana seorang Mukmin itu hendaklah jangan menjadikan dunia sebagai negara tempat tinggal dan penempatan serta merasa tenang dengannya.”

Nasihat Ibn Umar R.Anhuma

Ibn Umar R.Anhuma dalam hadis ini menjadi contoh bagaimana seorang yang menerima nasihat serta wasiat daripada seseorang dengan sepenuh hati kemudian terus menyematkannya di dalam dada serta mengamalkannya. Ini dapat dilihat pada pengakhiran hadis yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari bahawa terdapat athar daripada Ibn Umar iaitu reaksi balas terhadap pesanan Rasulullah SAW terhadapnya iaitu: “Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu sehingga ke pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah ditunggu sehingga ke petang. Gunalah masa sihatmu sebelum masa sakitmu dan gunalah masa hidupmu sebelum waktu
matimu.”

Kami telah menerangkan dengan panjang lebar isu jangan bertangguh dalam buku kami yang bertajuk Masa Peliharalah. Boleh saudara rujuk kepada buku tersebut kerana banyak manfaatnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445