#3655: Benarkah Permulaan Islam Dibolehkan Bercakap Ketika Solat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah permulaan Islam dibolehkan bercakap ketika solat? Saya ada dengar ada ustaz yang mensyarahkan sebuah hadith yang terkait dengan isu ini. Boleh Dato’ Seri terangkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏‏حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ‏

Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

(Surah al-Baqarah: 238)

Ibn Kathir berkata: Ayat ini merupakan arahan untuk meninggalkan bercakap semasa solat kerana ia bertentangan dengan tuntutan berdiam diri dalam solat. Ketika seseorang diperintahkan untuk khusyu’ dalam solat, maksudnya adalah arahan untuk berdiam diri, dan bercakap akan bertentangan dengan tuntutan khusyu’ ini. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/496)

Diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam, katanya:

إِنْ كُنَّا لَنَتَكَلَّمُ فِي الصَّلاَةِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يُكَلِّمُ أَحَدُنَا صَاحِبَهُ بِحَاجَتِهِ، حَتَّى نَزَلَتْ: {حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ، وَالصَّلاَةِ الوُسْطَى، وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ}، فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوتِ.

Maksudnya: “Sungguh kami pernah berbicara ketika sedang solat pada zaman Nabi SAW, hingga ada antara kami yang berbicara kepada sahabatnya tentang keperluannya, sehingga kemudian turunlah ayat: “حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ، وَالصَّلاَةِ الوُسْطَى، وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ” (Bermaksud: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khasnya solat Wusta (solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk.” (Surah al-Baqarah: 238) Setelah itu, kami diperintahkan untuk diam (ketika solat).

Riwayat al-Bukhari (1200) dan Muslim (539)

Berdasarkan nas di atas, para fuqaha’ bersepakat menyatakan bahawa bercakap selain bacaan di dalam solat adalah membatalkan solat. Begitu juga para fuqaha’ daripada mazhab al-Syafi’i, mazhab Hanafi dan mazhab Hanbali menyatakan bahawa perkataan yang terdiri daripada dua huruf membatalkan solat. Namun begitu, mazhab al-Syafi’i menyatakan bahawa perkataan yang dituturkan ketika solat kerana terlupa dan orang yang tidak tahu dengan pengharaman ini terutama yang baru memeluk Islam, atau tinggal berjauhan daripada para ulama’, atau terlepas cakap yang mana perkataan itu secara uruf adalah ringan, maka dimaafkan. (Lihat Mausua’h al-Fiqhiyah, 27/117-118).

Dalam menjawab persoalan di atas, benar, pada awal permulaan Islam dibenarkan bercakap ketika dalam solat. Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: “Pada awal perkembangan Islam, orang-orang Islam kebiasaannya bercakap dalam solat. Mereka saling bercakap dengan perkataan yang perlu. Namun, kemudian Allah SWT menurunkan ayat dalam Surah al-Baqarah (ayat 238) yang menyuruh untuk menjaga solat dan solat pertengahan (solat Asar) serta berdiri dengan khusyuk di hadapan Allah. Mereka diperintahkan untuk berdiam diri dan dilarang daripada bercakap. Ini adalah perubahan yang jelas berkenaan keizinan untuk bercakap semasa solat pada permulaan Islam. Kemudian perintah ini digantikan dengan ayat yang mengarahkan supaya diam dalam solat, sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat “قَوْمُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ” yang bermaksud “Berdirilah dengan khusyuk di hadapan Allah” dan ini bermaksud berdiam diri semasa solat.”  (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 2/40)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445