#3507: Kenapa Arak itu Penyakit?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya kenapa arak adalah penyakit ?. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

(Surah al-Baqarah:219)

Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15).

Terdapat hadith yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan dan aktiviti berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا، وَحَامِلُهَا وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ وَسَاقِيهَا وَبَائِعُهَا، وَآكِلُ ثَمَنَهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا وَالْمُشْتَرَي لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.

Riwayat al-Tirmizi (1295)

Menjawab bagi persoalan di atas, syariat islam tidak melarang sesuatu kecuali terdapat pandanya mafsadah. Oleh yang demikian kami katakan walaupun terdapat beberapa manfaat pada penggunaan arak namun mafsadahnya lebih banyak berbanding manfaat. Dalam isu ini kami katakan arak itu merupakan penyakit yang mendatangkan kemudaratan. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada  Wail Bin Hajar bahawa Rasulullah SAW bersabda ?

‏ إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ وَلَكِنَّهُ دَاءٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya arak itu bukanlah penawar, tetapi ianya penyakit.”

Riwayat Muslim (1984), al-Tirmizi (2046) dan Ahmad (18862)

Begitu juga apa yang diriwayatkan daripada Abu Darda bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan buat kamu penyakit dan ubat, maka hendaklah kamu berubat, akan tetapi jangan kamu berubat dengan yang haram.”

Riwayat Abu Daud (3874)

Ibn Mas’ud R.Anhuma berkata mengenai perkara yang memabukkan:

إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu pada apa yang diharamkan ke atas kamu.”

Riwayat al-Bukhari secara mu’allaq, al-Tabarani (9716) dan al-Baihaqi (20182)

Di sini kami nyatakan sebab-sebab kenapa arak itu merupakan  penyakit adalah sebagaimana berikut:

  • Profesor Tabarah berkata: Kesannya minuman keras bermula sebaik sahaja sepuluh gram alkohol masuk ke dalam darah, dan jumlah ini terdapat dalam satu gelas “wiski” atau “koniak”, dan mungkin tidak mencapai tahap yang memabukkan.
  • Satu dos minuman keras menyebabkan peningkatan tekanan darah. Ia yang dapat menjadi lebih tinggi bacaan darah tersebut jika individu itu sudah mempunyai tekanan darah tinggi.
  • Jika jumlah minuman keras itu dalam kuantiti yang banyak, ia boleh menyebabkan meningkatnya tekanan darah sehingga menyebabkan arteri pecah di dalam otak sehingga boleh menyebabkan strok.
  • Alkohol boleh mempengaruhi keturunan. Yang demikian telah diperhatikan bahawa anak-anak orang yang kerap minum alkohol tumbuh dengan kesihatan yang buruk, lemah dalam struktur tubuh, kurang akal, dan cenderung kepada perilaku jenayah dan kejahatan.
  • Beberapa penulis Barat yang menentang alkohol, seperti dalam bukunya “Asal-Usul Hukum”, menyatakan, “Wain di wilayah utara menyebabkan kegilaan, dan di wilayah selatan menyebabkan kegilaan.”. Ilmu pengetahuan moden juga telah membuktikan bahawa alkohol tidak memberi manfaat dalam rawatan. Pendapat yang menyatakan rawatan menggunakan alkohol adalah salah, dan hal ini telah diungkapkan dalam Islam. Ia menunjukkan mukjizat saintifik dalam hadith.(Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,hlm.312-313)

Begitu juga apa yang dikeluarkan oleh WHO tentang bahayanya  arak seperti:

  • Penggunaan alkohol yang berbahaya adalah faktor penyebab kepada lebih daripada 200 keadaan penyakit dan kecederaan.
  • Di seluruh dunia, 3 juta kematian setiap tahun disebabkan oleh penggunaan alkohol yang berbahaya. Ini mewakili 5.3% daripada semua kematian.
  • Secara keseluruhan, 5.1% daripada beban penyakit dan kecederaan global berpunca daripada alkohol, seperti yang diukur dalam tahun hayat pelarasan kecacatan (DALYs).
  • Di luar akibat kesihatan, penggunaan alkohol yang berbahaya membawa kerugian sosial dan ekonomi yang ketara kepada individu dan masyarakat secara amnya.
  • Pengambilan alkohol menyebabkan kematian dan hilang upaya secara relatifnya pada awal kehidupan. Pada orang berumur 20-39 tahun, kira-kira 13.5% daripada jumlah kematian disebabkan oleh alkohol.
  • Terdapat hubungan sebab akibat antara penggunaan alkohol yang berbahaya dan pelbagai gangguan mental dan tingkah laku, keadaan tidak berjangkit dan kecederaan lain.

Justeru, jelaslah kepada kita  bahawa arak adalah sumber mafsadah  lebih besar daripada kemaslahatan, dan tiada keraguan lagi  bahawa ia  merupakan penyakit bukanlah  penawar. Oleh itu, sebagai seorang Muslim, adalah kewajipan kita untuk menjauhi segala perkara yang diharamkan oleh syara’. Ini adalah langkah penting untuk menjaga kesihatan fizikal dan rohani kita, serta bagi memelihara nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian kita.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445