#3508: Mengajar al-Quran Dengan Diikuti Secara Beramai-Ramai

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mengajar al-Quran melalui buku Iqra’ di masjid untuk orang dewasa dari mengenal huruf hingga boleh membaca dan diteruskan dengan al-Quran. Sebahagian golongan tidak mahu mengikut kaedah itu. Mereka mahu saya membaca al-Quran terlebih dahulu kemudian diikuti secara beramai ramai. Melalui kaedah ini adakah saya dikira berdosa jika bacaan beramai ramai itu tidak menepati sebutan makhraj dan tajwidnya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tajwid dari sudut istilah ialah memberikan atau meletakkan setiap satu huruf apa yang patut baginya (haknya) dari segi sifat-sifat huruf seperti menyatakan atau menyembunyikan, dan juga apa yang dimestikan baginya dari segi apa yang terhasil daripada sifat-sifat itu seperti tebal, nipis dan sebagainya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/177).

Ibn al-Jazari berkata: Kewajipan membaca tajwid ini adalah adalah pada mereka yang mampu kerana Allah SWT menurunkan kitab-Nya al-Quran kepada Nabi-Nya SAW sehingga ia sampai kepada kita secara mutawatir dengan bertajwid. Manakala bagi sesiapa yang tidak memperelokkan dan memperbetulkan bacaan al-Qurannya, sedangkan dia mampu, maka dia telah berdosa dan telah melakukan maksiat. (Lihat Syarh Tayyibah al-Nasyr li Ibn al-Jazariyy, hlm.35)

Ibn al-Jazari berkata lagi bahawa tajwid adalah perhiasan bagi bacaan al-Quran, iaitu memberikan hak pada huruf-huruf mereka dan susunan mereka berdasarkan kedudukan mereka, dan meletakkan atau memulangkan huruf pada tempat keluar makhrajnya dan melampirkannya dengan apa yang seumpamanya, dan membetulkan lafaznya, dan melembutkan sebutannya berdasarkan kepada bentuknya, dan juga keadaannya, tanpa berlebihan dan juga menguranginya. (Lihat al-Nasyru fi al-Qira’at al-‘Asyr, 1/212)

Sesungguhnya bagi setiap pembaca al-Quran, hendaklah membaca al-Quran dengan tartil dan bertajwid dengan kadar yang wajib baginya samaada ia dibaca dengan perlahan ataupun dengan kuat. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا

Maksudnya: “Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”

(Surah al-Muzammil: 4)

Syeikh al-Tantawi di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan ‘وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا’ itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Wasit, 15/155)

Terdapat perbezaan pandangan ulama’ terdahulu bersama ulama’ kontemporari, di mana ulama’ terdahulu mewajibkan orang Islam untuk membaca al-Quran dengan bertajwid dan berdosa sekiranya meninggalkannya, dan asas tajwid ini adalah yang berkaitan dengan penjagaan huruf (dari sudut yang boleh mengubah struktur ayat dan juga maknanya) atau yang berkaitan selain darinya seperti hukum idgham, idzhar dan sebagainya.

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah menyatakan: “Ulama’ qiraat dan tajwid yang terdahulu berpendapat bahawa kesemua usul dalam tajwid adalah wajib dan berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya sama ada ia berkait dengan penjagaan huruf daripada mengubah struktur ayat ataupun merosakkan maknanya atau yang berkaitan selain daripadanya yang disebut oleh para ulama’ dalam kitab-kitab tajwid seperti idgham dan seumpamanya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/179)

Ibn al-Jazari menukilkan daripada Imam Nasr al-Syairazi: Mengamalkan bacaan tajwid adalah wajib dalam membaca al-Quran. Dan wajib bagi pembaca al-Quran untuk membaca al-Quran dengan bacaan yang benar. (Lihat al-Nasyr fi al-Qira’at al-‘Asyr, 1/112)

