#3716: Ibadah Nabi SAW Sebelum Wahyu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya, adakah Nabi Muhammad beribadah sebelum mendapat wahyu? Jika ya, bagaimana cara ibadah nabi dan adakah nabi tahu Tuhan itu Allah? Terima kasih Dr.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan ini, kami katakan bahawa ibadat belum lagi ditaklifkan sehingga berlaku pensyariatan daripada Allah SWT kepada rasul-Nya selepas diutuskan. Membaca sejarah menunjukkan rukun Islam yang lima berbeza masa dari segi taklifannya.

Sebagai contoh, solat ditaklifkan selepas Israk dan Mikraj, puasa dan zakat ditaklifkan pada tahun 2 Hijrah, haji ditaklifkan pada tahun 6 Hijrah dan ada pendapat pada tahun 9 Hijrah.

Berkenaan jawapan di atas, kami nukilkan sebuah hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَوَّلُ مَا بُدِئَ بِهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الوَحْيِ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ فِي النَّوْمِ، فَكَانَ لاَ يَـرَى رُؤْيَا إِلَّا جَاءَتْ مِثْلَ فَـلَقِ الصُّبْحِ، ثُمَّ حُبِّبَ إِلَيْهِ الخَلاَءُ، وَكَانَ يَخْلُو بِغَارِ حِرَاءٍ فَـيَتَحَنَّثُ فِيهِ – وَهُوَ التَّعَبُّدُ – اللَّيَالِيَ ذَوَاتِ العَدَدِ قَبْلَ أَنْ يَـنْزِعَ إِلَى أَهْلِهِ، وَيَتَزَوَّدُ لِذَلِكَ، ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى خَدِيجَةَ فَـيَتَزَوَّدُ لِمِثْلِهَا، حَتَّى جَاءَهُ الحَقُّ وَهُوَ فِي غَارِ حِرَاءٍ، فَجَاءَهُ المـَلَكُ فَـقَالَ: اقْـرَأْ، قَالَ: مَا أَنَا بِقَارِئٍ، قَالَ: فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الجَهْدَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي، فَقَالَ: اقْـرَأْ، قُـلْتُ: مَا أَنَا بِقَارِئٍ، فَأَخَذَنِي فَـغَطَّنِي الثَّانِيَةَ حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الجَهْدَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي، فَـقَالَ: اقْرَأْ، فَـقُلْتُ: مَا أَنَا بِقَارِئٍ، فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي الثَّالِثَةَ ثُمَّ أَرْسَلَنِي، فَـقَالَ: {اقْـرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ. خَلَقَ الإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ. اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأَكْرَمُ}. فَـرَجَعَ بـِهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُفُ فُـؤَادُهُ، فَدَخَلَ عَلَى خَدِيجَةَ بِنْتِ خُوَيْلِدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا، فَـقَالَ: زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي، فَـزَمَّلُوهُ حَتَّى ذَهَبَ عَنْهُ الرَّوْعُ، فَـقَالَ لِخَدِيجَةَ وَأَخْبَرَهَا الخَبَرَ: لَقَدْ خَشِيتُ عَلَى نَـفْسِي. فَـقَالَتْ خَدِيجَةُ: كَلَّا وَاللهِ مَا يُخْزِيكَ اللهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الكَلَّ، وَتَكْسِبُ الـمَعْدُومَ، وَتَـقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَـوَائِبِ الحَقِّ، فَانْطَلَقَتْ بِهِ خَدِيجَةُ حَتَّى أَتَتْ بِهِ وَرَقَةَ بْنَ نَـوْفَلِ بْنِ أَسَدِ بْنِ عَبْدِ العُزَّى ابْنَ عَمِّ خَدِيجَةَ وَكَانَ امْرَأً تَـنَصَّرَ فِي الجَاهِلِيَّةِ، وَكَانَ يَكْتُبُ الكِتَابَ العِبْرَانِيَّ، فَـيَكْتُبُ مِنَ الإِنْجِيلِ بِالعِبْرَانِيَّةِ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ يَكْتُبَ، وَكَانَ شَيْخًا كَبِيرًا قَدْ عَمِيَ، فَـقَالَتْ لَهُ خَدِيجَةُ: يَا ابْنَ عَمِّ، اسْمَعْ مِنَ ابْنِ أَخِيكَ، فَـقَالَ لَهُ وَرَقَةُ: يَا ابْنَ أَخِي مَاذَا تَـرَى؟ فَأَخْبَرَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَبَرَ مَا رَأَى، فَـقَالَ لَهُ وَرَقَةُ: هَذَا النَّامُوسُ الَّذِي نَـزَّلَ اللهُ عَلَى مُوسَى، يَا لَيْتَنِي فِيهَا جَذَعًا، لَيْتَنِي أَكُونُ حَيًّا إِذْ يُخْرِجُكَ قَـوْمُكَ، فَـقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوَ مُخْرِجِيَّ هُمْ؟ قَالَ: نَـعَمْ، لَمْ يَأْتِ رَجُلٌ قَطُّ بِمِثْلِ مَا جِئْتَ بِهِ إِلَّا عُودِيَ، وَإِنْ يُدْرِكْنِي يَـوْمُكَ أَنْصُرْكَ نَصْرًا مُؤَزَّرًا. ثُمَّ لَمْ يَنْشَبْ وَرَقَةُ أَنْ تُـوُفِّيَ، وَفَـتَرَ الوَحْيُ

