#3519: Adakah Ikan Keli yang Makan Bangkai Babi Perlu Kuarantin 3 Hari?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ingin bertanya hukum makan keli yang diberi makanan bangkai babi. Benarkah kuarantin 3 hari menjadikan ikan keli itu bukan lagi najis. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, semua jenis ikan merupakan binatang yang halal dimakan menurut nas yang sarih daripada syara‘. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya “Airnya (laut) suci lagi menyucikan, halal bangkainya (hidupan laut).”

Riwayat Abu Dawud (83), al-Tirmizi (69), al-Nasa’ie (59), Ibn Majah (386), dan Ahmad (8735)

Seterusnya, haiwan yang hukum asal memakannya adalah halal, apabila ia mengambil najis sebagai makanan hariannya, maka ia dikategorikan sebagai haiwan al-jallalah (الجَلَّالَةُ) atau secara saintifiknya disebutkan sebagai coprophagous (coprophagy).  Haiwan al-jallalah ini adalah haiwan yang makan tahi dan najis, tidak kira haiwan tersebut adalah unta, lembu, kambing, ayam, angsa atau lain-lain. (Lihat Raudah al-Talibin, 3/278; Nail al-Autar, 8/139-140; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558)

Hukum memakan daging haiwan al-jallalah ini diperselisihi oleh para fuqaha’, antara yang mengharamkannya secara mutlak atau menghukumkannya sebagai makruh tanzih. Khilaf ini berlaku apabila warid nas yang berbentuk larangan, daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ عَنْ أَكْلِ الْجَلَّالَةِ وَأَلْبَانِهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah — yakni dagingnya — dan susunya.”

Riwayat Riwayat al-Tirmizi (1824) dan Abu Dawud (3785). Syeikh al-Albani menilai hadith ini sahih.

Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ عَنِ الجَلَّالَةِ فِي الْإِبِلِ  أَنْ يُرْكَبَ عَلَيْهَا، أَوْ يُشْرَبَ مِنْ أَلْبَانِهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah daripada jenis unta, sama ada menunggangnya atau minum daripada susunya.”

Riwayat Abu Daud (3787). Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai hasan sahih.

Imam al-Nawawi mengatakan, pandangan yang sahih berdasarkan larangan di atas adalah ianya sekadar makruh tanzih. Inilah pendapat yang dipersetujui oleh majoriti ulama’, termasuk Imam al-Nawawi sendiri, Imam al-Rafi‘i dan selain mereka. (Lihat al-Majmu ‘, 9/28)

Perincian mengenai ikan keli yang memakan najis sebagai haiwan al-jallalah telah kami nyatakan di dalam artikel kami yang bertajuk “Memakan Ikan Keli yang Dipancing dari Kolam Najis”. Berdasarkan artikel tersebut, kami menyimpulkan bahawa menurut pendapat mu‘tamad dalam Mazhab Syafi‘i, haiwan yang memakan najis kotoran tetapi tidak sampai merubah struktur bau, rasa dan warnanya, ia tidak dikategorikan sebagai haiwan al-jallalah. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/447; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558; Mughni al-Muhtaj, 6/155; Fath al-Wahhab, 2/237; al-Majmu‘, 9/28)

Jika haiwan tersebut menjadi al-jallalah, hukum memakannya adalah makruh tanzih atau haram menurut sebahagian ulama’. Akan tetapi, terdapat cara yang memungkinkan kita untuk menghilangkan hukum makruh dan haram tersebut, iaitu:

  • Mengkuarantinkan haiwan al-jallalah sehingga bau busuk kotoran hilang.
  • Diberi makan makanan yang baik dan bersih. (Lihat al-Majmu‘, 9/29; Raudhah al-Talibin, 3/278)

Ikan Keli al-Jallalah Perlu Kuarantin 3 Hari

Persoalan utama yang diajukan adalah, benarkah ikan keli yang dihukumkan sebagai al-jallalah itu perlu dikuarantin selama 3 hari dahulu? Kami katakan bahawa isu kuarantin ini menjadi khilaf di kalangan fuqaha’. Ia berbeza-beza mengikut jenis haiwan tersebut, dan saiz tubuh haiwan tersebut sama ada kecil atau besar.

