#3745: Hikmah Hukuman Bunuh Dibalas Bunuh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya tertanya-tanya, bukankah Islam itu menggalakkan sifat memaafkan dan tidak membalas sesuatu yang buruk dengan keburukan juga. Jadi, mengapakah seseorang yang membunuh itu hukumannya juga adalah bunuh?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, membunuh dengan sengaja tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh syara‘ merupakan dosa suatu dosa besar, tanpa mengambil kira sama ada orang yang dibunuh itu adalah orang Islam atau orang bukan Islam. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syara‘).”

(Surah al-Isra’: 33)

Dan juga firman Allah SWT:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 93)

Allah SWT menyebutkan dengan jelas di dalam firman-Nya (وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ), kata larangan yang membawa maksud haram. Imam al-Syirazi menyebutkan, jika syara‘ melarang sesuatu (seperti membunuh) yang hanya ada satu sahaja perkara berlawanan ( seperti membiarkan hidup atau tidak membunuh), maka perkara berlawanan itu (membiarkan hidup atau tidak membunuh) hukumnya wajib dilakukan. (Lihat Bughyah al-Musytaq, hlm. 104)

Pengharaman bunuh ke atas orang beriman ini pula diikat dengan syarat tertentu yang tidak boleh dilanggar. Sekiranya syarat tersebut dilanggar, maka terangkatlah larangan hukuman bunuh itu. Ini jelas sebagaimana dalam hadith ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ الثَّيِّبُ الزَّانِ وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ

Maksudnya: “Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan bahawa aku adalah utusan Allah kecuali dengan salah satu dari tiga perkara; nyawa (dibalas) dengan nyawa, orang yang telah berkahwin yang berzina, dan orang yang melepaskan (meninggalkan) diri daripada agamanya serta meninggalkan Jemaah (kaum Muslimin).”

Riwayat al-Bukhari (6878) dan Muslim (1676)

Akan tetapi, ia tertakluk di bawah perintah dan kekuasaan ulil amri sama ada hukuman hudud bunuh ini akan dijatuhkan atau tidak.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan oleh saudara, hukuman bunuh dibalas bunuh adalah balasan yang setimpal, atau disebutkan sebagai al-qisas (القِصَاصُ) menurut Islam. Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى ۖ  الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.”

(Surah al-Baqarah: 178)

Dan Allah SWT juga berfirman dalam ayat seterusnya:

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 179)

Imam al-Baidhawi berkata ketika menafsir ayat 179 di atas, kalimah al-qisas dita‘rifkan dan hayah dinakirahkan, untuk merujuk kepada hukum yang menjamin suatu bentuk kehidupan yang lebih signifikan. Itu kerana seseorang yang ingin membunuh akan mencegah dirinya daripada membunuh apabila mengetahui hukum tersebut lalu menjadi sebab terjaminnya dua nyawa di situ (mangsa dan pembunuh). Ini juga kerana (pada zaman Jahiliyyah) mereka akan membunuh semua orang (yakni kabilah si pembunuh itu). Dibunuh satu kumpulan atas kesalahan seorang sahaja. Maka ini akan mendatangkan fitnah kekacauan antara pihak-pihak yang terlibat. Justeru, apabila qisas hanya berlaku kepada pembunuh sahaja, maka selamatnya orang lain dan inilah sebab bagi keselamatan nyawa mereka. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 1/122)

Hikmah pensyari‘atan sesuatu hukuman hudud itu secara umumnya tidak lain adalah untuk memastikan suatu maslahat itu tercapai dan agar dijauhkan dari sebarang kemudharatan berlaku. Inilah salah satu bentuk rahmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Disebutkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, semata-mata perintah dan larangan tidak cukup bagi sesetengah orang untuk mematuhi ketetapan Allah SWT. Kalau tidak kerana hukuman-hukuman ini, pasti ramai orang yang berani melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang dilarang, serta berlembut dalam perintah.

Dengan menetapkan hukuman, kehidupan dan kepentingan manusia lebih terpelihara, sebagai suatu teguran kepada mereka yang melanggar perintah, dan menghalang hati yang keras tanpa belas kasihan. Maka hukuman al-qisas ini dilaksanakan bagi menghentikan pembunuhan (tanpa hak), menghalang dari berlakunya permusuhan, memelihara masyarakat, memberikan kehidupan yang baik untuk masyarakat, menghentikan pertumpahan darah, mengubati hati keluarga orang yang dibunuh, menegakkan keadilan dan keselamatan.

Antara hikmahnya juga, hukuman ini melindungi negara daripada kekejaman pembunuhan orang yang tidak bersalah, menyebarkan keganasan di negara, menyebabkan wanita menjadi janda, dan anak-anak menjadi yatim piatu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/171)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, lebih dari seorang ulama’ telah meriwayatkan ijma‘ tentang pensyari‘atan hukuman ini, dan ia adalah sesuatu yang semestinya diketahui dalam agama. Kalau tidak kerana hukuman al-qisas, dan jika tidak kerana hukuman kepada pelaku jenayah, pasti manusia akan membinasakan sesama mereka sendiri, dan dengan itu juga aturan kehidupan alam juga akan menjadi rosak. Maka, tidak boleh tidak perlunya ada hukuman yang menghalang mereka, dan menjadikan pelakunya dihukum sebagai amaran kepada sesiapa yang ingin melakukan perkara yang sama. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/73)

Inilah antara hikmah yang disebutkan oleh para ilmuan tentang hikmah pensyari‘atan hukuman bunuh dibalas bunuh ini. Adapun tidak membalas kemudharatan dengan kemudharatan yang lain, benar ia disebutkan dalam hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudharatan.”

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)

Akan tetapi, hukuman hudud atau al-qisas itu sendiri terkeluar dari konteks hadith di atas kerana datang nas lain yang mewajibkan perkara tersebut. Kewajiban hudud itu juga tidak lain bagi mencapai maslahah umum, di samping ianya disyari‘atkan berlandaskan keadilan dan hikmah Allah SWT.

Semoga dengan penerangan ringkas ini, kita dapat memahami dengan baik sebab mengapa sesuatu hukuman itu ditetapkan. Seterusnya, dapat menjauhkan diri kita dari sebarang unsur merendahkan atau mempersenda hukum Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445