Maksudnya: “Permulaan wahyu yang datang kepada Rasulullah SAW adalah melalui mimpi yang baik di dalam tidur. Baginda SAW tidak bermimpi melainkan mimpinya muncul seperti cahaya subuh. Kemudian Baginda menjadi suka untuk menyendiri. Baginda SAW suka menyendiri di Gua Hira’. Rasulullah SAW bertahannuth di situ (iaitu beribadah) di malam hari beberapa waktu lamanya, sebelum kembali kepada keluarganya dan mempersiapkan bekalan untuk tujuan yang sama (bertahannuth kembali). Kemudian, Baginda pulang menemui Khadijah R.Anha dan disediakan bekalan seperti sebelumnya (untuk beberapa malam) sehingga datang wahyu kepadanya ketika di Gua Hira’. Malaikat (Jibril A.S) datang kepada Baginda lalu berkata: “Iqra’ (Bacalah).” Nabi SAW menjawab: “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Malaikat itu memegang aku lantas memelukku sehingga habis dayaku, kemudian dia melepaskanku dan berkata: “Bacalah!” Baginda menjawab: “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Jibril A.S kembali memegangku dan memelukku buat kali kedua sehingga habis dayaku, kemudian ia melepaskanku dan berkata: “Bacalah!” Maka aku berkata: “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Jibril kembali memegangku dan memelukku buat kali ketiga kemudian ia melepaskanku dan membaca (Firman Allah SWT): “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk, Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.” [Surah al-‘Alaq : 1-3]

Setelah itu, Rasulullah SAW kembali kepada keluarganya membawa wahyu itu dalam keadaan hatinya berdebar-debar. Baginda SAW lalu masuk menemui Khadijah binti Khuwailid R.Anha dan berkata: “Selimutkan aku, selimutkan aku.” Maka, mereka menyelimutkannya sehingga hilang rasa takut Baginda. Rasulullah SAW menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Khadijah R.Anha dan berkata: “Sesungguhnya aku benar-benar bimbangkan diriku.” Khadijah R.Anha berkata: “Demi Allah, sampai bila pun Allah tidak akan menghinamu. Sesungguhnya engkau ialah orang yang selalu menyambung silaturrahim, menanggung beban orang-orang susah, mengusahakan sesuatu untuk orang yang tiada perusahaan, melayani tetamu dan membantu orang yang ditimpa bencana alam.” Khadijah R.Anha pun membawa Nabi SAW bertemu dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza iaitu sepupu Khadijah. Beliau menganut agama Nasrani di masa Jahiliyyah, dan telah menulis kitab dalam bahasa Ibrani, dan beliau menulis kitab Injil dalam bahasa Ibrani dengan izin Allah. Saat itu, Waraqah sudah tua dan matanya buta. Khadijah R.Anha berkata kepadanya: “Wahai sepupuku, dengarlah cerita daripada anak saudaramu ini.” Maka Waraqah berkata kepada Baginda SAW: “Wahai anak saudaraku, apakah yang engkau lihat?” Maka Rasulullah SAW menceritakan apa yang dialaminya. Lalu Waraqah berkata kepadanya: “Ini ialah Namus (Jibril A.S) yang pernah diturunkan oleh Allah SWT kepada Musa. Aduhai diriku! Alangkah baik jika ketika dirimu diutuskan sebagai Rasul aku masih muda belia. Aduhai! Seandainya aku masih hidup saat kaummu mengusirmu.” Rasulullah SAW bertanya: “Adakah mereka pasti akan mengusir aku?” Waraqah menjawab: “Ya, kerana tiada seorang pun yang datang membawa wahyu seperti yang engkau bawa ini melainkan dia dimusuhi. Andaikata aku masih hidup pada hari itu, nescaya aku akan menolong engkau dengan sedaya upayaku.” Tidak lama kemudian, Waraqah pun meninggal dunia, lalu penurunan wahyu terhenti buat sementara waktu.”

Dalam hadith ini menunjukkan digunakan kalimah tahannas yang memberi makna ta’abbud atau beribadat tetapi dengan cara memerhati atau memikirkan. Itulah cara ibadat ketika itu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445