#3567: Ungkapan: “Merangkak di Akhirat kerana Tidak Dimaafkan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum Dato’. Boleh ke jelaskan tentang kata-kata, “Hari akhirat nanti seseorang itu akan merangkak mencari seseorang untuk memohon maaf.” Betul ke kata-kata ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan, dan sebaik-baik manusia bukanlah yang tidak pernah berdosa tetapi sentiasa menginsafi kesalahan diri dan bertaubat. Selain itu, memaafkan kesalahan orang lain merupakan salah satu akhlak mulia yang perlu ditanamkan pada diri umat muslim.

Firman Allah SWT:

فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.

(Surah al-Syura : 40)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT menyatakan bahawa sesiapa yang memafkan orang yang menyakitinya serta menganiayanya, dan dia memaafkannya dan dia tidak menghukumnya dalam keadaan dia mampu menghukumnya dengan tujuan untuk mencari keredhaan Allah, maka ganjaran kemaafan itu diberikan Allah, dan Allah sahaja yang boleh memberikan ganjaran pahala kepadanya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 20/526)

Selain itu, daripada Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ ‏ ‏.‏ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ‏

Maksudnya: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda.” Baginda bersabda: “Orang yang muflis adalah orang yang datang pada hari Kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, Namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.”

Riwayat Muslim (2581), Ahmad (8829) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (338)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan berdasarkan hadith di atas dapat kita fahami bahawa seseorang yang berbuat perbuatan buruk terhadap orang lain, maka di akhirat kelak dia akan memberi pahalanya kepada orang yang dia tindas ketika di dunia. Adapun, berkenaan memaafkan, seseorang itu berhak untuk tidak memaafkan (harus) orang yang menzaliminya, namun Islam menggalakkan untuk memaafkan kesalahannya bagi menjaga kesucian hati dan jiwa kita. Manakala, dari sudut ungkapan,” merangkak di padang Mahsyar kerana tidak dimaafkan,” setakat pengamatan kami, kami tidak menjumpai dalil yang menggambarkan situasi sebegitu.

Jika seorang Muslim mengetahui pahala yang besar daripada Allah SWT kerana memaafkan orang yang menzaliminya dalam keadaan dia mampu membalas kesalahan itu dengan harapan ganjaran dan pahala daripada Allah, serta melepaskan haknya, walaupun ia bukan suatu kewajipan ke atasnya, maka pastilah dia akan merebut pahala dan ganjaran tersebut pada hari ketika kita sangat memerlukan kebaikan untuk ditambahkan ke dalam buku amalan kita. Firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا خَيْرًا أَوْ تُخْفُوهُ أَوْ تَعْفُوا عَن سُوءٍ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا قَدِيرًا ‎

Maksudnya: “Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.”

(Surah al-Nisa’: 149)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 16 Oktober 2023 bersamaan 1 Rabiulakhir 1445