#3700: Menguruskan Kaki Pesakit Kencing Manis Yang Dipotong Ketika Hidup

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bapa saudara saya baru sahaja selesai menjalani pembedahan memotong kakinya disebabkan oleh penyakit diabetesnya. Persoalan saya, bagaimana cara untuk menguruskan kakinya yang telah dipotong itu? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT telah memuliakan manusia dengan setinggi-tinggi penghormatan. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلً

Maksudnya:Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

(Surah al-Isra’: 70)

Syeikh al-Maraghi menyatakan Allah SWT telah memuliakan anak cucu Adam dengan rupa yang indah, bertubuh tinggi dan berakal sederhana sehingga mereka mengetahui pelbagai kepakaran dan mengetahui pelbagai bahasa, dapat berfikir dengan baik tentang cara-cara mencari penghidupan dan mengeksploitasi segala yang ada di bumi serta menundukkan segala yang ada di alam atas mahupun alam bawah. Kami mengangkat mereka di atas haiwan, kereta, kapal terbang, belon dan kapal. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3996-3997)

Menjawab persoalan di atas, anggota badan manusia seperti kaki atau tangan yang dijumpai terpotong daripada orang yang sudah mati hendaklah mandikan dan disembahyangkan dan dikafankan dan ditanam. Manakala, bagi anggota badan manusia yang terpotong seperti kaki dan pemilik kaki itu masih hidup hendaklah ditanam sahaja dan tidak disembahyangkan dan tidak dimandikan.

Imam al-Nawawi berkata: Imam al-Mutawalli menukilkan berkenaan persepakatan (الاتفاق) bahawa tangan yang dipotong dalam kes mencuri dan hukuman qisas tidak perlu dimandikan atau disolatkan. Dia berkata: Tidak ada perselisihan pendapat bahawa tangan yang dipotong dalam kes kecurian dan hukuman qisas tidak perlu dimandikan atau disolatkan, tetapi ia perlu dibungkus dengan kain dan ditanam. Demikian juga, kuku yang dipotong dan rambut yang diambil daripada orang hidup, tidak perlu disolatkan, tetapi disunatkan untuk ditanam.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/254)

Imam al-Qurtubi berkata: Jasad seorang mukmin adalah suci, dan apa-apa yang terjatuh atau hilang daripadanya tetap dijaga dengan menghormatinya. Oleh itu, dia berhak untuk menanamnya. Demikian juga, jika dia meninggal dunia, dia perlu dikuburkan. Jika sebahagian daripada tubuhnya meninggal dunai, kemuliaannya juga perlu dikekalkan dengan menanamnya, supaya ia tidak terpisah dan tidak terbakar atau tercampak di tempat-tempat kotor.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 2/102)

Disebut dalam Fatawa al-Syabakah al-Islamiah: Sesungguhnya kemuliaan manusia dan fadhilatnya ke atas yang lain, maka setiap bahagian tubuhnya, termasuk kuku dan seumpama itu yang terjatuh dari badannya, harus dihormati, dan dia berhak untuk menanamnya seperti apabila dia meninggal dunia, dia dikebumikan. Begitu juga, apabila sebahagian anggotanya mati, kemuliaannya tetap dijaga dengan menanamnya supaya ia tidak terpisah dan tidak terbakar atau tercampak di tempat-tempat kotor.” (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiah, 11/12780)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa anggota badan manusia yang dipotong dan pemiliknya masih hidup seperti kaki yang dipotong disebabkan oleh penyakit diabetes (kencing manis), maka ia hanya perlu dibungkus dan ditanam sahaja tanpa dimandikan dan tanpa disolatkan. Ia berbeza dengan anggota badan manusia yang terputus dan pemiliknya sudahpun meninggal dunia walaupun hanya sedikit yang dijumpai daripada sebahagian anggotanya, maka ia dimandikan dan disembahyangkan dan dikuburkan.

Kisah Urwah bin Zubair dengan Kakinya

Urwah bin al-Zubair mempunyai sikap kesabaran dan ketabahan yang amat tinggi. Di dalam setiap keadaan beliau sentiasa bersyukur meskipun beliau terpaksa menempuh ujian yang amat berat.