Namun, ulama’ masa kini memperincikan lebih lagi kepada wajib syar’ie dan wajib sina’ie. Wajib syar’ie di sini adalah kewajipan mempelajari asas tajwid yang jika ditinggalkan boleh membawa kepada perubahan makna atau kerosakan pada makna. Adapun wajib sina’ie pula adalah apa yang diwajibkan ke atas ahli ilmu tersebut untuk menyempurnakan lagi bacaan al-Quran, dan ia adalah sepertimana yang disebut oleh para ulama’ dalam kitab-kitab tajwid seperti idgham, ikhfa’ dan sebagainya, dan jenis ini jika ia ditinggalkan daripada mempelajarinya tidaklah berdosa. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/179)

Al-Mulla ‘Ali al-Qari berkata: Maka hendaklah meraikan semua kaedah-kaedah makhraj huruf dan sifatnya secara wajib pada perkara yang boleh mengubah struktur ayat atau merosakkan makna, dan dianjurkan pada apa yang dapat mengelokkan lafaz dan sebutan ketika membacanya. (Lihat al-Minah al-Fikriyyah fi Syarh al-Muqaddimah al-Jazariyyah, hlm.112)

Justeru, pendapat yang terpilih dalam kalangan ulama’ berkenaan bahawa yang diwajibkan bagi pembaca al-Quran berdasarkan hukum syara’ ialah dengan memelihara lafaz huruf-huruf itu, dan mengeluarkannya daripada makhrajnya, tanpa menggantikan satu huruf dengan huruf yang lain, dan bacaannya itu tidak mengubah makna, atau struktur kalimah atau ayat. Selain daripada itu, maka ia tidak wajib menurut syara’, tetapi ia dianjurkan dan digalakkan seperti memerdukan bacaan al-Quran dan melagukannya.

Firman Allah SWT:

لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ

Maksudnya: “Janganlah engkau (wahai Muhammad) – Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).

(Surah al-Qiyamah: 16)

Ibn Kathir berkata: Ini adalah pengajaran dari Allah yang Maha Mulia kepada Rasul-Nya SAW tentang bagaimana baginda menerima wahyu daripada Malaikat. Rasulullah SAW sentiasa bersiap sedia untuk menerimanya dan bersegera membacanya sebelum Malaikat sempat menghabiskannya. Allah Azza wa Jalla memerintahkan baginda, apabila Malaikat membawa wahyu kepadanya, supaya baginda mendengarkan dengan penuh perhatian, menghafal dalam dadanya, dan memudahkan untuk menyampaikannya dengan cara yang telah diberikan oleh Allah. Baginda juga diminta untuk menjelaskan, memahami, dan mengklarifikasikan wahyu tersebut. Oleh itu, dalam keadaan pertama, ini melibatkan menghafal dalam dadanya, keadaan kedua adalah membacanya, dan keadaan ketiga adalah menjelaskan dan menerangkan maknanya. Itulah sebabnya Allah berfirman: “Janganlah engkau bergerak dengan lidahmu untuk mempercepatnya,” iaitu dengan Al-Quran. Allah juga berfirman dalam Surah Taha (114): “Dan janganlah engkau terburu-buru membaca Al-Quran sebelum selesainya wahyu kepada engkau dan katakanlah, ‘Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku.'” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim,  8/278)

Bagi mereka yang masih dalam pembelajaran walaupun masih bertatih, ia adalah lebih baik daripada mereka yang meninggalkan terus pembacaan al-Quran dengan alasan tidak mahir membacanya. Diriwayatkan daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW pernah bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.

Riwayat Muslim (798) dan Ibn Majah (3779)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa dua ganjaran yang diperolehi itu adalah kerana pertamanya bagi pembacaannya itu dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/85)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kaedah guru membaca al-Quran terlebih dahulu kemudian diikuti secara beramai ramai merupakan salah satu kaedah untuk memperkenalkan cara bacaan al-Quran bagi peringkat permulaan.  Melalui kaedah ini, jika bacaan beramai ramai itu tidak menepati sebutan makhraj dan tajwidnya, adalah tidak berdosa kerana masing-masing dalam proses pembelajaran lagi. Namun, cara yang paling berkesan dalam pembelajaran al-Quran adalah dengan secara bertalaqqi dengan guru al-Quran.

Dalam sebuah hadith yang lain, Nabi SAW memuji golongan yang mempelajari al-Quran dan juga yang mengajarkannya. Daripada Uthman bin `Affan RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kalian adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.”

Riwayat al-Bukhari (5027)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

 

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445