#3743: Sahabat Meminta Baju Rasulullah SAW Untuk Kafankan Bapanya Dengan Pakaian Itu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah ada sahabat pernah meminta baju Rasulullah SAW untuk dikafankan dengannya dan adakah ia dibolehkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ringkasnya, kafan bermaksud sesuatu yang membalut atau menutup badan jenazah yang meninggal dunia. Secara umumnya, mengkafankan jenazah dengan kain putih adalah dituntut di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا خَيْرُ ثِيَابِكُمْ وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya: “Pakailah dari pakaian kamu yang berwarna putih, sesungguhnya ia merupakan pakaian terbaik kamu dan kafankanlah orang yang meninggal dunia dari kalangan kamu dengan warna putih.”

Riwayat Abu Daud (4061)

Kata perintah dalam hadith tersebut membawa kepada hukum sunat. Ini kerana, Rasulullah SAW ada memakai pakaian-pakaian yang tidak berwarna putih dalam keadaan yang banyak bagi menjelaskan keharusannya.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa proses mengkafankan jenazah ini disunatkan padanya untuk menggunakan kain kafan yang berwarna putih. Jenis (kainnya) pula bagi hak si mati adalah apa yang dibolehkan untuk dia memakainya semasa masih hidup. Maka dibolehkan untuk dikafankan orang perempuan menggunakan kain sutera, namun makruh hukumnya. Manakala bagi orang lelaki haram dikafankan dengan kain sutera. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/110).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar kisah tersebut, ada sahabat pernah meminta baju Rasulullah SAW untuk dikafankan dengannya. Sahabat yang meminta itu ialah Abdullah bin Abdullah bin Ubay dan beliau adalah di antara sahabat yang banyak kebaikan dan terpilih. (Lihat Irsyad al-Sari, 2/391).

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa:

أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ أُبَيٍّ لَمَّا تُوُفِّيَ، جَاءَ ابْنُهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَعْطِنِي قَمِيصَكَ أُكَفِّنْهُ فِيهِ، وَصَلِّ عَلَيْهِ، وَاسْتَغْفِرْ لَهُ، فَأَعْطَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَمِيصَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Abdullah bin Ubay apabila dia meninggal dunia, maka datang anaknya kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah SAW, berikanlah bajumu untuk aku kafankan bapaku dengannya, serta solat dan mohonlah keampunan untuknya. Maka Rasulullah SAW pun memberikan bajunya.

Riwayat al-Bukhari (1269) dan Muslim (2400)

Al-Qastalani dalam Irsyad al-Sari (2/391) menjelaskan, Abdullah bin Ubay  dalam hadith itu adalah merujuk kepada Abdullah bin Ubay bin Salul iaitu kepala golongan munafik. Dia meninggal dunia pada bulan Zulkaedah, tahun kesembilan hijrah ketika Rasulullah SAW kembali dari ekspedisi Tabuk. Tempoh sakitnya berlangsung selama dua puluh malam, bermula pada malam-malam yang berbaki dalam bulan Syawal. Lalu anaknya iaitu Abdullah yang termasuk dalam kalangan sahabat Nabi SAW yang terpilih datang menemui Baginda SAW meminta kepada Baginda bajunya untuk beliau kafankan bapannya dengan baju itu.

Lalu Nabi SAW memberikan bajunya kepada anaknya sebagai suatu penghormatan kepada anaknya atau sebagai suatu pemberian kepada bapanya, Abdullah bin Ubay kerana ketika al-Abbas ditangkap di Badar, dan mereka tidak menemukan baju yang sesuai untuknya, disebabkan beliau ialah seorang yang tinggi, maka dia memakaikannya dengan bajunya. Jadi Rasulullah SAW memberikannya dengan perkara itu agar tidak ada alasan bagi orang munafik untuk mengkritiknya, atau boleh jadi juga kerana Baginda tidak pernah apabila diminta sesuatu, Baginda mengatakan, “Tidak.” Atau kerana hal itu berlaku sebelum turunnya ayat, firman Allah SWT:

وَلَا تُصَلِّ عَلَىٰ أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya.

(Surah al-Taubah: 84)

Seterusnya timbul persoalan, Abdullah bin Abdullah bin Ubay R.A termasuk dalam kalangan sahabat yang terpilih. Justeru, adakah kesetiaannya kepada bapanya yang merupakan kepala golongan munafik dan permintaannya untuk baju Nabi SAE bagi mengkafankan bapanya dengan baju itu termasuk dalam hal yang dilarang seperti mana firman Allah SWT:

لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ

Maksudnya: “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka.

(Surah al-Mujadalah: 22)

Jawabnya adalah, apa yang dilakukan oleh Abdullah kepada bapanya adalah disebabkan oleh rasa kasih dan sayang secara fitrah dan tabiat semula jadi manusia kerana hubungan kekeluargaan, dan bukannya kesetiaan yang dilarang, sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

(Surah Luqman: 15)

Ini juga adalah sebagaimana rasa sedih Baginda SAW ketika mana kewafatan bapa saudaranya, Abu Talib dalam kekufuran kerana kasihnya Baginda kepadanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/175).

Selain daripada itu, Muhammad bin Ali bin Hizam al-Ba‘dani dalam kitabnya menyebutkan, di dalam hadith ini mengandungi dalil yang menunjukkan bahawa syarak membenarkan untuk mengkafankan dengan baju (pakaian). Ibn Qudamah menyebutkan, mengkafankan jenazah dengan baju, izar (kain bahagian bawah) dan lifafah (اللِّفَافَة)[1] adalah tidak makruh, namun mengkafankannya dengan tiga helai kain adalah lebih baik (afdhal).  Perkara ini adalah diharuskan dan tidak makruh. Hal ini kerana Nabi SAW memakaikan Abdullah bin Ubay bajunya ketika dia meninggal dunia iaitu dia dipakaikan dengan izar dan baju, kemudian dililit dengan lifafah selepas itu. (LIhat Fath al-‘Allam fi Dirasah Ahadith Bulugh al-Maram, 3/427)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

[1] Iaitu baju besar yang digunakan untuk melilit mayat di atas baju dan izar, serta dan diikat di bahagian bawah kedua kaki mayat, serta di bahagian atas kepala mayat. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/arar/اللِّفَافَةِ/. Diakses pada 20 Oktober 2023).

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445