#3761: Memandikan Jenazah atau Mayat dengan Air Laut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ini hanyalah sebagai andaian sahaja kerana kemungkinan akan berlaku situasi ini. Kalau misalnya beberapa orang terperangkap di sebuah pulau, lalu salah seorang daripada mereka ditimpa musibah yang menyebabkan kematiannya. Soalannya, bolehkah mayat itu dimandikan dengan air laut jika mereka tidak menjumpai air selain air laut atau air yang lain jumlahnya sangat terhad bagi kegunaan air minuman? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Pertamanya, secara umumnya, memandikan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut. Bahkan kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW sendiri.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.”

Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (1206)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakkan (sunat) untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sekiranya kematiannya tidak berlaku secara mengejut. Ini kerana perlu dipastikan akan kematiannya terlebih dahulu atau dilewatkan disebabkan oleh maslahah supaya ramai orang melakukan solat jenazah untuknya atau kerana menunggu kehadiran kaum kerabat dan sebagainya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, memandikan jenazah atau mayat dengan menggunakan air laut adalah dibolehkan, tidak kira dalam keadaan darurat (situasi terpaksa) mahupun ketika dalam keadaan biasa iaitu ketika adanya air lain atau banyaknya air.  Hal ini kerana air laut termasuk dalam kategori air mutlak suci lagi menyucikan dan boleh digunakan untuk membersihkan najis atau mengangkat hadas. Justeru, sudah tentu ia juga boleh digunakan untuk memandikan jenazah. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).

Terdapat beberapa dalil yang dijadikan dasar oleh para ulama bahawa air laut boleh digunakan untuk bersuci. Di antaranya hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

سَأَلَ رَجُلٌ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّا نَرْكَبُ الْبَحْرَ وَنَحْمِلُ مَعَنَا الْقَلِيلَ مِنَ الْمَاءِ، فَإِنْ تَوَضَّأْنَا بِهِ عَطِشْنَا، أَفَنَتَوَضَّأُ مِنْ مَاءِ الْبَحْرِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الْحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW dengan berkata: ‘Wahai Rasulullah, kami sedang berlayar di lautan dan kami membawa sedikit air. Jika kami menggunakan air itu untuk berwuduk, maka kami akan kehausan. Jadi, bolehkah kami berwuduk dengan air laut?’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.’

Riwayat Abu Daud (83); Ibn Majah (386); Ahmad (8720) dengan sedikit perbezaan lafaz; al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59) serta lafaz hadith daripada kedua-duanya.

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa air laut hukumnya adalah suci lagi menyucikan. Oleh sebab itu, ia boleh digunakan untuk mengangkat hadas, membersihkan najis dan juga memandikan jenazah.

Di sana terdapatnya kaedah yang telah disebutkan oleh Syeikh al-Sa‘di:

والأَصْلُ في مِيَاهِنَا الطهارةُ # والأرضُ والثيابُ والحجارةُ

Asal bagi air kita adalah suci bersih.

          Begitu juga tanah, pakaian dan batu.”

Syeikh Hamad bin Abdullah mensyarahkan kaedah ini dengan menyatakan bahawa makna kaedah ini ialah hukum asal bagi air, tanah, pakaian dan batu adalah suci bersih. Dalil yang menunjukkan kepada sucinya air adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

إنَّ الماءَ طهورٌ لا ينجِّسُهُ شيءٌ

Maksudnya:Sesungguhnya (hakikat) air itu adalah suci dan mensucikan, tidak ada sesuatu pun yang menajiskannya.

Oleh sebab itu, hukum asal bagi air laut, air sungai, air mata air dan seumpamanya adalah suci bersih. Justeru, apabila kamu terkena air daripada saluran dan kamu tidak tahu, adakah air tersebut suci bersih ataupun bernajis? Maka, kami katakan kepada kamu: “Sesungguhnya hukum asal bagi air adalah suci bersih dan atas sebab itulah, kamu tidak diwajibkan untuk membersihkan pakaian kamu daripadanya.” (Lihat Syarh Manzumah al-Qawaid al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/3).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa boleh untuk memandikan mayat atau jenazah dengan air laut kerana ia termasuk dalam jenis air mutlak yang suci lagi menyucikan. Justeru, ia boleh digunakan untuk mengangkat hadas, membersihkan najis, berwuduk, mandi wajib dan juga memandikan jenazah atau mayat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445