#3514: Mata Wang yang Terdapat padanya Kalimah Allah ketika Masuk Tandas

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukumnya jika seseorang itu mempunyai duit kertas yang padanya terdapat nama Allah SWT ketika masuk ke dalam tandas?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan di atas, kami membawakan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ كَانَ إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ وَضَعَ خَاتَمَهُ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW apabila masuk ke dalam tandas, Baginda akan menanggalkan cincinnya.”

Riwayat Ibn Majah (303), Abu Dawud (19), al-Tirmizi (1748) dan al-Nasa’ie (5213)

Syeikh ‘Ali al-Qari berkata: “Ini kerana ukiran cincin itu adalah Muhammad Rasulullah. Dan pada hadis ini menunjukkan bahawa orang yang sedang beristinja’ itu perlu menanggalkan sesuatu yang terdapat nama Allah, nama Rasul-Nya dan juga ayat al-Quran.” Beliau juga menukilkan kalam Ibn Hajar al-‘Asqalani, bahawa disunatkan bagi sesiapa yang ingin menunaikan hajatnya (membuang air) untuk menanggalkan semua yang terdapat pada dirinya dari sesuatu yang dimuliakan seperti nama Allah atau nama Nabi. Sekiranya dia menyelisihinya, maka perbuatan itu adalah makruh. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 2/57)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam mengatakan bahawa cincin Rasulullah SAW itu terukir padanya kalimah “Muhammad Rasulullah”, maka Baginda tidak memasuki tandas dengan memakainya, bahkan meninggalkannya di luar. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, hlm. 325)

Ibn Qudamah menyatakan: “Apabila seseorang itu hendak masuk ke dalam bilik air dan terdapat bersamanya sedikit daripada sebutan nama Allah, maka disunatkan untuk dia membukanya.” (Lihat al-Mughni, 1/167)

Dalam menjelaskan perkaitan antara hadith ini dengan permasalahan mata wang yang bertulis padanya kalimah Allah SWT, kedua-dua barang; cincin dan duit itu mempunyai persamaan iaitu bertulis pada keduanya kalimah Allah SWT. Oleh yang demikian, masalah mata wang ini boleh mengambil hukum yang sama, iaitu sunat untuk ditinggalkan di luar tandas.

Imam al-Nawawi berkata, hadith Anas ini merupakan hadis yang masyhur. Adapun hukum berkenaan permasalahan ini, maka para ashab kami (al-Syafi‘iyyah) telah sepakat bahawa sunat menanggalkan apa-apa yang terdapat padanya nama Allah ketika seseorang itu ingin masuk ke dalam bilik air, dan ianya tidak wajib ditanggalkan. Antara yang menyatakan secara sarih (jelas) bahawa hukumnya mustahab adalah musannif (Imam al-Syirazi) dan gurunya al-Qadhi Abu al-Tayyib. Manakala al-Mutawalli, al-Rafi’i serta selain keduanya berkata: “Tidak ada perbezaan sama ada ia tertulis di atas dirham, dinar, cincin atau selainnya.” (Lihat al-Majmu’, 2/73)

Dapat difahami, hukum asal bagi apa jua barang yang tertulis padanya kalimah Allah SWT, seperti kalung, rantai, wang tunai dan seumpamanya adalah makruh untuk dibawa masuk bersama ke dalam tandas.

Akan tetapi, sebahagian fuqaha’ memberikan pengecualian dalam keadaan tertentu, jika dibimbangi akan terlupa tentang barang tersebut atau dicuri apabila ditinggalkan di luar tandas, maka dibolehkan untuk membawanya masuk bersama ke dalam tandas. Ini berdasarkan kaedah yang menyebutkan:

الكَرَاهَةُ تَزُولُ بِالْحَاجَةِ

Maksudnya “Hukum makruh itu akan hilang apabila wujud keperluan.”

Ibn Qudamah al-Maqdisi menukilkan pandangan beberapa ulama’ berkenaan. Imam Ahmad mengatakan, sekiranya cincin yang bertulis kalimah Allah SWT itu dipusingkan ke tapak tangan (lalu menutupnya dengan tangan), maka boleh dibawa masuk ke dalam tandas.

Dinukilkan juga daripada ‘Ikrimah, memusingkan cincin ke tapak tangan kemudian menggenggamnya sebagaimana yang disebutkan oleh Ishaq. Begini juga rukhsah yang disebutkan Ibn al-Musayyib, al-Hasan, dan Ibn Sirin.

Kata Imam Ahmad: “Seseorang yang ingin masuk ke dalam tandas sedangkan padanya terdapat dirham (bertulis padanya kalimah Allah), aku berharap ianya tidak mengapa. Akan tetapi lebih afdhal agar dijauhi membawa apa sahaja yang bertulis padanya nama Allah SWT ke tempat yang kotor sekadar yang mampu, bagi membesarkan nama Allah SWT dan sebagai bentuk adab dengan nama-Nya yang mulia. (Lihat al-Mughni, 1/123-124)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menukilkan kalam Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, wang yang tertulis padanya ‘tiada tuhan selain Allah’, dan ia disimpan di dalam sampul, maka boleh dibawa masuk ke dalam tandas. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, hlm. 325)

Kesimpulan

Jelas dalam perbahasan ini bahawa mata wang merupakan salah satu barang yang padanya keperluan untuk dibawa bersama masuk ke dalam tandas. Hal ini kerana dikhuatiri ia akan dicuri atau terlupa di mana tempat diletakkan mata wang tersebut. Para ulama’ juga telah memberikan satu garis panduan untuk membawa apa jua barang yang bertulis kalimah Allah SWT ke dalam tandas, iaitu dengan memastikan ia berada dalam keadaan tertutup, meskipun dengan menggenggamnya sahaja.

Oleh itu, boleh membawa mata wang yang bertulis kalimah Allah SWT, dengan syarat ia diletakkan di dalam beg duit atau menyimpannya dengan baik di dalam kocek seluar. Jika sekadar memegangnya tanpa menutup mata wang tersebut dengan baik, maka hukumnya adalah makruh.

Dalam masa yang sama, kewajiban menjaga kebesaran nama-nama Allah SWT itu adalah ke atas setiap muslim, serta menjauhkan dari apa sahaja yang boleh menggugat kesucian dan kemuliaannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

(Surah al-Haj: 32)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445