#3783: Kelebihan Solat Jenazah 40 Orang atau Lebih

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah di sana terdapat kelebihan bagi solat jenazah 40 orang atau lebih? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51).

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, di sana terdapat kelebihan dan fadhilat bagi solat jenazah 40 orang atau lebih, di mana Allah SWT memberikan syafaat dari mereka yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apapun yang mendirikan solat jenazah buat diri jenazah tersebut.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ

Maksudnya: “Tidak ada seorang lelaki Muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut).”

Riwayat Muslim (948); Abu Daud (3170); Ahmad (2509) dan Ibn Hibban (3082)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, di antara faedah yang dapat diambil daripada hadith ini ialah solat ke atas jenazah adalah suatu syafaat daripada orang yang mendirikan solat kepada jenazah yang disolatkan. Oleh itu, semakin ramai yang solat untuk si mati, ia menjadi lebih baik. Ini kerana semakin banyak doa dan istighfar (memohon keampunan) untuk si mati.

Selain itu, kelebihan dan fadhilat wujudnya empat puluh orang lelaki Muslim yang menunaikan solat jenazah untuk si mati dan mereka memberi syafaat untuknya sebagai suatu penegasan bahawasanya keinginan yang mulia ini daripada Allah SWT, lalu Dia menerima doa mereka di dalamnya dan memberikan syafaat dari mereka buat diri jenazah tersebut.

Selain itu, hadith ini juga mengandungi fadhilat mentauhidkan Allah SWT dan mengesakan-Nya dalam ibadah, serta menjauhi syirik dan segala jalan-jalan yang membawa kepadanya, yang termasuk dalam hal itu sikap berlebih-lebihan (ghulu) terhadap makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Tambahan lagi, mengikhlaskan diri dalam mentauhidkan kepada-Nya merupakan sebab yang kuat bagi suatu doa atau permohonan itu dikabulkan.

Begitu juga hadith ini menunjukkan bahawa disunatkan untuk mendirikan solat jenazah secara berjemaah berdasarkan ijma‘ kaum Muslimin dan begitu juga berdasarkan kepada perbuatan dan amalan Nabi SAW, juga para sahabat selepasnya dan hal itu berterusan menjadi amalan kaum Muslimin (sehinggalah sekarang). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/194).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445