#3694: Benarkah Lelaki yang Memakai Pakaian Meleret Akan Diazab dan Tidak Dilihat Oleh Allah Pada Hari Akhirat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah lelaki yang memakai jubah atau pakaian yang labuh sehingga meleret akan diazab dan tidak dilihat oleh Allah pada hari akhirat kelak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya ia berkait rapat dengan perbincangan para ulama berkenaan hukum isbal. Isbal adalah merujuk kepada perbuatan seseorang melabuhkan pakaiannya seperti jubah atau seluar, melebihi paras buku lali ke bawah. Perbuatan ini tidak ada masalah bahkan digalakkan bagi kaum wanita bagi menutup aurat mereka, tetapi bagi kaum lelaki, ulama berbeza pandangan mengenainya.

Hal ini kerana terdapatnya riwayat yang melarang daripada melakukannya. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَ يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ

Maksudnya: “Allah SAW tidak akan melihat kepada orang yang menyeret pakaiannya kerana sombong.”

Riwayat al-Bukhari (5783) dan Muslim (2085)

Begitu juga terdapat hadith dengan sanad yang dinilai hasan, iaitu riwayat daripada Jabir bin Sulaim, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكَ وَإِسْبَالَ الْإِزَارِ فَإِنَّهَا مِنَ الْمَخِيلَةِ وَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمَخِيلَةَ

Maksudnya: “Jauhilah daripada melabuhkan kain sehingga bawah buku lali (yakni isbal) kerana sesungguhnya hal itu adalah sebahagian daripada sifat sombong dan Allah tidak menyukai sifat sombong.

Riwayat Abu Daud (4048)

Begitu juga dalam hadith yang lain, riwayat daripada Abu Zar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ. قَالَ: فَقَرَأَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَ مِرَارًا، قَالَ أَبُو ذَرٍّ: خَابُوا وَخَسِرُوا، مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: الْمُسْبِلُ، وَالْمَنَّانُ، وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِبِ

Maksudnya: “Tiga jenis manusia yang Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka pada Hari Kiamat, tidak juga melihat (yakni mengendahkan) kepada mereka, tidak menyucikan mereka, dan bagi mereka azab yang pedih.” Rasulullah SAW menyebut itu tiga kali. Lalu Abu Zar berkata: “Habislah dan rugilah mereka! Siapakah mereka itu, wahai Rasulullah? Baginda SAW: ‘Orang yang melakukan isbal, dermawan (yang berbangga-bangga dengan pemberian), dan peniaga barang yang bersumpah palsu.’

Riwayat Muslim (106)

Riwayat-riwayat yang menyebutkan berkenaan larangan isbal bagi lelaki ada yang datang secara mutlak dan ada yang datang dalam bentuk muqayyad iaitu diikat dengan sifat sombong. Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, kaedah usul menyatakan, “Lafaz yang mutlak dibawa kepada lafaz yang muqayyad.” Oleh itu, orang yang melakukan isbal dalam keadaan tidak sombong, tidak termasuk dalam ancaman hadith tersebut, yang menunjukkan kepada pengharaman isbal.

Oleh sebab itu, Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap sahih Muslim menyebutkan bahawa ancaman dan perngharaman isbal itu adalah merujuk orang yang melakukannya dalam keadaan sombong. Ini kerana Nabi SAW memberi kelonggaran kepada Abu Bakar al-Siddiq untuk melakukannya, jika bukan untuk menyombongkan diri. Apatah lagi, zahir hadith dalam mengikat perbuatan melabuhkan kain melebihi buku lali (isbal) dengan sifat sombong menunjukkan bahawa pengharaman isbal itu merujuk kepada orang yang melakukannya kerana sombong. Inilah yang telah dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/125-126).

Maka jelaslah bahawa orang menyeret kainnya bukan kerana sombong tidak termasuk dalam ancaman hadith di atas. Ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Salim bin Abdullah, daripada bapanya R.A, daripada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda:

مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ لَمْ يَنْظُرِ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ القِيَامَةِ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ أَحَدَ شِقَّيْ إِزَارِي يَسْتَرْخِي، إِلَّا أَنْ أَتَعَاهَدَ ذَلِكَ مِنْهُ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَسْتَ مِمَّنْ يَصْنَعُهُ خُيَلاَءَ

Maksudnya: “Siapa yang menyeret kainnya kerana sombong, maka Allah tidak akan memandang kepadanya pada hari kiamat. Abu Bakar R.A berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya salah satu bahagian kainku melorot, kecuali jika aku benar-benar menjaganya.’ Maka Nabi SAW bersabda: ‘Engkau tidak termasuk yang melakukannya kerana sombong.’

Riwayat al-Bukhari (5784)

Selain itu, Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga ada menghuraikan perkara ini dalam kitabnya, lalu menyimpulkan dengan menyebutkan tarjih yang dilakukan oleh Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani bahawa perbuatan haramnya melabuhkan pakaian melebihi buku lali (isbal) itu dikaitkan dengan sifat sombong. (Lihat Kaifa Nata‘amal ma‘a al-Sunnah al-Nabawiyyah, hlm. 124-125).

Tambahan lagi, sebahagian ulama menyebut sebab pengharaman isbal kerana perbuatan ini merujuk kepada suatu adat jahiliyyah bagi golongan bangsawan yang melabuhkan pakaian mereka sehingga meleret ke belakang sampaikan dijinjing oleh hamba-hamba mereka. Sikap ini melambangkan ketakburan dan menunjuk-nunjuk kekayaan. Sifat ini juga menafikan sifat tawaduk.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ الْأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

(Surah al-Isra’: 37)

Di samping itu, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menyatakan, kadar yang digalakkan (sunat) bagi hujung kain atau pakaian yang ke bawah bagi lelaki  adalah sehingga separuh betis. Jika kain atau pakaian itu melabuh sehingga ke buku lali, ia adalah diharuskan dan tidak makruh. Namun, jika kain atau pakaian itu melabuh sehingga melebihi buku lali, maka ia adalah makruh tanzih, dan jika ia disertakan dengan sifat sombong, maka hukumnya adalah diharamkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/126).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa benar berdasarkan kepada nas yang sahih, orang yang melabuhkan pakaiannya sehingga meleret-leret akan diazab dan tidak dilihat oleh Allah SWT pada hari akhirat. Namun, ia merujuk kepada pelakunya yang melakukannya dalam keadaan sombong. Adapun orang yang melakukannya bukan kerana sombong tidak termasuk dalam ancaman hadith tersebut, dan ia juga adalah sabit sebagaimana hadith yang menceritakan mengenai kisah Abu Bakar yang diberi pengecualian oleh Baginda  SAW.

Sekalipun begitu, kami turut menasihatkan sebaik-baiknya bagi lelaki untuk tidak melabuhkan pakaian ataupun seluarnya sehingga melebihi buku lali sekalipun bukan kerana sombong adalah lebih baik dan menenangkan jiwa sebagai mengambil langkah keluar daripada khilaf mereka yang mengharamkannya. Kaedah menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445