#3738: Mandikan Mayat dengan Air dan Daun Bidara

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah di sana terdapatnya perintah untuk memandikan mayat dengan air berserta daun bidara? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Kemudian, dalam menjawab soalan di atas, memandikan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut. Bahkan kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW sendiri.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.”

Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (1206)

Dalam hadith di atas jelas menunjukkan kepada perintah Nabi SAW untuk memandikan jenazah tersebut dengan air dan juga daun bidara. Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, sidr (سِدْر) adalah merujuk kepada pohon al-nabq (النبق). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/162).

Dr Abdullah bin Soleh al-Fauzan menyatakan, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan kepada wajibnya memandikan jenazah. (Lihat Minhah al-‘Allam, 4/254). Syeikh Abdullah al-Bassam menambah, kefardhuan mandi itu adalah fardhu kifayah dan bukannya fardhu ain. Perbezaan antara fardhu kifayah dan fardhu ain ini adalah di mana yang dimaksudkan dengan fardhu kifayah itu adalah terhasilnya atau tercapainya perkara itu (dalam hal ini mandi jenazah), sedangkan fardhu ain itu pula merupakan suatu tuntutan ke atas setiap orang. Inilah pendapat jumhur ulama.

Di samping itu, hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakkan (sunat) untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sekiranya kematiannya tidak berlaku secara mengejut. Ini kerana perlu dipastikan akan kematiannya terlebih dahulu atau dilewatkan disebabkan oleh maslahah supaya ramai orang melakukan solat jenazah untuknya atau kerana menunggu kehadiran kaum kerabat dan sebagainya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).

Selain itu, hadith ini juga menunjukkan kepada disyariatkan untuk mencampurkan air dengan daun bidara ketika memandikan jenazah. Pada asalnya, al-sidr merujuk kepada pohon al-nabq tetapi yang dimaksudkan di sini ialah daunnya yang dihancurkan dan dicampurkan dengan air. Ini kerana daun bidara lebih berkesan dalam membersihkan dan meneguhkan jasad mayat. (Lihat Minhah al-‘Allam, 4/254).

Tambahan lagi, hadith ini juga menunjukkan keutamaan untuk menjaga kebersihan dan membersihkan jenazah. Hal ini dapat dilihat melalui perintah untuk menambahkan daun bidara ke dalam air. Ini dilakukan dengan menghancurkan daun bidara dan mencampurkannya dengan air. Di antara sebab air dicampurkan dengan daun bidara adalah kerana ia adalah bahan yang membersihkan dan mengeraskan tubuh, sehingga tidak cepat rosak. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa terdapatnya perintah atau anjuran untuk memandikan jenazah dengan air dan daun bidara. Di antara hikmahnya adalah kerana daun bidara itu merupakan bahan untuk membersihkan dan meneguhkan tubuh badan agar tidak cepat rosak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445