#3636: Cara Mengiklankan Barang Yang Dijumpai Di Jalanan (Luqatah)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimanakan untuk mengiklankan barang yang dijumpai yang tidak diketahui pemiliknya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Luqatah mengikut syara’ adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak diketahui hak miliknya”. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 7/69).

Dalam Kamus al-Wasit (2/834), “luqatah” diertikan sebagai “Suatu barang yang dipungut, atau suatu yang ditemui atas keadaan boleh diminta, dan seseorang itu memungut apabila dia mengambil sesuatu itu daripada bumi, seperti yang Allah SWT ceritakan perihal Musa A.S:

فَالْتَقَطَهُ آلُ فِرْعَوْنَ

Maksudnya: “Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun.”

(Surah al-Qasas: 8)

Maka luqatah itu adalah suatu barang yang ditemui oleh penemu lalu dia mengambilnya, atau sesuatu yang hilang daripada tuannya kerana jatuh, lalai dan seumpamanya.”

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Ibnu Qudamah yang menyebut bahawa al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain”. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/4856).

Dalam hal ini, terdapat nas-nas yang menyebut tentang perkara yang perlu dilakukan apabila seseorang menemui sesuatu barang. Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy R.A, katanya:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوِ الْوَرِقِ فَقَالَ ‏”‏ اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ‏”‏

Maksudnya: “Nabi SAW ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.”

Riwayat Muslim (1722)

Daripada ‘Iyadh bin Himar, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ وَجَدَ لُقَطَةً فَلْيُشْهِدْ ذَا عَدْلٍ أَوْ ذَوَيْ عَدْلٍ ، ثُمَّ لاَ يُغَيِّرْ وَلاَ يَكْتُمْ ، فَإِنْ جَاءَ رَبُّهَا ، فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا ، وَإِلاَّ فَهُوَ مَالُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjumpai barang luqatah (tercicir), maka hendaklah dia minta persaksian seorang yang adil atau orang-orang yang adil, kemudian dia tidak menggantinya dan tidak menyembunyikannya. Jika pemiliknya datang, maka dia (pemilik) lebih berhak ke atasnya. Jika tidak, maka ia adalah harta Allah yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki.”

Riwayat Abu Dawud (1709), al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra (5808), Ibn Majah (2505) dan Ahmad (17481). Syeikh Syuaib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1709) menyatakan bahawa sanadnya sahih.

Secara asasnya, sesiapa yang menjumpai sesuatu yang bernilai, hendaklah dia mengiklankan barang tersebut sehingga cukup tempoh setahun seperti mana yang disebutkan di dalam hadith di atas pada ibarat kemudian umumkan ia selama satu tahun.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan barang bernilai yang ditemui di jalan perlu diumumkan dengan menyatakan ciri-ciri hartanya, termasuk bekas dan tali serta maklumat yang berkaitan. Ini bertujuan supaya pemiliknya dapat mengenalpasti harta mereka dari harta lain. Selain itu, harta yang tercicir ini perlu diiklankan selama setahun di tempat awam, seperti di masjid atau pasar. Pada masa ini, dengan kemajuan teknologi masa kini, ia boleh diiklankan  melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan sebagainya. Hal yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy R.A, katanya:

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَأَلَهُ عَمَّا يَلْتَقِطُهُ، فَقَالَ: «عَرِّفْهَا سَنَةً، ثُمَّ احْفَظْ عِفَاصَهَا وَوِكَاءَهَا، فَإِنْ جَاءَ أَحَدٌ يُخْبِرُكَ بِهَا، وَإِلَّا فَاسْتَنْفِقْهَا». قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَضَالَّةُ الغَنَمِ؟ قَالَ: «لَكَ أَوْ لِأَخِيكَ أَوْ لِلذِّئْبِ». قَالَ: ضَالَّةُ الإِبِلِ؟ فَتَمَعَّرَ وَجْهُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا لَكَ وَلَهَا، مَعَهَا حِذَاؤُهَا وَسِقَاؤُهَا تَرِدُ المَاءَ، وَتَأْكُلُ الشَّجَرَ».

