#3777: Suami dan Isteri Tidur Berasingan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. . Saya nak bertanya apakah hukum suami isteri berpisah tempat tidur? Sekian terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

(Surah al-Najm: 45)

Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)

Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”

(Surah al-Ra‘d: 38)

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya si suami redha atas perbuatan si isteri untuk berpisah tempat tidur, maka hukumnya adalah harus. Namun, sekiranya si isteri meninggalkan si suami di tempat tidur tanpa redha si suami, maka hukumnya berdosa. Hal ini sebagaimana satu hadith, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَلَمْ تَأْتِهِ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Apabila suami mengajak isteri untuk tidur bersama-sama, kemudian isteri tidak mahu datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, maka malaikat melaknati isterinya sehingga ke pagi.”

Riwayat Muslim (1436)

Justeru itu, dalam isu ini ia bergantung dengan redha di antara suami dan isteri. Terutamanya pada hari ini pelbagai faktor yang membawa ke arah sedemikian seperti perhubungan jarak jauh (pjj), penyakit berjangkit dan sebagainya.

Semoga dengan penerangan ringkas kami ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat, sejurus memupuk rasa ikhlas dan sifat sabar dalam mendepani cabaran kehidupan berumahtangga dengan berlandaskan telunjuk syara‘.

Marilah kita sama-sama melazimi doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan :74)

Wallahua’lam

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445