#3707: Hukum Jawab Salam Bagi Orang Yang Sedang Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara bagi orang yang sedang solat menjawab salam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Jabir R.A, katanya:

إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَنِي لِحَاجَةٍ ثُمَّ أَدْرَكْتُهُ وَهُوَ يُصَلِّي فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَأَشَارَ إِلَيَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah memanggilku untuk sesuatu keperluan, kemudian aku datang kepadanya, dan baginda sedang menunaikan solat, aku memberikan salam kepada baginda, dan baginda membuat isyarat kepadaku.”

Riwayat Muslim (540)

Begitu juga dengan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

قُلْتُ لِبلَالٍ: كيْفَ رَأيْتَ النَّبَيَّ -صلى الله عليه وسلم- يَرُدَّ علَيهِمْ حِينَ يُسَلِّمُونَ عَلَيْهِ، وَهُوَ يُصَلِّي؟ قَالَ: يَقُولُ هَكذَا، وَبَسَطَ كَفَّهُ

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Bilal, bagaimana baginda Nabi SAW menjawab salam apabila diberikan salam kepada baginda, dan baginda sedang solat? Jawab Bilal: Baginda membuat isyarat dengan tangan baginda.”

Riwayat Abu Dawud (972) dan al-Tirmizi (368)

Dalam Sunan Abu Dawud disebut bahawa perawi dalam sanad ini, iaitu Ja’far bin ‘Aun menunjukkan caranya dengan membuka telapak tangannya dan menjadikan telapak tangannya menghadap ke bawah dan belakang tangannya menghadap ke atas.” (Lihat Sunan Abu Dawud, 1/243)

Imam al-Nawawi berkata tentang pengajaran hadith ini: “Haram menjawab salam ketika solat dengan lafaz, dan tidak mengapa menjawabnya dengan isyarat, bahkan ia disunatkan menjawab salam dengan isyarat. Perkara ini disebut oleh al-Syafi’i dan ramai ulama yang lain.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/31)

Ibn al-Qayyim berkata: “Adalah Rasulullah SAW menjawab salam dengan isyarat kepada sesiapa yang memberi salam kepada baginda sekiranya baginda sedang menunaikan solat.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/366)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Kisah disebalik hadith ini ialah Nabi SAW pergi ke Quba’ untuk mengerjakan solat, dan penduduk Quba’ daripada kalangan Ansar datang dan memberikan salam kepada baginda. Mereka mengetahui bahawa baginda sedang solat dan mereka memberi salam, lalu baginda menjawab salam mereka dengan tapak tangan baginda sebagai isyarat menjawab salam.

Hadith ini menunjukkan bahawa memberi isyarat semasa solat tidak membatalkannya, walaupun isyarat tersebut difahami dan mencukupi daripada bercakap, sama ada dengan kepala, tangan, mata, atau cara lain. Jika pergerakan itu sedikit kerana adanya keperluan, ia tidak akan membatalkan solat, seperti yang dilakukan Nabi SAW mengangkat tangannya kepada mereka yang memberi salam kepada baginda.

Begitu juga dibolehkan memberi salam kepada orang yang sedang solat, kerana Nabi SAW ketika memberi salam daripada solat, baginda mengakuinya (taqrir), dan baginda tidak melarang mereka daripada melakukannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/50-51)

Disebutkan juga dalam kitab al-Iqna’ dan syarahnya: Mazhab ini tidak melarang memberi salam kepada orang yang sedang solat kerana Nabi SAW ketika diberi salam oleh sahabat-sahabat baginda, baginda tidak mengingkarinya. Dalam al-Hashiyah: Ini adalah mazhab Malik dan al-Syafi’i. Imam al-Nawawi berkata: Ini adalah yang disyaratkan oleh hadith yang sahih. Dalam Hashiyah al-Raudh: Mazhab kebanyakan ulama, termasuk Malik, al-Syafi’i, dan Ahmad, adalah menggalakkan untuk membalas salam daripada bagi orang yang sedang solat dengan menggunakan isyarat, berdasarkan hadith Ibn Umar Bahawa Nabi SAW selalu memberi isyarat ketika solat” [Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi (367) dan ia telah disahihkan]. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/51)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa cara menjawab salam bagi orang yang sedang solat adalah dengan memberi isyarat tangan sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW. Begitu juga dibolehkan untuk memberi salam kepada orang yang sedang solat kerana Nabi SAW sendiri mengakuinya dan tidak mengingkari perbuatan tersebut.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445