Maksudnya: Seorang Arab Badwi datang kepada Nabi SAW dan bertanya tentang apa yang dia temukan. Nabi SAW bersabda: ‘Umumkanlah selama satu tahun, kemudian kenalilah tempat dan pengikatnya. Apabila seseorang datang kepadamu mengkhabarkan (sifat-sifatnya, maka berikan kepadanya) jika tidak, maka belanjakanlah.’ Lelaki itu berkata: ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan kambing yang tersesat?.’ Baginda bersabda: ‘la untukmu, atau untuk saudaramu atau untuk serigala.’ Lelaki itu berkata: ‘Bagaimana dengan unta yang tersesat?’ Wajah Rasulullah SAW berubah merah padam lalu bersabda: ‘Apa urusanmu dengannya? Ia memiliki tapak (yang kuat) dan persediaan air. Ia dapat mendatangi sumber air dan memakan pepohonan (daun-daunan).

Riwayat Bukhari(2428)

Apa yang dapat difahami daripada hadith ini adalah seperti berikut:

  • Diharuskan mengambilnya bagi menjaga harta tersebut bagi pihak pemiliknya atau memilikinya sekiranya tidak mendapati pemiliknya. Harta tersebut seperti alat peralatan, duit, haiwan yang tidak dilarang.

Manakala unnta yang hilang dan dikiaskan ke atasnya seperti  lembu disebabkan kekuatannya, rusa disebabkan kemampuan untuk berlari, dan burung disebabkan kemampuan terbang. Haiwan-haiwan ini   tidak boleh diambil dan hendaklah ditinggalkan. Ia tidak perlu dijaga sehinggalah  pemiliknya menjumpainya, kerana ia tidak memerlukan penyimpanan dan penjagaan.

  • Disunatkan mengambil harta yang tercicir bertujuan  menjaganya bagi pemiliknya dan mencari untuk mengembalikan kepadanya. Ini adalah pendapat yang lebih kuat di antara dua pendapat bagi  yang bersifat amanah terhadap dirinya  dirinya dari berlaku khiyanat  serta dia  mampu untuk mengiklankan  harta itu.
  • Bagi seseorang yang menjumpai harta yang tercicir, dia harus mengetahui penemunya, bekas,, jenis, dan bilangannya serta segala sifat yang terkait dengannya. Yang demikian perlu dilakukan bagi menguji tuntutan pemilik harta yang hilang daripadanya. Semua ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab untuk menjaga dan mengembalikan harta itu kepada pemilik sebenarnya.
  • Seorang yang menjumpai harta yang tercicir hendaklah mengiklankannya selama setahun penuh, dan pengiklanannya hendaklah di tempat-tempat umum seperti pintu masjid, pasar,  dan sekolah, serta berdekatan dengan tempat di mana dia menemui harta itu. Ini kerana tempat di mana harta itu ditemui adalah tempat di mana pemiliknya mungkin mencarinya, atau boleh diberikan kepada  pihak berkuasa yang bertanggungjawab, seperti pihak polis dan pihak berkuasa setempat. Pada zaman kita, media masa seperti surat khabar, radio, dan televisyen juga boleh digunakan jika harta yang hilang itu penting. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/138-139)

Begitu juga dalam isu ini Syaikh Fauzan dalam kitabnya Minhah al-’Allam menyatakan bahawa: Orang yang menemui harta luqatah hendaklah mengiklankan  ciri-ciri harta tersebut, termasuk bekas dan tali yang mengikatkannya, serta maklumat-maklmat lain yang berkaitan , supaya pemilik  dapat membezakan harta tersebut dari harta lain jika dia masih hidup, dan waris-warisnya dapat mengetahuinya jika dia meninggal dunia. Dengan ini, boleh dikenali kebenaran dakwaan pemilik harta daripada pembohongan.

Harta yang hilang menjadi kewajipan bagi orang yang menemuinya untuk mengumumkan harta yang tercicir selama setahun penuh di tempat-tempat umum dan di tempat di mana ia ditemui. Ini kerana  tempat di mana harta itu ditemui adalah tempat pemiliknya mungkin mencarinya. Tidak mencukupi untuk mengumumkannya secara rahsia antara beberapa individu, sebaliknya, dia perlu mengumumkannya secara terang-terangan. (Lihat Minhah al-A’llam, 7/78-79)

Sebagai  kesimpulan, harta yang tercicir yang memiliki nilai perlu diumumkan di tempat-tempat awam atau di lokasi di mana harta tersebut ditemui dengan menyertakan segala maklumat yang berkaitan dengan harta tersebut. Tindakan ini bertujuan untuk memudahkan pemilik mengenalpasti hartanya yang hilang. Pengumuman mengenai harta yang tercicir boleh dilakukan melalui media sosial dan sebagainya, atau ia boleh diserahkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

 Wallahua’lam

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445