#3795: Al-Zubair dan Pembunuhnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah pembunuh al-Zubair ke neraka dan siapakah al-Zubair?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

(Surah al-Ahzab: 23)

Salah seorang sahabat Nabi SAW yang dikasihi ialah al-Zubair ibn al-Awwam. Beliau telah bersama dengan Aisyah dalam peperangan al-Jamal yang berlaku pada bulan Jamadilawal 36 Hijrah.

Kisah pembunuhan al-Zubair berlaku secara tiba-tiba apabila seorang yang bernama ‘Amr bin Jurmuz membunuh al-Zubair RA ketika sedang menunaikan solat.

Mengikut riwayat yang lain pula, ketika al-Zubair RA tidur keletihan, beliau dibunuh kerana tidak mengikuti kemahuan mereka yang zalim itu. Al-Zubair RA gugur syahid sebagai seorang sahabat yang dikasihi oleh Rasulullah SAW.

Adapun Khalifah ‘Ali RA apabila diberitahu kepada beliau berkenaan orang yang membunuh al-Zubair RA, Khalifah ‘Ali RA lalu berkata dengan marah:

إِلَى النَّارِ.

Maksudnya: “Pembunuh itu ke neraka!” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 3/81)

Disebutkan bahawa, pembunuh al-Zubair RA itu mati dengan membunuh dirinya sendiri. Al-Zubair bin al-‘Awwam RA juga termasuk dalam kalangan para sahabat yang dijanjikan mati syahid dan syurga oleh Rasulullah SAW. (Lihat Fiqh Siasah Khalifah ‘Ali RA, hlm. 294 – 295)

Beliau ialah al-Zubair bin al-‘Awwam bin Khuwailid bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai bin Ghalib. Beliau berasal daripada Bani Asad. Beliau merupakan pengikut setia (hawari) Rasulullah SAW dan anak kepada ibu saudara Baginda iaitu Safiyyah binti ‘Abd Al-Muttalib. Beliau juga ialah salah seorang daripada enam ahli syura dan salah seorang daripada sepuluh yang diberikan perkhabaran gembira dengan syurga. (Lihat  Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/41). Zubair berkahwin dengan Asma binti Abu Bakar. Beliau termasuk daripada kalangan mereka yang turut serta dalam dua hijrah, iaitu hijrah ke Habsyah dan hijrah ke Madinah.

Terdapat riwayat daripada Mansur bin ‘Abd al-Rahman: Aku mendengar al-Sya‘bi berkata: Aku mengetahui 500 orang atau lebih daripada kalangan sahabat yang menyebutkan bahawa Ali, Uthman, Talhah dan al-Zubair di dalam syurga.

Kemudian, al-Zahabi mengulasnya dengan menyatakan, hal ini kerana mereka termasuk dalam kalangan sepuluh orang yang dijanjikan syurga, termasuk dalam ahli Bai‘ah al-Ridhwan, termasuk dalam kalangan al-Sabiqun al-Awwalun (mereka yang terdahulu — yang mulu-mula berhijrah dan memberi bantuan) yang mana Allah SWT mengkhabarkan bahawasanya Dia redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, dan begitu juga kerana mereka berempat telah dibunuh dan direzekikan sebagai syahid. Maka, kita mencintai mereka dan membenci orang yang telah membunuh mereka. (Lihat  Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/62).

Ali R.A berkata: Aku mendengar dengan telingaku sendiri daripada mulut Rasulullah SAW dan Baginda bersabda: “Talhah dan al-Zubair adalah jiranku di dalam syurga.” Begitu juga diriwayatkan daripada Umar R.A, beliau berkata: “Sesungguhnya al-Zubair adalah rukun daripada rukun-rukun agama.” Manakala dalam riwayat lain daripadanya datang dengan lafaz: “Sesungguhnya al-Zubair adalah tiang daripada tiang-tiang Islam.” ‘Amr bin Ali menyebutkan, al-Zubair terbunuh di Wadi al-Siba‘ iaitu di Basrah pada tahun 36H, ketika berusia 57 tahun. (Lihat Siyar al-Salaf al-Salihin, 1/231).

Kewafatan al-Zubair R.A: Ketika perang Jamal, Talhah dan al-Zubair pada awalnya berada dalam pasukan Mu‘awiyah. Namun kemudian, keduanya berundur daripada peperangan tersebut. Ketika itulah keduanya terbunuh. Al-Zubair diekori oleh seorang lelaki yang bernama ‘Amr bin Jurmuz, lalu dia membunuhnya dengan cara yang licik. (Lihat Ashab al-Rasul SAW oleh Syeikh Mahmud al-Misri, 1/395-397).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445