#3587: Doa Sabar dalam Hadapi Dugaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ingin bertanya, Apakan ada doa yang pendek tapi padat bagi melapangkan dada dan bersabar menghadapi liku-liku ujian kehidupan, boleh ustaz kongsikan? Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas, di sini kami nukilkan antara doa-doa yang boleh diamalkan oleh saudari:

  • Doa agar dikurniakan kesabaran

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا

Maksudnya: ‘Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami.

(Surah al-Baqarah: 250)

  • Doa agar dielakkanlah dari ditimpa musibah secara tiba-tiba

 بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Riwayat Abu Daud (5088), al-Tirmizi (3388), Ibn Majah (3869), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10178) dan Ahmad (446)

  • Doa Minta Kemudahan

اللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al- Kabir (265), Ibn Hibban (974)

Semoga dengan pencerahan ini, kita akan lebih bersemangat untuk memperbanyakkan ibadah solat disamping memperbanyakkan berdoa di dalam setiap sujud seperti yang dianjurkan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ مَالِي، وَوَلَدِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أعْطَيْتَنِي، وَأطِلْ حَيَاتِي عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ عَمَلِي، وَاغْفِرْ لِي

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anakku serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan padaku. Panjangkanlah umurku dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amalku serta ampunilah dosa-dosaku.”

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445