#3678: Maksud hadith”فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ”

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah maksud hadith”فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ”  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Rasulullah SAW telah memberikan panduan yang jelas tentang kriteria pemilihan pasangan. Beliau menekankan bahawa seseorang boleh memilih wanita berdasarkan harta, kecantikan, keturunan, tetapi yang paling penting adalah keagamaan. Rasulullah SAW sangat menekankan pentingnya memilih wanita yang beragama kerana iman dan taqwa membawa banyak kebaikan dan kemaslahatan dalam menjalani bahtera rumahtangga. Iman yang kukuh akan membawa keberkatan kepada keluarga dan membantu mereka menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih baik. Oleh itu, ketika memilih pasangan, keagamaan adalah faktor utama yang harus diutamakan untuk memastikan kebahagiaan, kesejahteraan, dan kedamaian dalam perkahwinan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”

Riwayat al-Bukhari (5090) dan Muslim (1466)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadith di atas menerangkan kepada kita bahawa kebiasaan adat seseorang apabila ingin menikahi wanita, terdapat empat perkara yang menjadi kayu pengukur. Rasulullah SAW menyuruh agar dilihat pada agamanya kerana ianya menguntungkan seseorang di dunia dan akhirat. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/51-52)

Ungkapan “فَاظْفَرْ” membawa maksud cari dan berusahalah serta berlumbalah untuk mendapatkan perempuan yang baik agamanya. Manakala “تَرِبَتْ يَداك” bermaksud tanganmu telah melekat dengan tanah, merujuk kepada kemiskinan. Frasa ini digunakan dalam konteks yang berbeza daripada yang biasa digunakan dalam ucapan sehari-hari. Rasulullah SAW tidak bermaksud untuk berdoa dengan perkataan ini.

Imam al-Maziri berkata, “Kata-kata ‘تَرِبَتْ يَداك’ adalah ungkapan yang digunakan dalam bahasa Arab dalam bentuk doa, tetapi dalam konteks ini, ia bukan digunakan dalam konteks doa, tetapi lebih sebagai penggalakan dan dorongan.”

Selain itu, ungkapan ini juga boleh digunakan untuk mengecam, mengingkari, atau menunjukkan takjub dan keagungan sesuatu perkara. Dalam konteks ini, maksudnya adalah untuk memberi dorongan atau penggalakan.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/234)

Dalam isu ini juga Imam al-San’ani menyebut, Nabi SAW memerintahkan para pemuda sekiranya mereka menjumpai perempuan yang baik agamanya, maka janganlah mereka berpaling untuk mengubah pilihan kepada perempuan lain. (Lihat Subul al-Salam, 10/4)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Hikmah pemilihan wanita yang beragama dan berakhlak adalah kerana agama akan terus kukuh bersama-sama peredaran zaman. Manakala akhlak pula akan terus mantap bersama hari-hari yang berlalu, di samping pengalaman hidup. Apabila setiap pasangan menjadikan agama dan akhlak sebagai asas pemilihan, ia lebih menjamin kelangsungan cinta dan kasih sayang yang berkekalan. Hal ini tidak pula bermaksud bahawa manusia tidak perlu mengambil kira faktor keturunan dan kecantikan. Sebaliknya, ia bermaksud bahawa sekiranya ciri-ciri tertentu sahaja yang ada pada seseorang perempuan, maka pemilihan berdasarkan agama adalah yang paling baik. Jika kesemua ciri ini ada, maka itulah wanita yang paling baik untuk dijadikan pasangan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/519-520)

Justeru kami katakan memilih wanita yang beragama sudah pasti akan membawa bahtera rumahtangga ke arah kebaikan yang diredhai oleh Allah SWT. Pentingnya memilih pasangan yang beragama kerana dengan agamalah dia mentaati suami, menjaga akhlak dan kehormatan diri serta dapat membahagiakan suami baik ketika senang dan susah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam menjlalankan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445