#3810: Memakan Daging Buruan Ketika Ihram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum memakan daging buruan ketika dalam ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ ۚ وَمَن قَتَلَهُ مِنكُم مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاءٌ مِّثْلُ مَا قَتَلَ مِنَ النَّعَمِ يَحْكُمُ بِهِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ هَدْيًا بَالِغَ الْكَعْبَةِ أَوْ كَفَّارَةٌ طَعَامُ مَسَاكِينَ أَوْ عَدْلُ ذَٰلِكَ صِيَامًا لِّيَذُوقَ وَبَالَ أَمْرِهِ ۗ عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ ۚ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ اللَّهُ مِنْهُ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.

(Surah al-Maidah: 95)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada Abu Qatadah al-Ansari R.A dalam kisah perburuan terhadap keldai liar, dan bukan orang yang berihram. Dia berkata: Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabatnya, sementara mereka sedang berihram:

 هَلْ مِنكُمْ أَحَدٌ أَمَرَهُ، أَوْ أَشَارَ إِلَيْهِ بِشَيءٍ؟ قَالُوا: لَا، قَال: فَكُلُوا مَا بَقِي مِنْ لَحْمِهِ

Maksudnya: “Apakah ada di antara kamu semua yang memerintahkannya atau mengisyaratkannya dengan sesuatu?” Mereka menjawab: “Tidak.” Rasulullah bersabda: “Makanlah daging yang tersisa.”

Riwayat al-Bukhari (1824) dan Muslim (1196)

Hadith daripada Sa’b bin Jatthamah al-Laithi R.A pula menyebut: Bahawa dia memberikan hadiah kepada Rasulullah SAW seekor keldai liar dan dia berada di Abwa’ dan Waddan, lalu Rasulullah SAW mengembalikan keldai itu kepadanya dan bersabda:

إِنَّا لَمْ نَرُدَّهُ عَلَيْكَ إلاَّ أَنَّا حُرُمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami tidak mengembalikannya kepadamu kecuali kami dalam keadaan berihram.”

Riwayat al-Bukhari (1825) dan Muslim (1193)

Secara zahirnya, hadith Abu Qatadah di atas menunjukkan bahawa orang yang berihram boleh memakan daging hasil buruan daripada orang yang halal walaupun dia berburu untuk orang yang berihram itu, selama mana dia tidak membantu perburuan tersebut.

Manakala hadith Sa’b bin Jatthamah jelas menyatakan bahawa jika buruan orang halal (tidak berihram) untuk orang yang berihram, maka tidak halal bagi orang yang berihram tersebut.

Oleh kerana masalah ini, para ulama’ berbeza pendapat:

Pertama: Abu Hanifah, Ata’, Mujahid dan Sa’id bin Jubair berpendapat: “Bahawa orang yang berihram boleh memakan hasil buruan orang yang halal walaupun dia berburu untuk orang yang berihram itu.”

Hujah mereka adalah hadith Abu Qatadah: Nabi SAW bertanya kepada Abu Qatadah, apakah dia berburu untuk temannya atau tidak? Baginda menetapkan kepada teman-temannya untuk makan sebelum mereka datang dan memerintahkan mereka memakan daging yang berbaki. Pendapat ini diriwayatkan daripada sejumlah sahabat; Antaranya ialah Umar, Zubair dan Abu Hurairah.

Kedua: Tawus dan al-Thauri berpendapat: Bahawa hasil buruan orang yang halal adalah diharamkan bagi orang yang berihram secara mutlak, sama ada berburunya itu untuk orang yang berihram ataupun tidak.”

Hujah mereka adalah hadith Sa’b bin Jatthamah, kerana Nabi SAW mengembalikan keldai liar itu kepada orang yang menghadiahkannya dan menjelaskan sebab penolakan itu adalah ihram. Hal tersebut dinyatakan oleh sejumlah sahabat; Antara mereka ialah ‘Ali, Ibn ‘Abbas dan Ibn ‘Umar.

Ketiga: Jumhur ulama’, antaranya Imam Malik, al-Syafi’i, Ahmad dan Ishaq berada di tengah antara dua pendapat itu; Apa yang diburu oleh orang yang halal untuk orang yang berihram itu diharamkan bagi orang yang berihram itu sahaja, dan apa yang diburu oleh orang yang halal, tidak untuk orang yang berihram, maka halal baginya. Antara sahabat yang berpendapat seperti ini adalah Uthman bin Affan R.A.

Pendapat ini menggabungkan dalil-dalil dua kelompok tersebut dan dikuatkan oleh riwayat daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَيْدُ الْبَرِّ حَلَالٌ لَكُمْ، وَأَنْتُمْ حُرُمٌ، مَا لَمْ تَصِيدُوهُ، أَوْ يُصَدْ لَكُمْ

Maksudnya: “Hasil buruan haiwan darat itu halal bagi kamu semua, dalam keadaan kamu sedang berihram, selagi mana kamu bukan yang berburunya, atau perburuan itu untuk kamu.”

Riwayat Ahmad (1365), Abu Daud (1577), al-Tirmizi (8846) dan al-Nasa’ie.

Imam al-Tirmizi berkata tentang hadith ini: “Mengamalkan hadith ini menurut sebahagian para ahli tidak dianggap buruan bagi orang yang berihram, jika dia tidak melakukan perburuan itu, atau perburuan itu untuknya.”

Imam al-Syafi’i berkata: “Ini adalah hadith yang paling hasan, yang diriwayatkan dalam bab ini, dijadikan qiyas dan diamalkan.”

Kesimpulannya, apa yang diburu oleh orang yang halal untuk orang yang berihram, maka itu tidak boleh dimakan oleh orang yang berihram, dan apa yang diburu tidak untuk orang yang berihram itu – akan tetapi apa yang diburu oleh orang yang halal untuk dirinya – maka tidak haram memakannya bagi orang yang berihram. Ini adalah pendapat jumhur ulama’.

Ibn Abd al-Bar berkata: “Hadith-hadith pendapat itu sahih. Jika hadith-hadith itu ditafsirkan, maka tidak ada pertentangan. Berdasarkan hal ini, maka sunnah itu wajib ditafsirkan dan satu sama lain tidak saling bertentangan selama ditemui jalan untuk mengamalkannya.”

Ibn al-Qayyim berkata: “Athar-athar sahabat dalam bab ini, sesungguhnya menunjukkan perincian ini dan tidak ada pertentangan antara hadith-hadith Nabi SAW.”

Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/76-82)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445