Dikisahkan, satu ketika Urwah bin al-Zubair ditugaskan untuk pergi menemui Khalifah al-Walid di Damsyik, Syam. Dalam perjalanan beliau dan rombongannya ke Damsyik, berdekatan dengan tempat bernama Wadi al-Qura, telapak kaki kiri beliau cedera dan luka. Beliau cuba merawatnya dan meneruskan perjalanan beliau. Semakin hari, luka beliau bertambah teruk, bernanah dan parah. Namun, beliau tetap meneruskan perjalanan beliau hingga tiba ke kota Damsyik.

Apabila Urwah pergi bertemu dengan Khalifah al-Walid, kecederaan beliau telah menjadi parah dan teruk. Khalifah al-Walid segera memanggil tabib haziq dan tabib tersebut memberitahu bahawa kaki Urwah sudah terlalu parah dan mesti dipotong untuk mengelak dari terus merebak. Apabila kaki Urwah ingin dipotong, Urwah dinasihatkan oleh tabib untuk minum minuman yang memabukkan agar beliau tidak merasa sakit semasa kakinya dipotong. Urwah menolak dan berkata, “Aku tidak akan menggunakan apa-apa yang dilarang untuk mengubati sakit yang aku alami.” Beliau kemudian dinasihatkan untuk makan ubat yang akan membuatnya tidak sedarkan diri (bius), tetapi beliau terus menolak dan berkata, “Aku akan kehilangan pahala menahan kesakitan.” Ini bermakna dia semasa pembedahan untuk memotong kakinya, Urwah sedar sepenuhnya.

Di dalam riwayat lain dikatakan Urwah berkata, “Jika memang kamu mahu memotong kakiku silakan. Tetapi biarlah aku solat kerana dalam keadaan solat agar aku tidak merasakan sakit dan pedihnya.”

Selama proses pembedahan kaki Urwah dijalankan tiada keluh kesah dan jeritan sakit daripadanya. Setelah selesai beliau hanya mengatakan, “Ya Allah, sekalipun Engkau telah mengambilnya, Engkau masih menyisakannya, dan bila Engkau mengujinya, Engkau pun akan memberi ampunan kepadanya.” (Lihat Tahdzibul Kamal, 20/20-21)

Semasa kakinya yang telah dipotong dibawa kepadanya, Urwah berkata, “Sungguh, demi Zat yang telah memperjalankanku dengannya di tengah gelapnya malam ke masjid, sungguh aku tidak pernah melangkahkan kaki ini untuk bermaksiat kepada Allah.” (Lihat Suwar min Hayati al-Tabi’in, 44)

Pada malam itu juga (iaitu malam operasi pemotongan kaki beliau) beliau mendapat berita bahawa salah seorang putera beliau yang bernama Muhammad telah meninggal dunia kerana ditendang oleh kuda sewaktu sedang bermain-main di dalam kandang kuda.Beliau mengucapkan:

الْحَمْدُ لِلَّهِ ، إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ‎

Urwah bin al-Zubair redha dan sabar dengan ujian itu dan berkata: “Segala puji hanya milik Allah, dahulu aku memiliki tujuh orang anak kemudian Engkau ambil satu dan Engkau masih memberiku enam. Maka walaupun Engkau telah memberikan musibah kepadaku namun masa sihatku masih lebih panjang darinya. Dan walaupun Engkau telah mengambil salah seorang anakku maka sesungguhnya Engkau masih meninggalkan yang lain.”

Selepas kakinya sembuh, Urwah dan rombongannya memulakan perjalanan pulang ke Madinah. Selama dalam perjalanan pulang, tidak pernah terdengar sepatah kata pun beliau menyebut atau mengeluh tentang musibah yang menimpa kakinya dan kematian yang menimpa putera kesayangannya.

Dan ketika rombongan beliau sampai semula ke tempat yang dinamakan dengan Wadi Al-Qura (tempat terjadinya musibah pada kaki beliau) beliau membaca ayat 60 daripada surah al-Kahfi:

فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَٰذَا نَصَبًا

Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini.”

Kemudian, beliau meneruskan perjalanan dan selamat sampai ke kota Madinah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Surah al-Baqarah (250)

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445