#3525: Bolehkah Dibatalkan Hukuman Potong Tangan Jika Mangsa Memaafkan Pencuri?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ke dibatalkan hukuman potong tangan jika mangsa memaafkan pencuri tersebut? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Maidah:38)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyatakan: sesiapa yang mencuri harta lebih daripada seperempat dinar atau lebih daripada itu dari harta simpanan yang disimpan, dan dia adalah seorang yang baligh dan berakal, maka dia akan dihadapkan kepada hakim. Yang demikian juga bagi pencuri wanita, maka hukumnya adalah dipotong tangan kanan pencuri itu dari pergelangan tangan, begitu juga dengan tangan pencuri wanita. Hukuman tersebut sebagai balasan atas kezaliman yang telah dilakukan kerana mencuri harta orang lain secara haram. Ini merupakan pembalasan dari Allah SWT bagi mereka dan menjadikan mereka sebagai iktibar agar orang lain tidak mencuri harta orang lain melalui jalan pencurian yang diharamkan. (Lihat Aisar al-Tafasir,1/629)

Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah R.A, sabda Baginda SAW:

إِذَا سَرَقَ السَّارِقُ فَاقْطَعُوا يَدَهُ، وَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا رِجْلَهُ، فَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا يَدَهُ، فَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا رِجْلَهُ

Maksudnya: “Apabila seorang pencuri mencuri, maka potonglah tangannya. Jika ia mencuri lagi maka potonglah kakinya. Jika ia mencuri lagi, maka potonglah tangannya dan jika ia mencuri lagi maka potonglah kakinya.

Riwayat al-Daraqutni dalam al-Sunan (3392)

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa hukuman bagi pencuri lelaki ataupun perempuan adalah dipotong tangan. Ia sebagai balasan dari perbuatan mengambil hak orang lain secara batil dan bertujuan memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan haram seperti itu.

Walaubagaimanapun, tindakan potong tangan terhadap pencuri tidak berlaku dalam setiap kesalahan pencurian. Terdapat beberapa syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum tindakan potong tangan dapat dijalankan, iaitu:

  • Perbuatan mencuri itu secara rahsia atau dalam keadaan tersembunyi. Jika pencurian itu dilakukan secara terang-terangan, maka tindakan potong tangan tidak berlaku. Contohnya, jika seseorang mencuri dalam keadaan ketegangan dan paksaan di hadapan orang ramai, atau dia merampasnya, Hal ini kerana pemilik harta tersebut masih boleh meminta pertolongan dan mengambil balik harta tersebut dengan tangannya sendiri.
  • Barang yang dicuri adalah barangan yang mempunyai nilai dan kehormatan, kerana yang tidak bernilai itu tidak ada kesuciannya, seperti alat muzik, arak dan babi.
  • Nilai harta yang dicuri perlu melebihi nisab, iaitu tiga dirham Islam atau seperempat dinar Islam, atau nilai yang setara dengan salah satu daripadanya dalam mata wang lain.
  • Harta yang dicuri perlu diambil dari tempat yang dijaga. Tempat dijaga merujuk kepada tempat yang biasa digunakan oleh orang untuk menyimpan harta mereka, seperti peti besi.
  • Perbuatan mencuri perlu dibuktikan dengan adanya saksi yang adil atau pengakuan pencuri terhadap dirinya sendiri sebanyak dua kali.
  • Pemilik harta yang dicuri perlu menuntut harta tersebut daripada pencuri. Jika pemilik harta tidak menuntutnya, maka tindakan potong tangan tidak berlaku.

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَطَعَ فِي مِجَنٍّ ثَمَنُهُ ثَلاَثَةُ دَرَاهِمَ

Maksudnya: bahawa Rasulullah SAW pernah  menyuruh untuk dipotong (tangan pencuri) pada (sekiranya barang yang dicuri menyamai nilai) perisai yang harganya tiga dirham

Riwayat al-Bukhari (6795)

Ibnu Munzir dalam hal ini berkata: ”Para ulama sepakat bahwa potong tangan bagi pencuri dilakukan bila ada dua orang saksi yang adil, beragama Islam dan merdeka.” (Lihat al-Ijma’, no. 621, hlm. 123)

‘Abd al-Rahman al-Hariri berkata: “Hukum had atas pencurian telah ditetapkan oleh al-Kitab dan Sunnah serta kesepakatan para ulama. Allah Azza wa Jalla telah menyebutkan hukumannya dalam ayatnya yang mulia. Dia telah memerintahkan potong tangan atas pencurinya sama ada lelaki atau perempuan, hamba atau yang merdeka, muslim atau bukan islam dengan tujuan untuk  melindungi dan menjaga harta. Hukum potong tangan ini telah diamalkan pada zaman jahiliyah sebelum Islam. Setelah Islam datang, maka Allah Azza wa Jalla menetapkannya dan menambahnya dengan persyaratan yang telah diketahui.” (Lihat Mazahib al-Arba`ah, 5/153)

Adakah Boleh Dibatalkan Hukuman Potong Tangan Jika Mangsa Memaafkan Pencuri?

Hukum memotong tangan bagi pencuri termasuk dalam hukum hudud yang Allah telah tetapkan. Hukuman hudud ialah suatu hukuman yang sudah ditetapkan secara terperinci oleh Syara’ bertujuan menjaga kesejahteraan umat manusia. Contohnya, jenayah seperti zina, minum arak, merompak, dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/129)

Dalam kes ini, tiada siapa pun mempunyai hak tidak kira dari sudut mangsa mahupun pemerintah untuk membatalkan hukuman terhadap pesalah laku jika sudah disabitkan kesalahan mereka. Pendirian ini jelas ditunjukkan oleh Nabi apabila beliau menunjukkan kemarahan terhadap sahabat baginda, Usamah Bin Zaid RA yang memohon agar Nabi memaafkan pencuri perempuan daripada kaum Bani Makhzum yang telah disabitkan kesalahan.

