#3621: Berdoa Ketika Hujan Mustajab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah ketika hujan doa mustajab? Ini kerana saya ada dengar bahawa orang kata, apabila hujan doa mustajab? Benarkah begitu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya:Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24).

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya:Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247)[1]

Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa diriwayatkan daripada Imam al-Syafi‘i dengan sanadnya dalam al-Umm hadith mursal bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اطْلُبُوا اسْتِجابَةَ الدُّعاءِ عِنْدَ التقاءِ الجُيُوشِ، وَإقامَةِ الصَّلاةِ، وَنُزُولِ الغَيْثِ

Maksudnya: “Berdoalah (mintalah) di waktu yang mustajab doa, iaitu ketika bertemunya dua pasukan di medan pertempuran, ketika solat hendak didirikan, dan ketika turunnya hujan.

Kemudian, Imam al-Syafi‘i menyebutkan, sesungguhnya aku menghafal lebih daripada seorang (yakni ramai ulama) yang menyatakan mustajab doa ketika turunnya hujan dan ketika solat hendak didirikan. (Lihat al-Azkar, hlm. 98).

Oleh sebab itu, al-Buhuti menyatakan bahawa disunatkan untuk berdoa ketika hujan sedang turun — kerana ia termasuk dalam waktu yang mustajab doa. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 3/459).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa ketika hujan sedang turun termasuk di antara waktu yang mustajab doa sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Syafi‘i dan ulama-ulama selainnya. Oleh sebab itu, sebahagian ulama menyarankan agar kita memperbanyakkan doa pada waktu tersebut.

Lebih-lebih lagi, ketika itu yakni turunnya hujan dikaitkan dengan turunnya kurniaan Allah dan rahmat-Nya sebagaimana disunatkan juga untuk seseorang itu mengucapkan:

مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللهِ وَرَحْمَتِهِ

Maksudnya: “Hujan diturunkan kepada kami disebabkan kurniaan Allah dan rahmat-Nya.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445