#3609: Syarat-Syarat yang Membolehkan Seorang Bapa Mengambil Kembali Pemberian Yang Telah Diberikan Kepada Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah syarat-syarat yang membolehkan seorang ayah mengambil kembali pemberian yang telah diberikan kepada anaknya. ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

(Surah al-Nisa: 4)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan, sekiranya seseorang isteri itu memberi (hibah) kepada suaminya sebahagian daripada maharnya maka harus bagi suaminya itu mengambilnya. Dan ia merupakan pemberian yang baik selagi mana ia meredhainya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/176)

Amalan memberi hibah, hadiah ataupun sedekah merupakan satu amalan yang digalakkan dalam Islam. Firman Allah SWT:

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”

(Surah al-Baqarah: 177)

Asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma’ ulama’. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.

Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan mengambila kembali pemberian yang telah diberikan merupakan akhlak yang tercela bahkan ia dilarang dalam islam kerana boleh menyebabkan pergaduhan dan perpecahan antara muslim. Diriwayatkan daripada

لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ

Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.

Riwayat al-Bukhari (2622)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah/hadiah yang telah diberikan. Dan sesungguhnya ia adalah perbuatan dan juga sikap yang buruk, lantas ia bukanlah akhlak seorang Muslim.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 3/184)

Dalam isu ini kami katakan syara’ memberi pengecualian kepada ayah dan tidak haram ke atasnya mengambil balik pemberian kepada anaknya akan tetapi hendaklah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan  Ibn ‘Abbas dan Ibn Umar R.Anhum bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا يَحِلُّ للرَّجُلِ أن يُعطِيَ العَطيَّةَ فيرجِعَ فيها، إلّا الوالدَ فيما يُعْطي ولَدَه

Maksudnya: Tidak halal bagi seorang lelaki memberikan suatu pemberian kemudian diminta kembali, kecuali bapa terhadap suatu yang diberikan kepada anaknya.

Riwayat Abu Dawud(3539), Tarmizi(2132) dan al-Nasai(3703)

Antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh fuqaha sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram adalah seperti berikut:

  • Apa yang diberikan hendaklah menjadi hak milik anak dengan syarat yang kekal.
  • Pemberian yang diberikan masih dalam kendaliannya untuk dijual atau cagaran yang belum dituntut atau sebagainya.
  • Jumlah harta tersebut tidak boleh bertambah atau berkembang seperti pemberian  itu menjadi gemuk atau hamil. Sekiranya penambahan pada harta pemberian, maka tidak dibolehkan seorang ayah  mengambilnya kembali.
  • Seorang ayah tidak menggugurkan haknya dalam mengambil kembali pemberian yang diberkan atau anak tidak jatuh muflis serta tidak dihalang hartanya. Sekiranya berlaku situasi yang dinyatakan  maka tidak dibolehkan untuk mengambilnya kembali. Al-Harithi menyatakan pendapat ini merupakan pendapat yang sahih  tanpa ada perbezaan dari kalangan ulama. Begitu juga Ibn Qudamah juga menyatakan hal yang demikian. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/119)

Justeru kami katakan seorang ayah boleh mengambil kembali harta yang telah diberikan kepada anaknya sekiranya telah memenuhi syarat-syarat yang telah dinyatakan di atas. Ini kerana harta anak dianggap harta kedua ibu bapanya. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, daripada Jabir bin Abdullah RA, katanya: “Bahawa sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan bapaku ingin mengambil hartaku.” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

أَنْتَ وَمَالُكَ لِأَبِيْكَ

Maksudnya: “Kamu dan harta kamu adalah milik bapa kamu.”

Riwayat Ahmad (6678, 6902 dan 7001) dan telah disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445