#3632: Kenapa Tidak Boleh Solat di Kubur?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapakah kita tidak boleh solat di Kubur atau mnghadap kubur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلَّا المَقْبَرَةَ وَالحَمَّامَ

Maksudnya: “Bumi ini semuanya merupakan masjid (tempat sujud untuk solat) kecuali kubur dan bilik mandi

Riwayat al-Tirmizi (317)

Al-Rafi’i berkata: Kubur jika kotor dengan najis disebabkan tanahnya bercampur dengan nanah mayat dan apa yang keluar daripada mereka, maka solat tidak sah padanya. Begitu juga dengan tandas jika tercemar dengan air kencing, darah, dan najis. Jika kubur atau tandas tersebut bersih, maka solat tetap sah dengan keengganan. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Jangan duduk di atas kubur dan jangan solat ke arahnya.” Beberapa sahabat menggunakan hadis ini sebagai dalil bahawa apabila seseorang berkata, “Aku menjadikan tanah ini sebagai masjid,” ia tidak menjadi wakaf dan hanya menjadi masjid dengan perkataan itu sahaja. (Lihat Syarh Musnad al-Syafi’i, 1/207)

Ibn al-Rifa’ah berkata: “Jika seseorang itu solat pada tanah perkuburan yang telah digali, iaitu bertukar tanah yang dibawah naik ke atas, yang mana ia berlaku pada kubur lama yang digunakan berulangkali untuk pengebumian, maka tidak sah solatnya.” (Lihat Kifayah al-Tanbih, 2/510)

Al-Imrani al-Syafi’i menyebut: “Tanah kubur yang diyakini telah digali (yang ada mayat di dalamnya) dan dijadikan tanah yang dibawah ke atas, maka tidak sah solat di atasnya kerana hadith Abu Said R.A, sesungguhnya Nabi SAW bersabda : Sekalian bumi itu tempat solat melainkan tanah kubur dan tempat mandi (hammam). Adapun Tanah kubur yang diyakini tidak digali maka makruh solat di atasnya kerana larangan Nabi SAW untuk solat di atas kubur dan kerana ia tempat yang terkandung najis di bawahnya maka jika solat seorang di atasnya nescaya sah solatnya. Manakala, tanah kubur yang diragui padanya adakah tanah yang baru atau sudah digali dan adakah sah solat di atasnya, terdapat dua pendapat. Yang pertama ialah tidak sah kerana umum hadith dan kerana yang zahirnya ia selalu digali berulang-ulang. Pendapat yang kedua sah solat kerana hukum asalnya adalah ia belum digali dan kekal sucinya.” (Lihat al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/109)

Sekiranya seseorang itu solat di atas tanah yang lain selain daripada kubur seperti padang atau pantai atau seumpamanya maka dalam hal ini, tidak dilarang untuk seseorang itu solat di atasnya kerana kawasan itu bukan kawasan yang ditanam mayat, dengan syarat tanah itu bersih daripada sebarang kotoran dan najis.

Imam al-Syafi’i berkata: Tanah kubur itu ialah tempat yang dikuburkan padanya akan orang ramai dan sebagaimana ia disifatkan tanahnya bercampur aduk dengan orang yang mati. Adapun padang pasir (صَحْرَاءُ) maka tidak ditanam padanya orang yang mati daripada kalangan mereka itu.” (Lihat al-Umm, 1/112)

Jika seorang itu tahu tempat yang ada najis di atas tanah lalu dia solat di tempat yang bersih maka sah solatnya kerana tidak ada bersentuh dengan najis ketika melakukan solat. Al-Syirazi berkata: “Jika seorang itu solat di tanah yang ada padanya najis, sekiranya dia tahu tempat najis itu ada di mana lalu dia solat di tempat yang tiada najis atau dia meletakkan seperti alas di atas tanah yang ada najis itu kemudian dia solat di atasnya, hukumnya adalah harus  kerana dia tidak bersentuh dengan najis dan tidak menanggung suatu yang berhubung dengan najis.” (Lihat al-Muhazzab, 1/120)

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (2/24): “Apa yang didapati daripada hadith ini, setiap tanah di bumi ini adalah masjid, jadi di mana kawasan di bumi ini yang dihadiri oleh orang islam yang ingin solat padanya, maka dia boleh solat padanya. Hal ini sebagaimana yang disebut dalam banyak hadith. Tidak sah solat di kubur yang dikebumikan orang mati, sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

 لاَ تُصَلُّوْا إِلَي الْقُبُوْرِ وَلاَ تَجْلِسُوْا عَلَيْهَا

Maksudnya: ‘Janganlah kamu solat menghadap kubur dan jangan pula kamu duduk di atasnya.”

Riwayat Muslim (972)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, larangan solat di atas kubur adalah disebabkan oleh dikhuatiri tanah itu bercampur dengan najis.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445