#3813: Melakukan Bekam Ketika Ihram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum melakukan bekam ketika dalam ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berbekam ataupun dalam bahasa arabnya al-Hijamah (الْحِجَامَةُ) diambil daripada kata perbuatan Hajam (حَجَمَ) yang bermaksud bermaksud menyedut, dan bekam bermaksud menyedut darah dan mengeluarkannya daripada badan. (Lihat Lisan al-Arab, 3/67-68)

Rasulullah SAW pernah berbekam dan ia dilakukan oleh Abu Taibah. Kemudian Rasulullah SAW memberinya 2 gantang makanan. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ

Maksudnya:Sebaik-baik pengubatan yang kalian gunakan adalah bekam.”

Riwayat Ahmad (12045)

Untuk penjelasan berkenaan sunnah berbekam, boleh merujuk artikel kami dalam siri: #100 Sunnah Berbekam.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Abdullah bin Malik bin Buhainah RA, katanya:

أنَّ رَسولَ اللَّهِ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ احْتَجَمَ بلَحْيِ جَمَلٍ مِن طَرِيقِ مَكَّةَ، وهو مُحْرِمٌ، في وسَطِ رَأْسِهِ.

Maksudnya:Sesungguhnya Rasulullah SAW berbekam di tengah kepalanya ketika berada di Lahyi Jamal semasa dalam perjalanan ke Makkah dan baginda berada di dalam keadaan ihram.

Riwayat al-Bukhari (5698)

Selain itu, terdapat juga hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

أنَّ النَّبِيَّ -صلى الله عليه وسلم- احْتَجَمَ، وَهُوَ مُحْرِمٌ

Maksudnya: “Nabi SAW berbekam sementara Baginda sedang dalam keadaan berihram.”

Riwayat al-Bukhari (1835) dan Muslim (1202)

Hadith ini menunjukkan bahawa boleh berbekam bagi orang yang berihram, dan ia merupakan kesepakatan ulama. Mengeluarkan darah dari badan bukan merupakan hal yang dilarang dalam berihram.

Namun, sekiranya berbekam itu diikuti memotong rambut oleh orang yang berihram – dan ia dilakukan tanpa ada keuzuran – maka diharamkan dan wajib membayar fidyah; dan jika ada keuzuran, maka dibolehkan, akan tetapi terkena fidyah kerana menghilangkan rambut. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/88)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445