#3598: Wajah Wanita Ketika Solat, Adakah ia Termasuk Aurat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah wajah wanita termasuk dalam aurat ketika solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyatakan bahawa batas aurat bagi seorang perempuan yang merdeka semasa dalam solat, mahupun luar solat adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua telapak tangan sama ada bahagian luar atau bahagian dalam sehingga pergelangan kedua-duanya. Kemudian, beliau telah menukilkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma dan selainnya yang mengatakan:

مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا؛ لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ

Maksudnya: “Apa yang zahir daripadanya (perempuan itu) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya  kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/176)

Imam al-Kasani al-Hanafi juga menyebutkan bahawa muka dan kedua telapak tangan wanita bukanlah aurat ia adalah kelonggaran yang telah diberikan oleh Allah SWT berdasarkan kepada firman-Nya di dalam surah al-Nur ayat 31. Selain itu, diharuskan bagi mereka mendedahkan muka dan kedua telapak tangannya kerana mereka berhajat kepada jual beli, mengambil dan memberi. Oleh itu, secara adatnya, semua perkara itu tidak mungkin dapat dilakukan melainkan dengan mendedahkan muka dan juga kedua telapak tangan. (Lihat Badai’ al-Sanai’, 5/121-122)

Demikianlah juga, Imam al-Dardir menyatakan bahawa aurat wanita dengan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat sekalipun diwajibkan ke atas perempuan berkenaan untuk menutup kedua-duanya kerana dikhuatiri timbulnya fitnah. Imam al-Sawi mengulas kenyataan tersebut dengan mengatakan harus melihat kedua-duanya (muka dan telapak tangan) serta tidak ada beza antara melihat bahagian luar atau bahagian dalam, selagimana bukan dengan tujuan untuk bersedap-sedap (syahwat). Sekiranya tidak, haram untuk melihatnya. (Lihat Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Saghir, 1/289)

Adakah Wajah Wanita Termasuk Dalam Aurat Ketika Solat?

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa wajah perempuan bukanlah aurat ketika dalam solat, dan solat dalam keadaan mendedahkan wajah dalam solat adalah sah.

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam menukilkan beberapa pendapat:

  • Ibn Abd al-Barr berkata: Ulama’ bersepakat bahawa perempuan mesti membuka wajahnya ketika solat
  • Al-Syarih barkata: Kami tidak mengetahui perbezaan pendapat berkenaan dengannnya
  • Al-Qadhi berkata: Ia adalah ijma’

 (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/12)

Adapun pemakaian niqab atau purdah ketika luar adalah salah satu cara yang terbaik dalam bab penjagaan aurat wanita. Justeru, hukum pemakaian niqob atau purdah ini adalah sunat dan afdhal bagi kaum wanita. Namun pemakaian niqab atau purdah ketika solat pula berbeza hukumnya dengan keadaan biasa. Perkara ini dijelaskan dalam kitab Kifayah al-Akhyar: Makruh hukumnya solat wanita yang memakai niqab (purdah) ketika solat kecuali jika keadaan di masjid itu terdapat ajnabi yang tidak menjaga pandangan mereka. Namun jika dibimbangi terjadinya perkara yang buruk, maka haram ke atasnya untuk membuka niqab (purdah) tersebut. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/93)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Wallahua`lam.

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445