Ini berdasarkan riwayat daripada ‘Urwah bin al-Zubair, katanya:

أَنَّ امْرَأَةً سَرَقَتْ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزْوَةِ الفَتْحِ، فَفَزِعَ قَوْمُهَا إِلَى أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ يَسْتَشْفِعُونَهُ، قَالَ عُرْوَةُ: فَلَمَّا كَلَّمَهُ أُسَامَةُ فِيهَا، تَلَوَّنَ وَجْهُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: “أَتُكَلِّمُنِي فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللهِ”، قَالَ أُسَامَةُ: اسْتَغْفِرْ لِي يَا رَسُولَ اللهِ، فَلَمَّا كَانَ العَشِيُّ قَامَ رَسُولُ اللهِ خَطِيبًا، فَأَثْنَى عَلَى اللهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ، ثُمَّ قَالَ: “أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ النَّاسَ قَبْلَكُمْ: أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا.” ثُمَّ أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتِلْكَ المَرْأَةِ فَقُطِعَتْ يَدُهَا، فَحَسُنَتْ تَوْبَتُهَا بَعْدَ ذَلِكَ وَتَزَوَّجَتْ قَالَتْ عَائِشَةُ: فَكَانَتْ تَأْتِي بَعْدَ ذَلِكَ فَأَرْفَعُ حَاجَتَهَا إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Bahawa ada seorang wanita mencuri ketika Rasulullah SAW dalam peperangan al-Fath (pembukaan Kota Makkah). Kaumnya segera datang kepada Usamah bin Zaid untuk meminta pertolongan daripadanya. ‘Urwah berkata: “Ketika Usamah berbicara dengan Nabi SAW tentang wanita itu, berubah riak wajah Rasulullah SAW dan Baginda bersabda: “Adakah engkau bercakap dengan aku mengenai tentang salah satu daripada hukuman Allah[1]?.” Usamah berkata: “Mintalah keampunan untukku wahai Rasulullah.” Pada siang hari, Rasulullah SAW berdiri untuk berkhutbah. Baginda memuji Allah selayaknya, kemudian bersabda: “Adapun selepas itu, sesungguhnya yang membinasakan bangsa sebelum kamu ialah sekiranya yang mencuri daripada kalangan kamu ialah golongan bangsawan maka mereka akan dibiarkan (dibebaskan dari hukuman). Namun, sekiranya yang mencuri daripada kamu ialah golongan yang lemah (miskin) maka mereka akan dijatuhkan hukuman hudud. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, maka aku akan memotong tangannya.” Kemudian Baginda mengarahkan agar wanita itu dipotong tangannya. Setelah itu, dia bertaubat bersungguh-sungguh, kemudian dia berkahwin. Aisyah R.Anha berkata: “Setelah itu, dia selalu datang kepadaku dan aku menyampaikan permintaannya kepada Rasulullah SAW.”

Riwayat al-Bukhari (4304)

Justeru, menjawab pada persoalan di atas, hukuman hudud sekiranya ia telah sampai kepada hakim, dan hakim telah mendapatinya dia bersalah, maka hukuman itu tidak boleh ditarik balik walaupun mangsa itu memaafkannya. Justeru, sekiranya pencuri itu telah ditangkap, dibicarakan dan didapati bersalah dalam keadaan cukup syarat-syarat untuk dikenakan hukuman hudud serta dijatuhkan hukuman potong tangan oleh Hakim, maka ia tidak boleh ditarik balik walaupun mangsanya memaafkan. Hal ini berbeza sekiranya pencuri itu dimaafkan oleh mangsa sebelum ia sampai kepada hakim, maka hal ini dibenarkan.

Suka untuk kami ingatkan bahawa antara hikmah pensyariatan hukuman hudud bagi pencuri seperti memotong tangan adalah sebagaimana berikut:

  • Menjaga kemaslahatan umum
  • Sebagai pengajaran bagi sesiapa yang berniat untuk mencuri harta orang lain
  • Membersihkan pencuri dari dosa yang telah dilakukan
  • Menegakkan keamanan dan ketenangan dalam masyarakat serta melindungi harta. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah,3/235)

Telah dinyatakan dalam Mausu’ah al-Ijma’ bahawa: Salah satu tujuan Syariah Islam adalah menjaga harta yang telah Allah jadikan amanah di tangan manusia untuk digunakan dalam ketaatan kepada-Nya dan bagi tujuan mengimarahkan bumiNya  yang dijadikan sebagai tempat untuk menegakkan syariatnya. Oleh kerana itu, Allah menggalakkan  perdagangan secara halal dan mengharamkan segala bentuk keuntungan yang haram  seperti penindasan, kezaliman, dan riba. Yang paling buruk dan paling keji di antara hal tersebut adalah pencurian, kerana itu merupakan perbuatan keji yang mengakibatkan  keamanan terganggu  serta menimbulkan ketakutan di hati orang ramai. Maka Allah menetapkan hukuman bagi  pencuri  yang memenuhi syarat-syarat yang boleh dijatuhkan  hukuman ke atasnya dengan memutuskan tangan kanannya. (Lihat Mausu’ah al-Ijma’ fi Fiqh al-Islami,10/36)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

[1] Untuk melepaskan seseorang daripada hukuman hudud yang telah ditetapkan oleh Allah.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445