#3625: Nama Anak Nabi Ada Gelaran Tayyib atau Taha

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terserempak dalam suatu bacaan bahawa nama anak-anak Nabi SAW, semuanya terdapat “Tayyib” atau “Taha” pada namanya. Mohon pencerahan Dato’ Seri, bahawa adakah ia benar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, berkenaan adakah semua nama anak Nabi, terdapat “Tayyib” atau “Taha” pada namanya, maka jawabnya adalah tidak.

Kami nukilkan juga di sini penerangan berkenaan Taha. Nisbah Taha kepada salah satu daripada nama Nabi Muhammad SAW adalah datang daripada sebuah riwayat yang dinukilkan Imam al-Qadhi bin ‘Iyadh di dalam kitabnya al-Syifa tetapi dengan sighah tamridh. (Lihat al-Syifa, 1/448) Selain itu, ia juga dinukilkan oleh Ibn ‘Asakir di dalam kitabnya  (Lihat Tarikh Dimasyq, 3/28-29) dan Ibn ‘Adiy di dalam kitabnya al-Kamil.  (Lihat al-Kamil fi Dhu’afa’ al-Rijal, 4/509) Selain itu, dikatakan juga bahawa ia terdapat di dalam syair-syair arab.

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya menyatakan bahawa Taha adalah salah satu daripada jumlah huruf al-Muqatha’ah yang terdapat pada permulaan banyak surah dan ia bukanlah daripada nama Nabi SAW.  (Lihat Taysir al-Karim al-Rahman, 1/501)

Adapun pandangan Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan, pandangan yang menyatakan bahawa Taha adalah merupakan nama Nabi Muhammad SAW adalah pendapat yang diterima. (Lihat Tafsir al-Wasit, 2/1509)

Berkenaan nama anak Nabi, iaitu Tayyib dan Tahir itu ada, dan ia adalah nisbah kepada anak Nabi SAW yang bernama Abdullah. Meskipun begitu, ia adalah gelaran dan bukan nama.

Menurut al-Hafiz ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi, Abdullah dinamakan atau digelar juga sebagai al-Tayyib dan al-Tahir kerana dia dilahirkan dalam Islam (selepas kenabian). Namun, ada yang berpendapat, al-Tayyib dan al-Tahir adalah anaknya yang lain tetapi pandangan yang awal adalah lebih sahih (iaitu ia adalah nama atau gelaran lain kepada Abdullah). (Lihat Mukhtasar Sirah al-Nabi, hlm. 75)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445