#3773: Jarak Miqat dengan Makkah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berapa jarak miqat-miqat yang ditetapkan daripada Makkah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

«إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَّتَ لِأَهْلِ المَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ المَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، هُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِهِنَّ مِمَّنْ أَرَادَ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ، وَمَنْ كَانَ دُونَ ذَلِكَ، فَمِنْ حَيْثُ أَنْشَأَ حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ مِنْ مَكَّةَ»

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah menentukan batasan tempat (miqat) bagi penduduk Madinah adalah Zulhulaifah, bagi penduduk Syam adalah Juhfah, bagi penduduk Najd adalah Qarn al-Manazil, dan bagi penduduk Yaman adalah Yalamlam. Tempat-tempat itu bagi mereka dan bagi orang-orang yang mendatanginya dari selain tempat-tempat itu, iaitu orang yang ingin mengerjakan haji atau umrah. Adapun selain yang sudah disebutkan, maka dari tempat di mana dia memulakan hingga penduduk Makkah dari Makkah.”

Riwayat al-Bukhari (1524) dan Muslim (1181)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan: Perkataan ‘وقَّتَ’ bermaksud membataskan atau menentukan. Maksud asal daripada perkataan ‘التَّوْقِيْت’ ialah waktu yang dijadikan untuk sesuatu dan dikhususkan untuknya. ‘Iyadh berkata: ‘وقَّتَ’ adalah ‘حَدَّدَ’ (iaitu membataskan atau menentukan batasan).

Zulhulaifah (ذُوْ الْحُلَيْفَة): Didhammahkan ha’ dan difathahkan lam bentuk tasghir daripada perkataan halfa (حَلْفَاء), tumbuhan yang terkenal di daerah tersebut dan sekarang disebut ‘Abar ‘Ali’ (آبَار عَلِيّ). Jarak antara daerah itu dengan masjid Nabawi adalah 13 km dan dari Makkah jaraknya adalah 420 km. Daerah ini adalah yang paling jauh dan merupakan tempat bagi penduduk Madinah dan orang yang datang melalui jalur mereka.

Al-Juhfah (الجُحْفَة): Ia merupakan perkampungan yang ramai penduduknya dan merupakan salah satu tempat persinggahan orang yang melakukan haji di antara Madinah dan Makkah. Juhfah bermaksud banjir yang mengalir. Jarak terletak sebelah barat 35 km. Juhfah juga terletak sejajar dengan jalur hijrah dari Madinah ke arah Makkah. Jarak Juhfah ke Makkah adalah sejauh 208 km.

Rabigh (رَابِغ): Ia merupakan negeri yang besar dan ramai di dalamnya. Terdapat daerah-daerah pemerintahan dan kemudahan awam. Jauhnya dari Makkah berjarak 186 km. Dari situlah berihramnya orang yang berada di sebelah utara dan di pesisir utara kerajaan Arab Saudi sehingga ke ‘Aqabah. Dari situ juga berihramnya para jemaah dari negara Afrika Utara dan Barat, Lubnan, Syria, Jordan dan Palestin.

Qarn al-Manazil (قَرْنُ الْمَنَازِل): Disebut juga dengan al-Sail al-Kabir (السَّيْلُ الْكَبِيْر), yang mana jaraknya dari dalam lembah ke Makkah adalah sejauh 78 km.

Wadi Muhrim (وَادِي مُحْرِم): Ia adalah Qarn al-Manazil yang tertinggi, iaitu sebuah desa yang besar, yang di dalamnya terdapat sekolah. Ia terletak di jalan Ta’if Makkah, yang turun dari Jabal Kur. Di miqat ini, didirikan sebuah masjid yang besar, di dalamnya terdapat kepentingan untuk orang yang ingin melakukan ihram. Jauhnya dari Makkah adalah sekitar 78 km.

Dari kedua tempat di atas inilah berihramnya setiap penduduk yang tinggal di pergunungan bahagian atas dari sebelah Selatan Kerajaan Arab Saudi. Begitu juga daerah di belakangnya, iaitu Yaman, penduduk Najd, dan daerah di belakangnya iaitu negeri-negeri Teluk, Iraq dan Iran, serta semua jemaah haji dari arah Timur.

Yalamlam (يَلَمْلَم): Dikatakan juga Alamlam (أَلَمْلَم) dan penduduk wilayah tersebut sekarang mengatakan Yalamlam (يَلَمْلَم). Di dalamnya terdapat sebuah telaga yang dinamakan al-Sa’diyyah, yang dihubungkan dengan seorang wanita yang menggalinya bernama Fatimah al-Sa’diyyah.

Yalamlam (يَلَمْلَم) adalah satu lembah yang besar yang turun melandai dari pergunungan bahagian atas sehingga ke Tihamah, kemudian sampai ke laut merah di sisi pantai yang dinamakan Mujiiramah. Nama tersebut untuk lembah ini bermula dari bahagian-bahagiannya sehingga ke tempat mengalirnya. Dari situlah tempat berihram yang melewati jalan Tihamah kerajaan Arab Saudi. Tihamah dari tepian pantainya yang sebelah selatan jauhnya dari Makkah berjarak 120 km. Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, beliau adalah salah seorang anggota yang mengambil sikap membenarkan batasan/ketentuan itu ketika jalan pesisir itu diadakan. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/45)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445