Pendapat dalam Mazhab Hanbali: Hanya perlu kuarantin selama 3 hari bagi semua jenis haiwan, kecil atau besar.

Dalil mereka adalah riwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّهُ كَانَ يَحْبِسُ الدَّجَاجَةَ الْجَلَّالَةَ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Sesungguhnya dikuarantinkan ayam al-jallalah selama 3 hari.”

Riwayat  Ibn Abi Syaibah (24608)

Hujjah mereka, perkara (najis kotoran) yang menyebabkan sesuatu haiwan itu menjadi bernajis (al-jallalah), ia turut menyebabkan haiwan lain menjadi bernajis. Maka apa yang menyebabkan haiwan bernajis itu menjadi suci, ia juga menyebabkan haiwan lain menjadi suci. (Lihat al-Mughni, 9/414)

Pendapat dalam Mazhab Syafi‘i: Perlu kuarantin 40 hari jika ia seekor unta, 7 hari jika ia seekor kambing dan 3 hari jika ia seekor ayam. (Lihat al-Majmu‘, 9/28)

Ini berdasarkan hadith Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنِ الإِبِلِ الجَلَّالَةِ أَنْ يُؤْكَلَ لَحْمُهَا، وَلَا يُشرَبَ لَبَنُهَا، وَلَا يُحْمَلَ عَلَيْهَا إِلَّا الأُدْمَ، وَلَا يَرْكَبُهَا النَّاسُ حَتَّى تُعْلَفَ أَرْبََعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Rasulullah SAW menegah makan unta yang makan najis, dan menegah untuk meminum susunya, menegah untuk ditanggung atas unta itu melainkan lauk-pauk, dan jangan ditunggangi manusia melainkan setelah diberi makan (yang bersih dan baik) selama 40 malam.”

Riwayat Abu Dawud (3811), al-Nasa’ie (4447), dan al-Hakim (2269)

Imam al-Qalyubi menyebutkan dalam hasyiahnya ketika mengulas hadith di atas bahawa 40 malam ini adalah berdasarkan kepada kebiasaannya sebarang perubahan — yang mendatang dan tidak kekal — akan hilang selepas tempoh tersebut. Hal ini kerana setiap apa yang dimakan akan kekal manfaatnya di dalam badan selama 40 hari. Sekiranya perubahan tersebut hilang sebelum daripada tempoh berkenaan atau dengan tanpa perlu memberi makanan yang bersih, hukumnya tidak lagi menjadi makruh. Jika perubahan tersebut kembali — yakni kembalinya tanda-tanda haiwan jallalah — maka hukumnya kembali menjadi makruh. (Lihat Hasyiah Qalyubi, 4/262)

Asasnya menurut Mazhab Syafi‘i, jika haiwan al-jallalah diberi makanan yang bersih, dan dagingnya suci — yakni tidak lagi berbau — maka hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami membawakan natijah sebagaimana yang pernah kami sebutkan dalam artikel sebelum ini, bahawa tidak ada tempoh tertentu bagi proses pengkuarantinan dan tempoh memberinya makanan yang bersih untuk ikan keli al-jallalah. Ia berdasarkan kepada adat setempat dan sangkaan yang kuat bahawa perubahan pada daging tersebut dan baunya yang busuk itu telah hilang, kerana perbezaan jenis dan saiz sesuatu haiwan tersebut mempengaruhi tempoh masa proses kuarantin ini.

Akan tetapi, sebaiknya jika ia dapat dikuarantin selama 3 hari meskipun telah tidak lagi berbau. Ini bagi meraikan perbezaan pendapat di kalangan fuqaha’ yang mana setiap dari pandangan mereka itu juga terbina di atas dalil dan hujjah. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا رِزْقًا حَسَنًا وَاسِعًا حَلاَلاً طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِيْنَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, rezekikanlah kami rezeki yang baik, luas, halal dan bersih serta diberkati. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445